WM

Seri ketika berhijab

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

TIDAK kira apa jua acara yang dihadiri, setiap wanita pastinya mahu tampil menawan.

Untuk itu, solekan perlu dikenakan kerana ia bukan sahaja mampu melindungi wajah kusam malah menjadikan gaya dan penampilan lebih menyerlah.

Bagi wanita bertudung misalnya, anda masih boleh tampil penuh bergaya jika sesuai padanan fesyen dan solekan.

Menurut jurusolek bertauliah, Yann Ahmad, kebanyakan wanita muda Muslimah gemarkan solekan ala semula jadi.

Namun kata Yann, ada juga yang berani mencuba pelbagai gaya solekan hangat dan terkini.

Katanya, wanita berkulit cerah misalnya boleh mencuba solekan hangat daripada rona terang.

"Jika mahu tampil dengan solekan yang lebih berani dan hangat, fokus perlu tertumpu kepada pemilihan rona gincu bibir lebih terang.

"Selain itu, untuk pemerah pipi, rona juga perlu lebih gelap.

"Jika dipadankan dengan busana tradisional seperti kebaya klasik, solekan sebegini juga sesuai untuk acara rasmi," katanya.

Kata Yann lagi, jika gincu bibir dan pemerah pipi daripada rona terang, pembayang mata pula perlu sebaliknya.

Warna-warna selamat seperti rona pastel yang diadun bersama mampu menaikkan lagi seri solekan.

"Apa yang penting dalam solekan, kena berani mencuba dan rona yang dipilih pula perlu sesuai dengan rona kulit, tema solekan serta fesyen yang dipakai.

"Solekan juga tidak seharusnya keterlaluan kerana ia boleh melindungi kecantikan yang dimiliki, "katanya.

Sementara itu, ketika diminta berkongsi petua supaya solekan tahan lebih lama, Yann menyarankan supaya memakai semburan 'face mist' berasaskan air sebelum memulakan solekan.

Katanya, pemakaian serum dan pelembap sebelum memulakan solekan juga dapat membantu menjaga kulit wajah serta mengekalkan solekan berjam-jam lamanya.

Bagi wanita Muslimah yang ingin mencuba solekan yang lebih berani dan hangat, berikut adalah langkah demi langkah yang boleh dijadikan panduan. Selamat mencuba!

Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 7:01am
d