WM

Bersalin secara pembedahan

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

KADAR ibu bersalin secara pembedahan di seluruh negara adalah pada tahap 30 peratus di setiap hospital.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Dr Nur Azurah Abdul Ghani berkata, secara amnya terdapat dua jenis potongan biasa yang dilakukan kepada rahim iaitu di bahagian bawah rahim secara melintang dan potongan klasik.

Katanya, potongan klasik dilakukan pada bahagian atas rahim secara melintang atau menegak.

"Pesakit yang menjalani pembedahan secara potongan 'classical' sebelum ini tidak dibenarkan bersalin secara biasa dan perlu menjalani pembedahan ulangan untuk kehamilan kedua dan seterusnya.

"Ibu hamil yang akan menjalani pembedahan dirancang akan diberi kaunseling di klinik selepas usia kandungan 36 minggu.

"Ketika sesi kaunseling itu, semua risiko dan proses pembedahan akan diterangkan sebaiknya kepada ibu hamil," katanya.

Jelas Dr Nur Azurah lagi, pembedahan secara elektif (pilihan) adalah lebih baik kerana situasi lebih teratur di mana pesakit dan doktor sudah bersedia secara mental sepenuhnya.

"Selain itu, persediaan untuk pembedahan seperti berpuasa ubat-ubatan juga dilakukan secara rapi.

"Jadi, risiko komplikasi adalah kurang jika dilakukan secara elektif," katanya.

Menurut beliau, ramai wanita yang berjaya bersalin secara normal untuk kehamilan kedua mereka namun ada segelintir yang tidak berjaya.

Katanya, bagi ibu yang hendak bersalin secara normal, doktor akan memantau proses kelahiran bagi mengesan tanda awal yang menunjukkan rahim sedang merekah.

"Peratusan rahim pecah adalah kurang daripada dua peratus namun ia tidak seharusnya dilihat remeh kerana nyawa seorang ibu tidak seharusnya menjadi pertaruhan dalam hal ini.

"Risiko kematian bayi dan ibu adalah sangat tinggi jika rahim pecah," katanya.

Dalam pada itu ketika diminta berkongsi pengalaman sepanjang kariernya, Dr Nur Azurah berkata, masih segar di ingatan kepada satu peristiwa yang berlaku terhadap seorang ibu yang enggan memberi keizinan untuk menjalani pembedahan meskipun degupan jantung bayinya sudah lemah.

Katanya Dr Nur Azurah, wanita terbabit berkeras mahu bersalin secara normal kerana kehamilan pertama dilahirkan menerusi kaedah pembedahan.

"Dia merasakan tidak lengkap sebagai wanita kerana tidak dapat bersalin secara normal sedangkan keadaan ketika itu tidak mengizinkan kami menunggu lebih lama kerana pembukaan faraj belum 10 sentimeter (sm).

"Suami wanita itu pula tidak dapat berbuat apa-apa dan selepas sekian lama dipujuk, akhirnya wanita berkenaan bersetuju memberi keizinan," katanya.

Sebaik sahaja keizinan diperoleh, pasukan pembedahan memulakan tugas dengan segera memandangkan degupan jantung bayi semakin perlahan.

Tambah Dr Nur Azurah, sebagai doktor yang bertanggungjawab, jantungnya juga bagaikan terhenti saat mendengar degupan bayi berkenaan.

Katanya, mujur bayi berkenaan berjaya dikeluarkan dalam masa beberapa minit sahaja dan segera diberikan kepada doktor pediatrik.

"Pasukan pediatrik berusaha bersungguh-sungguh untuk memberi bantuan pernafasan dan boleh dikatakan suasana di bilik pembedahan ketika itu sepi, masing-masing berdoa mengharapkan keajaiban.

"Namun, sebaik sahaja mendengar tangisan bayi berkenaan, bilik pembedahan seakan kembali bernafas dan Alhamdulillah, bayi itu selamat, tetapi perlu pemantauan di wad bayi," katanya.

Menurut Dr Nur Azurah, pedoman yang boleh diperoleh daripada kes berkenaan adalah setiap ibu hamil perlu reda jika kelahiran secara pembedahan mungkin adalah pilihan lebih baik untuk dirinya dan bayi yang dikandung.

"Setiap wanita mahu bersalin secara normal namun ada kala kita perlu reda dengan ketentuan dan keadaan kesihatan ketika itu.

"Jangan sesekali membandingkan kehamilan kita dengan orang lain kerana perjalanan setiap individu adalah berbeza.

"Apapun, bagi yang berjaya bersalin secara biasa, elak beri tekanan pada mereka yang perlu menjalani pembedahan caesarean," katanya.

Sementara itu, Dr Nur Azurah turut menafikan pendapat sesetengah pihak bahawa kemurungan sering berlaku dan ibu juga menghadapi masalah untuk menyusukan bayi selepas bersalin menerusi pembedahan.

Ini kerana jelas beliau, ramai ibu yang berjaya menyusukan bayi mereka dengan baik selepas menjalani pembedahan caesarean.

"Ketika pembedahan, selepas bayi dikeluarkan dari abdomen, sekiranya tiada masalah dengan keadaan kesihatan, bayi itu akan diletakkan atas dada ibunya untuk tujuan hubungan kulit ke kulit yang mana boleh merangsang penyusuan ibu.

"Selepas pembedahan, penyusuan masih boleh dilakukan dalam keadaan ibu berbaring," katanya.

Disiarkan pada: September 2, 2020 @ 7:00am
d