WM

Ikhtiar kala pandemik

Oleh Nurul Husna Mahmud

GOLONGAN B40 kian terbeban dengan kos sara hidup meningkat ditambah kesan penularan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Segelintir mereka hilang punca pendapatan terutama peniaga kecil-kecilan yang tidak dapat menjalankan perniagaan ketika PKP.

Dalam tempoh berkenaan satu inisiatif membantu golongan terbabit yakni memfokuskan kepada wanita yang mewakili golongan kurang bernasib baik termasuk ibu tunggal.

Mereka diberi pendedahan mengenai amalan normal baharu untuk berniaga secara atas talian menggunakan pelbagai aplikasi supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup pasca Covid-19.

Bagi peniaga pakaian di Bandar Tun Razak Cheras, Norhana Yusof berkata, pendapatannya lebih terjejas sepanjang tempoh PKP apatah lagi terpaksa menutup operasi kedai pakaiannya lebih awal kerana anak sulungnya terbabit kemalangan sejak Januari lalu.

"Sebelum PKP lagi saya terpaksa menutup sementara kedai baju diusahakan bersama ibu sebelum ini selepas anak lelaki terbabit kemalangan menyebabkan keting kirinya patah.

"Dia bergantung sepenuhnya kepada saya untuk bergerak dan perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur. Jadi, saya terpaksa tutup sementara kedai pada penghujung Januari lalu. Ditambah pula dengan PKP.

"Waktu itu saya bergantung kepada simpanan sebelum ini dan perlu cari perniagaan lain dalam menampung kehidupan kami anak-beranak yang sepenuhnya bergantung daripada hasil jualan harian," katanya.

Tambah Norhana, lebih mencabar apabila keadaan rumah di Cheras, Kuala Lumpur itu hanya rumah persinggahan dan tidak mempunyai kelengkapan mencukupi menyebabkan dia terpaksa memulakan perniagaan daging dinding untuk kelangsungan hidup.

"Saya sebelum ini ada perniagaan biskut, tetapi tidak dapat buat kerana peralatan semua di rumah ibu saya di Pajam, Negeri Sembilan. Jadi, saya memutuskan untuk jual daging dinding bermula dengan kenalan menerusi WhatsApp.

"Kemudian apabila kerajaan membenarkan rentas negeri, saya mula hasilkan daging dinding dengan jumlah mencecah tempahan 50 kilogram.

"Itu hasil platform Facebook dan teknik perniagaan atas talian dipelajari ketika mengikuti kursus di bawah program keusahawanan pertubuhan bukan kerajaan Women of Will (WOW)," katanya yang juga ibu tunggal dua anak.

Selain Norhana, ibu kepada tujuh orang anak berusia antara sembilan tahun hingga 20-an, Sarena Mohd Yusof berkata, dia perlu mencari perniagaan baharu dalam membantu menampung perniagaan spa bergerak terjejas ketika tempoh PKP.

"Saya tiada langsung pendapatan pada bulan pertama PKP apabila perniagaan spa bergerak tidak dapat dijalankan. Jadi saya beralih kepada model perniagaan baharu iaitu pek produk sedia dimakan untuk pelajar atau wanita sibuk bekerjaya.

"Dalam tempoh sebulan memulakan perniagaan baharu itu juga saya banyak belajar termasuk mengenai strategi jualan, kaedah promosi produk dan paling penting pek sesuai untuk pasarkan produk.

"Sebelum ini saya tidak pernah gunakan sebarang aplikasi, tetapi bawah program keusahawanan itu saya mula mahir mengendalikan pelbagai aplikasi terutama membabitkan penghantaran cukup penting dalam tempoh PKP lalu," katanya.

Dia tidak menyangka strategi jualan di atas talian membantu wanita sepertinya dapat mengembangkan perniagaan luar dari Lembah Klang.

"Saya fikir produk sambal saya tidak boleh pergi jauh, tetapi pendedahan dan pengalaman kursus atas talian itu banyak bantu beri keyakinan kepada diri saya.

"Bayangkan impak perniagaan atas talian, setiap minggu saya hasilkan stok sekitar 100 hingga 150 pek habis terjual dan pelanggan saya bukan sahaja datang dari Lembah Klang sebaliknya sejauh Rom," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi WOW Lakswin Muruga berkata, dalam tempoh PKP rata- rata peserta yang juga wanita atau ibu daripada keluarga B40 Program Perumahan Rakyat (PPR) terpilih terjejas kerana tidak dapat menjalankan perniagaan mereka.

"April lalu kami membuat tinjauan terhadap peserta yang mengikuti program keusahawanan WOW iaitu program 'mentoring' untuk wanita atau ibu dari keluarga B40 untuk meningkatkan pendapatan mereka.

"Kami mendapati dalam tempoh berkenaan 80 peratus terkesan dengan pendapatan hanya dapat dijana sekitar 20 hingga 30 peratus sahaja. Jadi kami terpaksa mengubah strategi termasuk model perniagaan mereka dengan menekankan perniagaan atas talian," katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2020 @ 6:45am
d