WM

Penjaga pantang

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

BERGELAR ibu dan ayah sememangnya mengujakan terutama pasangan yang baharu pertama kali bakal menimang cahaya mata.

Sebelum bayi lahir, bakal ibu bapa membuat pelbagai persediaan dan perancangan untuk menyambut kelahiran bayi termasuk berkaitan urusan berpantang.

Ramai memilih berpantang di rumah ibu bapa, mentua dan ada yang selesa berpantang sendirian di rumah sendiri dengan bantuan 'confinement lady' atau penjaga pantang.

Perkhidmatan penjaga pantang kini diakui semakin mendapat sambutan terutama bagi pasangan yang berjauhan dengan ibu bapa dan keluarga.

Selain itu, ada pasangan yang memilih penjaga pantang kerana tidak mahu menyusahkan keluarga terutama ibu atau ibu mentua yang sudah berusia.

Apapun alasannya, perkhidmatan itu kini bagaikan sudah menjadi keperluan khususnya bagi pasangan yang bekerja dan menetap di bandar besar terutama ibu kota Kuala Lumpur.

Antara penyedia perkhidmatan penjagaan pantang yang semakin mendapat sambutan adalah Dr Bidan yang diasaskan Shamimi Nabihah Bsime, 30, bersama suaminya, Mohammad Fitri Izman Abdul Hamid, 30.

Shamimi berkata, dia memberanikan diri menceburi bidang berkenaan pada 2014 selepas lebih empat tahun mengumpul pengalaman sebagai ahli terapi di spa milik ibu saudaranya di Shah Alam, Selangor.

"Berbeza dengan penyedia perkhidmatan penjagaan pantang lain, kami memberi tumpuan kepada rawatan urutan tradisional yang selari dengan rawatan moden.

"Maksudnya, dalam kami membantu menjaga ibu selepas bersalin, mereka juga akan diajar mengenai cara penjagaan pantang yang betul mengikut tahap kesihatan masing-masing.

"Ini kerana untuk menjaga nyawa manusia perlu ada ilmu. Jadi, sebelum melakukan sesuatu rawatan selepas pantang, semua ibu perlu mengisi borang berkaitan sejarah kesihatan dan sebagainya bagi memudahkan penjaga pantang kami menentukan kaedah terbaik untuk menjaga mereka," katanya.

Jelas Shamimi, ibu yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi misalnya tidak boleh berada dalam sauna yang terlalu panas dan suhunya perlu sentiasa dipantau.

Begitu juga dengan ibu yang mempunyai diabetes, menu masakan juga perlu disesuaikan dengan diet mereka.

Bukan itu sahaja, aspek psikologi ibu yang berpantang juga perlu sentiasa dijaga kerana kebanyakan mereka cepat sensitif dan penjaga pantang perlu tahu bagaimana untuk menanganinya.

Shamimi berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan dan setiap penjaga pantang atau ahli terapi perlu menjalani latihan intensif selama dua bulan sebelum dibenarkan menjaga ibu berpantang.

"Sepanjang tempoh itu, mereka akan mempelajari asas urutan, penjagaan penyakit, penjagaan ibu berpantang, latihan amali dan sebagainya.

"Bagi pekerja yang sudah berkhidmat melebihi dua tahun, mereka akan dihantar untuk mempelajari Sijil Kemahiran MARA (SKM) bagi menambahkan lagi kemahiran dan penjaga pantang kami juga dalam proses untuk berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya yang turut bekerjasama dengan Persatuan Urutan Terapeutik dan Penjagaan Melayu Malaysia (PUTRAM).

Menurut Shamimi, pihaknya juga mengalu-alukan wanita yang kehilangan punca pendapatan akibat Covid-19 untuk menjadi ahli terapi dan penjaga pantang di Dr Bidan.

Katanya, bagi yang tidak memiliki sebarang pengalaman, mereka akan diajar dan dilatih daripada kosong sehingga benar-benar memiliki kemahiran untuk dihantar keluar menjaga pelanggan.

"Wanita tidak kira yang sudah berkeluarga, ibu tunggal mahu pun golongan B40 boleh menjana pendapatan sampingan.

"Jika tidak sebagai penjaga pantang, dengan kemahiran yang ada mereka juga boleh menyediakan khidmat rawatan urutan dari rumah ke rumah," katanya yang turut mengeluarkan set lengkap produk penjagaan pantang.

Pemilik Diploma Fisioterapi dari Universiti Selangor (Unisel) itu berkata, selepas hampir enam tahun, Dr Bidan kini memiliki 30 penjaga pantang berusia 25 hingga 60 tahun dan ada yang sebelum ini pernah menjadi bidan bertahun-tahun lamanya.

Kata Shamimi, pelbagai pakej rawatan disediakan dengan harga berpatutan bermula RM350 dan perkhidmatannya meliputi seluruh Malaysia dan luar negara.

Antara rawatan yang disediakan termasuk urutan tradisional, sauna, bertangas, bertungku, urutan penaik seri wajah, urutan ikhtiar hamil, skrub dan mandi bunga.

Katanya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya turut terkesan kerana terpaksa membatalkan tempahan pelanggan.

"Ia termasuk tempahan pelanggan dari Australia dan kami memulangkan bayaran pendahuluan yang diberikan.

"Namun, semua operasi kembali seperti biasa selepas pelaksanaan PKP Pemulihan dan semua penjaga pantang diingatkan supaya sentiasa mengikuti semua prosedur operasi standard operasi (SOP) ditetapkan kerajaan terutama dalam aspek penjagaan kebersihan," katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2020 @ 7:01am
d