WM

Pandemik bawa hikmah

Oleh Muhamaad Razis Ismail

DALAM setiap ujian pasti ada hikmahnya. Begitu juga ujian yang dilalui wanita ini yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Suliza Hani Suid, 31, antara individu yang hilang sumber pendapatan sebagai kerani kanan di sebuah syarikat guaman untuk menyara keluarga.

Bagaimanapun Suliza atau lebih dikenali sebagai Leya Hani tidak hanya duduk diam menanti bulan jatuh ke riba.

Dia bangkit semula dengan memberi fokus terhadap pekerjaan sebagai pembeli peribadi atau personal shopper (PS) barangan keperluan rumah yang dilakukan secara sambilan sejak enam tahun lalu.

Biarpun tidak memperoleh pendapatan lumayan, melihat senyuman pelanggan yang memperoleh barang dipesan adalah satu kepuasan buat dirinya.

Pertama kali bertemu, penulis sedikit curiga bagaimana wanita bertubuh kecil ini mampu melakukan kerja berat termasuk mengangkat perabot yang lebih berat daripada saiz badannya.

Namun selepas melihat sendiri, penulis terkejut dengan kudrat dimiliki Suliza apabila mampu mengangkat perabot sekitar 10 ke 30 kilogram dengan mudah ke dalam kenderaan untuk dihantar kepada pelanggannya.

Sejak dibenarkan beroperasi semula mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hampir setiap hari dia mendapat tempahan daripada pelanggan secara dalam talian.

Suliza berkata, dia mula berjinak-jinak dengan PS sejak 2014 bersama seorang rakan sebagai pendapatan sampingan sahaja kerana sudah memiliki kerja tetap.

Pada mulanya dia menjadi pelanggan yang sering membeli barang kelengkapan rumah daripada seorang PS.

"Selepas itu, saya mendapat idea untuk turut menjadi PS kerana memiliki kenderaan yang sesuai untuk membawa barang lebih banyak.

"Sejak daripada itu, saya mula mengambil tempahan sedikit demi sedikit sehinggalah saya mula serius baru-baru ini selepas turut terkesan dengan penularan pandemik Covid-19," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, situasi semasa yang berlaku di negara ini secara tidak langsung membantu PS sepertinya mendapat tempahan luar biasa daripada pelanggan yang rata-ratanya bekerja dari rumah.

"Pada masa sama, banyak kumpulan Facebook yang berkongsi tip dekorasi rumah yang turut menarik minat pelanggan untuk melakukan perkara sama.

"Ia secara tidak langsung memberi limpahan rezeki kepada saya apabila ramai yang masih 'takut' keluar rumah hingga membuat pesanan untuk membeli barang keperluan bagi menzahirkan dekorasi rumah sempena Aidilfitri ini," katanya.

Tambahnya, dia mengambil inisiatif sendiri dengan mengiklankan perkhidmatan yang ditawarkan di laman sosial Facebook dan Instagramnya.

"Biasanya saya akan iklankan dua hari awal untuk kumpulkan senarai barang keperluan pelanggan. Kemudian saya akan bagi sebut harga serta caj penghantaran.

"Selepas mendapat persetujuan dan memperoleh bayaran, barulah saya akan dapatkan barang yang diperlukan sebelum penghantaran dibuat pada hari sama atau mereka boleh datang sendiri ke rumah," katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa faktor PS menjadi pilihan, antaranya pelanggan lebih selesa menggunakan perkhidmatan itu kerana bimbang 'tergoda' membeli barangan lain yang melebihi bajet yang ditetapkan.

"Biarpun mereka masih dikenakan harga berbeza dan caj penghantaran (dengan PS), jumlah itu masih munasabah, jika dibandingkan mereka pergi sendiri untuk dapatkan barang yang diperlukan.

"Malah, saya sebagai PS pun kadangkala terbeli barang sendiri biarpun tiada perancangan untuk berbuat demikian ketika mencari barang milik pelanggan.

"Selain itu juga, mereka dapat jimatkan kos lain termasuk minyak, tol, parking, makan dan sebagainya," katanya.

Ditanya cabaran yang sering dihadapi, wanita berasal dari Ayer Hitam, Johor ini berkata, dia perlu berdepan dengan pelbagai kerenah pelanggan.

"Ada segelintir pelanggan yang suka merungut kerana barang tidak sempurna. Namun sebagai penyedia perkhidmatan, saya perlu bersabar dan terima pandangan yang diberikan dengan hati terbuka.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kebanyakan dalam kalangan pelanggan memberi kerjasama yang baik," katanya.

Mengulas lanjut untuk menjadi seorang PS yang baik, mereka perlu sentiasa menggunakan media sosial untuk iklankan perkhidmatan yang ditawarkan.

"Di media sosial kita dapat tarik pelanggan dengan mudah dan murah. Cumanya kena rajin supaya kewujudan kita disedari orang ramai.

"Perlu diakui jumlah PS sekarang semakin bertambah, namun saya tidak anggap itu sebagai saingan kerana percaya kepada rezeki asalkan berusaha," katanya.

Mengenai perancangan masa hadapan, Suliza akan terus fokus dengan kerjaya sebagai PS.

"Pada masa sama, sekiranya mempunyai rezeki lebih, saya rancang untuk menyediakan stok barang yang mendapat sambutan ramai di rumah.

"Apabila ada tempahan, saya boleh terus hantar kepada mereka," katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 7:01am
d