WM

Rasa sakit lebih lama

Oleh Nurul Husna Mahmud

PENGETAHUAN penulis mengenai cabaran ibu dalam melahirkan anak sekadar mendengar cerita kesakitannya yang melangkaui mana-mana kesakitan pernah dihadapi sepanjang hidup.

Malah melihat aksi† Youtuber lelaki di luar negara cuba merasai sendiri kesakitan itu, mengakui derita ketika 'kontraksi' melebihi kekuatan 'kelelakian' yang ada.

Biasanya komplikasi luar biasa seperti bayi menyongsang dan melintang antara faktor peralihan daripada pengalaman bersalin normal kepada kaedah pembedahan atau ceasarean.

Menyelami situasi itu, Azura Yaacob, 47, yang tidak menolak pengalaman melahirkan anak bongsu, Nur Syazwani Ahmad Termizi, 13 tahun dulu menerusi pembedahan caesarean antara tidak boleh lupa apabila kandungannya berada pada kedudukan melintang.

"Setiap ibu mungkin mempunyai persepsi tersendiri† pengalaman melahirkan anak mereka menerusi caesarean, tetapi bagi saya sudah melalui pengalaman bersalin normal untuk dua anak lain berasakan tiada kesakitan berbanding melahirkan anak menerusi kaedah itu.

"Kalau diberi pilihan bersalin normal dan melalui tempoh pantang yang ketat berbanding ceasarean, saya pilih untuk mengharung kesakitan bersalin secara normal.

"Pengalaman saya, bersalin normal sakitnya saat bersalin dan rasa hilang selepas lihat anak. Tetapi, bagi ceasarean rasa sakit seperti disiat-siat sebaik kesan ubat bius 'hilang' dan berlarutan sehingga dua tiga minggu.

"Rasa ngilu terutama apabila perlu lakukan urusan seperti membuang air kecil dan sebagainya," katanya.

Meskipun pernah melalui detik cemas ketika bersalin anak sulung iaitu uri melekat pada anak menyebabkan proses bersalin mengambil masa lama, namun kata Azura, keperitan bersalin pembedahan dirasakan lebih mencabar.

"Ketika saya bersalin di hospital kerajaan di Perak kebetulan bilik bersalin penuh terpaksa dipindahkan ke bilik pembedahan utama, saya dibius dan proses pembedahan berjalan lancar.

"Rumitnya bermula apabila ubat 'hilang,' rasa sakit tidak tertanggung apatah lagi saya perlu bergerak dan diminta berjalan untuk memastikan darah kotor turun berbanding bersalin normal, darah itu keluar bersama bayi.

"Mengenai penjagaan memang teliti termasuk tidak boleh berurut dan bertungku, malah luka perlu dicuci selalu bagi mengelakkan jangkitan. Dalam saya berhati-hati menjaga ada juga terkena jangkitan menyebabkan perlu dapatkan antibiotik untuk mengelakkan masalah lebih teruk," katanya.

Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pakar KPJ Rawang Dr Premalatha Supramaniam, tidak dinafikan pembedahan ceasarean adalah pilihan terakhir bagi kebanyakan wanita tempatan dalam melahirkan anak.

Menerangkan pembedahan itu berkeperluan dalam memastikan keselamatan ibu dan bayinya apabila didapati berisiko menghidapi komplikasi bersalin.

"Mudahnya pembedahan ceasarean ini biasanya dilakukan apabila didapati keadaan ibu dan bayi terancam jika bersalin normal atas faktor seperti kedudukan bayi menyongsang dan melintang, ibu mengalami masalah kesihatan lain seperti kencing manis dan darah tinggi tidak terkawal. Selain kondisi seperti bukaan rahim tidak capai 10 sentimeter dan lain-lain lagi.

"Prosedur pembedahan kami akan lakukan mengikut keperluan dan ada beberapa kaedah antaranya Joel-Cohen (Joel-Cohen, Misgav-Ladach) mempunyai kelebihan jangka pendek berbanding kaedah Pfannenstiel dan kaedah garis tengah rendah tradisional.

"Potongan membabitkan di bahagian uri menegak (melintang) ke pusat pada ukuran sekitar lima sentimeter membolehkan bayi ditarik keluar. Kemudian luka itu dijahit dan luka luar ditampal dengan pelekat khas," katanya.

Sebaik ditanya mitos mengenai amalan tertentu seperti makan ikan haruan dan pengambilan herba tertentu dalam membantu luka segera sembuh kata Premalatha, sebagai pengamal profesional, beliau tidak menggalakkan sebarang pengambilan bahan tertentu kerana bimbang kesan sampingan termasuk jangkitan kuman.

"Penjagaan luka pembedahan ceasarean ini sama seperti luka pembedahan lain yang memerlukan sekitar enam minggu untuk baik. Sebenarnya persiapan itu perlu dilakukan lebih awal oleh ibu termasuk pengambilan makanan sihat selain preskripsi penting seperti asid folik kerana itu keperluan baik untuk bayi dan ibu.

"Lain-lain ialah penjagaan kulit iaitu minyak atau krim untuk bantu atasi masalah regangan. Lebih awal penjagaan, lagi mudah pengendalian kesan luka selepas pembedahan," katanya.

Ditanya mengapa pula saranan hanya tiga kali dibenarkan menjalani pembedahan itu, kata Premalatha, disebabkan pembedahan itu dilakukan di tempat sama berkali-kali boleh menyebabkan komplikasi lain kepada ibu.

"Kalau dipotong di tempat sama berkali-kali, khuatir otot bahagian itu tidak mampu pulih dengan baik selain masalah pendarahan dan mudah terkena jangkitan kuman," katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 7:00am
d