WM

Implikasi pembedahan caesarean

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

TANYA sahaja kepada setiap ibu hamil pasti mengimpikan untuk bersalin secara normal tanpa ada sebarang risiko komplikasi.

Namun, harus difahami ada keadaan tertentu yang tidak membolehkan mereka berbuat demikian dan ia tidak sepatutnya menjadi satu cemuhan.

Lazimnya, faktor utama si ibu perlu menjalani pembedahan 'Caesarean Section' (C-Sect) kerana ada sesuatu yang menghalang atau tidak mengizinkan kelahiran normal.

Ia termasuk keadaan bayi dikandung yang tidak membenarkan kelahiran secara normal, contohnya keadaan uri berada di bawah.

Keadaan itu boleh menghalang bayi melalui faraj selain menyebabkan pendarahan yang banyak.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Dr Nur Azurah Abdul Ghani berkata, ibu hamil yang mengalami tekanan darah tinggi yang tidak terkawal dan mula mengalami sakit kepala atau muntah-muntah juga perlu menjalani pembedahan untuk melahirkan bayi.

Sekiranya degupan bayi sudah tidak berada paras normal, memerlukan kelahiran secara pembedahan dengan segera kerana ia adalah cara yang paling cepat dan selamat untuk kedua- duanya.

"Selain itu, ibu yang sudah dua kali menjalani pembedahan caesarean juga tidak dibenarkan bersalin secara biasa kerana dikhuatiri jahitan yang lepas tidak dapat menanggung kontraksi.

"Keadaan itu boleh menyebabkan rahim merekah atau koyak sekali gus boleh menyumbang kepada kematian ibu dan bayi," katanya.

Menurut Dr Nur Azurah, tidak dapat dinafikan risiko pembedahan caesarean adalah lebih tinggi berbanding kelahiran biasa.

Katanya, tumpah darah adalah lebih banyak ketika pembedahan caesarean namun doktor akan menggunakan ubat-ubatan untuk mengecutkan rahim bagi mengurangkan pendarahan.

"Risiko kecederaan pada usus dan pundi kencing juga boleh berlaku terutama mereka yang menjalani pembedahan kedua dan ketiga," katanya.

Ketika ditanya mengenai had sebenar untuk kelahiran secara pembedahan, Dr Nur Azurah berkata, semuanya bergantung kepada beberapa faktor termasuk keadaan di dalam abdomen ketika pembedahan yang terakhir.

Kata beliau, kehamilan selepas pembedahan caesarean mempunyai risikonya yang tersendiri seperti uri lekat di bawah (placenta praevia).

"Paling mustahak, hasrat untuk kehamilan seterusnya haruslah dibincang bersama dengan doktor yang menjaga kehamilan supaya pasangan memahami situasi sebenarnya dan risiko yang bakal mereka hadapi," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Nur Azurah berkata, setiap pembedahan perlu diberi bius sama ada penuh (general anaesthesia) atau bius separuh badan seperti spinal atau epidural.

Pemberian bius itu kata Dr Nur Azurah juga ada komplikasinya seperti kesukaran pernafasan dan ketidaknormalan denyutan jantung serta sakit kepala.

"Pembedahan kedua dan seterusnya lazimnya mengambil masa yang lebih lama disebabkan pelekatan pundi kencing dan usus di dalam abdomen yang menyukarkan proses pembedahan," katanya.

Dr Nur Azurah berkata, pembedahan caesarean juga akan meninggalkan parut pada rahim.

Kata beliau, ketika proses implantasi, kadang-kadang janin akan tertanam di parut yang lama sekali gus menyebabkan uri terbentuk dan terlekat di parut yang lama.

Keadaan itu katanya akan menyebabkan uri terlekat di bahagian bawah rahim (keadaan yang dipanggil placenta previa).

"Adakalanya uri akan terbenam ke dalam otot rahim itu sendiri, yang mana sukar untuk ditanggalkan ketika pembedahan.

"Ia menyebabkan pembedahan untuk membuang rahim perlu dilakukan bagi mengelak pertumpahan darah yang berterusan.

"Keadaan itu dinamakan placenta accrete atau placenta perceta, ia bergantung sejauh mana uri tertanam di dalam otot rahim," katanya.

Menyentuh soal risiko kepada bayi pula, Dr Nur Azurah berkata, sekiranya pembedahan dilakukan pada usia kandungan 37 minggu, ada kalanya bayi belum bersedia dan terlupa untuk bernafas dengan sendiri.

Ia menyebabkan bayi berkenaan memerlukan pemantauan di wad selepas dilahirkan.

"Jika kepala bayi berada di bahagian bawah ketika pembedahan kecemasan, ia juga boleh menyukarkan doktor untuk mengeluarkannya," katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2020 @ 7:00am
d