WM

Strategi baharu bawa rezeki

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

SPA, kecantikan dan kesihatan Bumiputera, Syifa Beauty & Spa yang terletak di Ampang, Kuala Lumpur sedang menyusun strategi ke arah pemasaran digital.

Pengasasnya, Kartika Devi Sharifuddin berkata, ia susulan pandemik Covid-19 yang memaksa beliau mengubah corak perniagaannya sejajar dengan norma baharu.

"Penutupan operasi selamat tiga bulan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyedarkan kami kepentingan pemasaran digital.

"Sepanjang penutupan operasi itu, Facebook dan aplikasi WhatsApp menjadi platform menghubungkan kami dengan pelanggan melalui perkongsian maklumat berguna mengenai kesihatan dan tips kecantikan.

"Dengan adanya platform ini, kami dapat mengekalkan pelanggan sedia ada dan menarik pelanggan baharu," katanya.

Kartika Devi berkata, strategi itu berkesan mengurangkan kerugian yang dialaminya apabila selepas saja perniagaan dibenarkan beroperasi semula tempahan pelanggan penuh.

"Pada awalnya, saya terfikir untuk menutup perniagaan ini akibat kerugian teruk kesan daripada Covid-19.

"Pembukaan awal selepas PKP, Julai lalu disambut baik pelanggan sehingga hampir setiap hari slot urutan dan rawatan kecantikan penuh," katanya.

Menurutnya, pihaknya mengetengahkan konsep tradisional Bali yang menggunakan bahan semula jadi untuk setiap rawatan yang merupakan keunikan dan satu-satunya di Ampang.

"Rahsia kami mengekalkan pelanggan dengan memberikan perkhidmatan terbaik demi menjamin kepuasan pelanggan.

"Selain itu, kami juga menawarkan harga mampu milik bagi perkhidmatan rawatan urutan tradisional selama satu jam serendah RM65.

Katanya, selain pakej itu, spanya turut menawarkan rawatan totok wajah, sauna, mandian dan herba, lulur, bertangas serta terapi batu.

Kartika berkata, pihaknya menggunakan produk di bawah jenama Tanamera bagi rawatan tradisional manakala jenama Elken bagi rawatan wajah.

"Untuk maklumat lanjut pakej-pakej menarik yang ditawarkan boleh layari Facebook Syifa Beauty & Spa," katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2020 @ 6:50am
d