WM

Bawa grab, buat spa

Oleh Muhamaad Razis Ismail

MENJADI ibu tunggal kepada tiga anak pada usia yang sangat muda bukanlah tugas mudah.

Tambahan pula, tinggal di ibu kota yang penuh mencabar membuatkan Siti Hajar Zakaria, 28, perlu melakukan pelbagai kerja untuk menyara keluarga tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

Biarpun berdepan cabaran dan dugaan hidup, dia dilihat mempunyai semangat juang tinggi untuk mencipta kejayaan dalam hidup.

Tiga anaknya masing-masing berusia tiga, lima dan lapan tahun menjadi kekuatannya untuk terus berusaha mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik.

Memulakan kerja sebagai pemandu Grab, kini, Siti Hajar menawarkan rawatan kecantikan dari rumah ke rumah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Siti Hajar berkata, dia mula menawarkan perkhidmatan itu sejak hampir setahun lalu.

Dia menggunakan wang simpanan hasil pendapatan pemandu Grab untuk menampung perbelanjaannya belajar mengenai teknik solekan di Akademik Ikin Ikirdz di Seri Kembangan yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

"Saya fikir hanya dengan memiliki kemahiran yang dapat membantu mengubah nasib kerana saya hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selain itu, saya turut menghadiri beberapa kelas rawatan kecantikan.

"Kemudian saya menjadi jurusolek sebelum berjinak-jinak menawarkan rawatan kecantikan dari rumah ke rumah.

"Ada sebab saya berbuat demikian, kerana tidak memiliki ruang yang selesa dan hanya mampu menyewa bilik di sebuah rumah flat di Pudu.

"Pada masa sama, saya perlu membawa dua anaknya kerana tidak mampu untuk mengupah pengasuh," katanya baru-baru ini.

Menurutnya, perkhidmatan rawatan kecantikan bergerak kini mendapat sambutan dalam kalangan wanita kerana lebih selesa berbuat demikian di rumah sendiri.

"Perlu difahami kadang-kala biarpun seorang suri rumah, kekangan kerja dan masa menyebabkan mereka berdepan kesukaran untuk ke pusat kecantikan.

"Menerusi perkhidmatan yang ditawarkan, ia memberi peluang dan ruang kepada wanita mendapatkan rawatan dengan hanya berada di rumah," katanya.

Dia berkata, kini ramai wanita yang menawarkan perkhidmatan sama, sama ada sebagai pendapatan utama atau sampingan.

"Kelebihannya, individu seperti saya yang tidak miliki modal mencukupi untuk membeli atau menyewa premis sendiri, kami boleh menawarkan perkhidmatan dari rumah ke rumah.

"Saya akui kini semakin banyak persaingan apabila ramai yang menceburi bidang itu. Namun saya melihatnya daripada sudut positif dengan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada setiap pelanggan," katanya.

Tambahnya, antara rawatan yang disediakan termasuk rawatan wajah, mata, dagu, hidung dan menghilangkan garis halus dengan tawaran harga serendah RM89 hingga RM150.

"Semuanya bergantung kepada kehendak pelanggan. Untuk pakej paling asas, saya sediakan perkhidmatan mencuci wajah.

"Manakala untuk pakej penuh, saya sediakan rawatan urut wajah untuk membentuk pipi, dagu, hidung, hilangkan dagu berlapis dan garis halus," katanya.

Mengulas lanjut, biasanya dia akan memperuntukkan masa satu hingga dua jam untuk setiap pelanggan mengikut jenis rawatan yang dipilih.

"Pelanggan yang menjalani rawatan sangat suka apabila menerima urutan di wajah kerana ia membuatkan mereka rasa tenang. Untuk memastikan bayaran yang dibuat berbaloi, biasanya saya akan peruntukan masa yang lebih dengan bayaran sama.

"Saya sangat mementingkan kepuasan pelanggan kerana tidak mampu untuk sediakan ruang yang selesa," katanya.

Pada masa sama, ketika rawatan dijalankan, dia sering berkongsi panduan sesuai dengan masalah yang dihadapi pelanggannya.

"Sebagai contoh, untuk pelanggan yang berdepan masalah lebam di bawah mata dan kulit kering, saya kongsikan tip menggunakan bahan semula jadi seperti tomato dan timun.

"Ini antara sebahagian kaedah yang saya gunakan supaya pelanggan selesa," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Siti Hajar berhasrat untuk memiliki premis sendiri.

"Cuma sekarang ini, kalau diberi RM100,000 pun belum tentu saya boleh uruskan kerana tidak memiliki ilmu yang mencukupi dalam bidang perniagaan. Oleh itu, selain daripada kewangan, saya perlu bersedia dengan ilmu untuk lebih berjaya," katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2020 @ 7:00am
d