WM

Rindu kembali bertaut

Oleh Nurul Husna Mahmud

KEBENARAN rentas negeri adalah hadiah terbaik buat rakyat Malaysia terutama warga kota tidak berkesempatan meraikan Syawal baru-baru ini di kampung halaman selepas kerajaan mengumumkan sekatan merentas negeri ditarik balik.

Ia menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula semalam (10 Jun).

Bukan sekadar rindu terhadap kampung halaman terubat, malah kesempatan dalam tempoh PKPP memberi ruang hubungan kekeluargaan kembali bertaut.

Di sebalik kemudahan teknologi dan aplikasi penyambung kasih, tiada lebih bermakna apabila diri dapat bersua muka dengan ahli keluarga dalam menyimpul kasih yang terpisah dek penularan pandemik Covid-19.

Jika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masyarakat negara ini tidak dibenarkan merentas negeri, kini PKPP adalah kesempatan untuk bertemu dan bersua muka dengan ahli keluarga yang sudah lama tidak ditemui.

Begitu juga dengan Cik Suriati Che Said, 43, yang mengakui menerusi sambutan rayalah peluang untuknya dan keluarga merapatkan hubungan baik dengan adik-beradik dan sanak saudara yang berjauhan.

"Pada saya tiada lebih bermakna daripada pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkenaan pelaksanaan fasa PKPP ini kerana dapat bertemu bapa.

"Sejak ibu, Rasnah Ismail meninggal dunia, bapa, Che Said Che Soh, 73, adalah syurga buat saya dan adik-beradik yang lain. Rasa sangat lega apabila kerajaan membuka sekatan kerana ini bermakna saya dapat melawat orang tua.

"Bukan itu sahaja, saya yang jauh dan sibuk dengan kerja sebelum ini selalu menjadikan raya saat untuk eratkan semula hubungan kami. Jadi tahun ini ada rasa kurang kerana masing-masing terpaksa beraya di rumah sendiri, katanya yang juga anak sulung daripada enam beradik.

Dalam keterujaan untuk bertemu bapanya itu dijangka pada 19 Jun nanti, dia tidak melupakan aspek penting dalam memastikan langkah pencegahan pandemik Covid-19 diambil.

"Ramai orang berasa sayang perlu dizahirkan dengan ziarah dan pelukan untuk luah rasa sayang. Tetapi dalam kondisi ini sebenarnya langkah berbeza perlu dilakukan apatah lagi bapa saya golongan berisiko jadi kena lebih kawalan diri.

"Pemeriksaan kesihatan diri terlebih dulu kami lakukan. Kalau ditakdirkan ada gejala tidak sihat seperti batuk, demam, lenguh badan atau seumpamanya, saya perlu tangguhkan dulu balik kampung.

"Pada saya tidak perlu terburu-buru untuk pulang ke kampung kerana keutamaan ialah keselamatan dan kesihatan diri. Orang tua saya juga faham dan berharap saya meletakkan hal kesihatan sebagai keutamaan berbanding perkara lain, katanya.

Berkongsi mengenai sambutan raya baru-baru ini, kata Cik Suriati, Aidilfitri masih dirasai apabila dapat meraikan dalam suasana sederhana bersama suami, Ahmad Fairuz Ramli, 44, dan anak, Alisha Ahmad Fairuz, 11.

"Kami tetap lakukan solat sunat hari raya berjemaah dan masak juadah kegemaran seperti ketupat kerana suami sangat handal menganyam. Kebetulan saya tinggal bersama ibu mentua, jadi juadah kegemaran seisi keluarga iaitu nasi minyak disediakan oleh beliau, katanya.

Sementara itu, pemandu trak penunda persendirian Khamarulzaman Murad, 45, menyifatkan kelonggaran diberi kerajaan bermakna perlu lebih mengingatkan keluarga.

"Saya gembira apabila kerajaan ambil inisiatif untuk memulih dan membantu golongan terjejas untuk menjana kembali industri masing-masing. Apabila sekatan merentas negeri dibuka bermaksud rezeki juga makin baik untuk kami meskipun mengambil masa.

"Memang saya akan balik ke kampung untuk lawat orang tua di Kuantan, Pahang. Namun bukan dalam masa terdekat kerana ada perniagaan lemang daun lerek dan rendang menerusi FB Dapur ATH baru diusahakan bersama keluarga masih giat terima tempahan, katanya.

"Biarlah dulu 'gelombang' pertama atau kedua mereka benar-benar berkeperluan balik atau sudah lama tidak jenguk orang tua balik dulu. Saya lihat golongan bujang yang sendirian paling perlukan peluang ini.

Saya sekeluarga perlu fokus hal penting iaitu perniagaan dan kemudian merancang untuk pulang apabila keadaan dipastikan benar-benar selamat, katanya.

Malah katanya, PKPP ini amat bermakna bukan sekadar ekonomi semata-mata, sebaliknya ia turut memberi kesan kepada pemulihan sosial dan emosi.

"Inilah peluang kedua patut dihargai baik memulihkan hubungan kekeluargaan, saudara mara dan juga kenalan yang selama ini mungkin ada terlepas pandang, katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 7:00am
d