WM

Rai 'wira' pusat beli-belah

Oleh Nurul Husna Mahmud

DALAM menghargai usaha petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik Covid-19, Kumpulan Suria KLCC meraikan 200 kakitangannya dari tiga pusat membeli-belah iaitu Suria KLCC, Alamanda dan Mesra Mall dalam tiga lokasi berasingan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien, usaha itu sebagai menghargai segala kerja keras kakitangannya yang bertindak memastikan keselamatan pengunjung yang mengunjungi pusat membeli-belah di bawah pengurusan kumpulan itu.

"Mereka adalah wira kami yang tidak kenal jemu di dalam memastikan setiap keperluan pelanggan sejak dari hari pertama penularan pandemik Covid-19 di negara kita apatah lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Justeru, kami mengambil inisiatif menzahirkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan sekali gus menghargai titik peluh mereka yang tidak kurang pentingnya di dalam usaha memerangi pandemik ini.

"Kakitangan yang diraikan daripada jabatan keselamatan, kebersihan dan sanitasi, pengemasan, penyelenggaraan dan penyambut tetamu yang tidak pernah lekang menitik berat serta mengawasi setiap pergerakan di dalam semua pusat beli-belah Kumpulan Suria KLCC. Selain sentiasa memastikan persekitaran bersih dan selamat," katanya.

Semua kakitangan itu diraikan secara berperingkat dalam majlis berasingan di Serai Suria KLCC, Secret Recipe Alamanda dan Nandos Mesra Mall bermula sejak 25 Ogos lalu.

Pengurus Jabatan Keselamatan Suria KLCC Mohammad Norhafizi Nasruddin menyifatkan keselamatan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan pihaknya terutama dalam tempoh pandemik ini.

"Ia satu tempoh mencabar untuk saya dan rakan sejawat kerana kami tidak pernah menghadapi situasi sebegini sebelum ini. Selain itu, Covid-19 adalah pandemik baharu dan membiasakan diri dengan norma baharu. Hingga pada satu tahap terpaksa mencari penyelesaian dalam memastikan tahap keselamatan dan sekuriti mengikut standard ditetapkan kerajaan.

"Kami perlu belajar untuk aplikasi teknologi baharu seperti Alat Pengukur Suhu Thermal dan juga pergerakan baik kakitangan mahupun pentadbiran serta keseluruhan kumpulan supaya kawalan kerja berada di tahap keselamatan yang tinggi tanpa mengganggu kesejahteraan pengunjung," katanya yang turut melahirkan rasa terharu diraikan dalam majlis ringkas terbabit.

Sementara itu kru sanitasi Naisah Izzati Kasmudi menzahirkan rasa syukur dan gembira apabila usaha keras dia serta rakan kakitangan lain mendapat perhatian majikan.

"Bagi kami apabila diraikan dalam satu majlis penuh bermakna rasa penat kami berasa segala penat 'terbayar' kerana pihak atasan tahu kami bersama-sama mereka bekerja keras memastikan keselamatan pengunjung keluar masuk setiap hari.

"Tentunya kami memberikan yang terbaik kerana lokasi ini bukan sahaja tempat kami mencari rezeki malah kawasan tumpuan rakyat tempatan mahupun luar bekerja, membeli-belah atau makan. Jadi, sebagai kru sanitasi yang bertanggungjawab memastikan setiap pelosok pusat membeli-belah ini bebas daripada kuman.

"Kami antara kakitangan mempunyai peranan besar membantu dalam memberi keyakinan mengenai tahap keselamatan selain bahagian lain," katanya.

Tidak hanya meraikan kakitangannya, Kumpulan Suria KLCC turut meraikan pengunjung pusat membeli-belahnya apabila menganjurkan Kempen Hari Merdeka di Alamanda, Putrajaya bermula sejak 25 Ogos hingga 16 September.

Pelbagai aktiviti komuniti diadakan termasuk pertandingan seni VIKids, usaha mengumpul dana yang berjumlah RM10,000 bagi pemberian sumbangan makanan ringan kepada petugas di sebuah hospital di Putrajaya dan agihan nasi lemak pada 31 Ogos (Hari Kebangsaan) dan 16 September 2020 (Hari Malaysia) kepada pembeli yang menggayakan kemeja T Merdeka eksklusif edisi terhad Alamanda.

Disiarkan pada: September 11, 2020 @ 6:13am
d