WM

15 kali naik podium

Oleh Hafiz Ithnin

"KITA perlu positif dalam kehidupan. Bukan buat demi orang lain apatah lagi mengejar nama," jelas wanita berusia 42 tahun ini.

Mungkin dalam kalangan peminat larian denai pemilik nama Seriwati Zairozi Ghazi atau lebih mesra disapa Seri bukan sesuatu yang asing kerana pertama, dia yang begitu aktif dan kedua, sifat peramahnya.

Sejak menyertai sukan itu lima tahun lalu, sudah hampir 50 larian disertainya. Jaraknya? berstatus ultra iaitu lebih 42 kilometer (km) dan pernah menjuarai satu acara larian denai ultra sejauh 100km di Janda Baik pada tahun lalu.

Sebenarnya ketika penulis memaklumkan ingin menemubualnya bagi menjadi penghias muka depan Wanita Metro (WM), Seri beranggapan dia bukan orang yang layak kerana merasakan pencapaiannya tidak seberapa.

Namun, apabila membuka sahaja lembaran profil larian Seri, penulis melihat kejayaannya bukan sembarangan. Hampir 15 kali berada atas podium dan kebanyakannya melebihi jarak 42km.

Seri berkata, gaya hidup aktif menjadi pilihannya sejak kecil dan tidak boleh duduk diam. Apatah lagi jika dalam aktiviti kecergasan dan lasak.

"Setiap hari pasti sekurang-kurangnya selama tidak kurang dua jam saya akan menghabiskan waktu di gimnasium atau atas trek kerana ia dapat membantu menjadikan gaya hidup harian lebih cergas.

"Saya seorang yang sibuk bukan sahaja sebagai ibu untuk menguruskan anak-anak, tetapi menguruskan perniagaan sendiri. Jadi, apabila melakukan aktiviti kecergasan, sekali gus membantu mendapatkan stamina dan mental yang baik," katanya ahli perniagaan ini.

Seri berkata, dari segi pemakanan dia tidak mempunyai diet yang khusus, tetapi lebih memilih makanan semula jadi bagi memastikan bentuk tubuhnya tidak cepat 'membesar' supaya prestasi larian tidak terganggu.

"Selain itu, saya tidak suka mengambil makanan tambahan yang kadangkala kita tidak tahu isi kandungannya. Apatah lagi, apabila usia semakin meningkat, penjagaan makanan adalah amat penting kerana ia boleh memberi kesan segera kepada stamina dan kesihatan diri.

"Saya seorang yang 'pemakan' sebenarnya kerana apabila berlari jarak jauh, kita perlukan 'isian' semula dalam badan yang terbakar kerana aktiviti kecergasan itu. Namun, perlu berhati-hati supaya makanan tidak menjadi punca menurunkan prestasi kesihatan dan larian," kata ibu kepada dua cahaya mata ini.

Seri berkata, dia juga mendapat sokongan yang baik daripada kedua-dua anaknya yang berusia masing-masing 18 dan 15 tahun yang melihat aktiviti kecergasan larian jarak jauh boleh mempengaruhi gaya hidup mereka yang lebih sihat.

"Sebelum ini, anak saya yang sulung tidak aktif bersukan, tetapi apabila melihat saya seorang yang lasak dan sukan aktiviti sukan larian jarak jauh menjadikan dia turut meminati kegiatan sukan.

"Kadangkala saya juga berkongsi tip menjaga stamina kepada anak dan rakan-rakannya yang aktif bermain bola keranjang kerana bagi saya sebagai ibu kita perlu berikan contoh baik kepada anak-anak dari segi penjagaan mental serta fizikal," katanya.

Bercerita mengenai minat dalam aktiviti larian denai jarak jauh, Seri berkata, dia sebelum ini iaitu kira-kira lima tahun yang lalu hanya individu yang aktif dalam gimnasium dan mendapat galakkan daripada rakan-rakan untuk menguji kemampuan fizikal di atas trek denai.

"Bukan mudah sebenarnya untuk kita berlari denai kerana pertama fizikal perlu kuat dan ia memerlukan latihan berterusan bagi memastikan keadaan kaki terutama terbiasa dengan larian yang mengambil masa lama.

"Kedua, mental juga perlu dalam keadaan baik kerana apabila kita berlari untuk 100km misalnya dan menempuhi pelbagai cabaran di atas trek denai seperti perlu berlari bersendirian, dalam gelap, hujan dan meranduk sungai. Ia seperti satu 'pakej' cabaran yang amat menguji kemampuan emosi untuk menamatkan larian," katanya.

Dalam setiap larian denai jarak jauh yang disertainya dia tidak pernah meletakkan mempunyai matlamat untuk berada di podium, tetapi hanya memastikan untuk memberikan larian terbaik kerana baginya apabila memikirkan terlalu ingin mencipta nama, perkara itu akan mengganggu emosi ketika berlari.

"Saya juga bukan seorang yang gemarkan populariti dalam melakukan sebarang aktiviti sukan seperti memberitahu semua orang mengenai kejayaan dan kemampuan saya untuk menamatkan satu larian yang jauh.

"Bagi saya, pencapaian adalah bersifat peribadi dan bonus berada atas podium kerana ia boleh menjadikan kita terlupa matlamat sebenar menyertai aktiviti ini adalah bagi mempunyai gaya hidup yang baik dan bukan mengejar populariti semata-mata.

"Malah saya juga sering memberitahu kawan-kawan bahawa lakukan sesuatu itu untuk diri sendiri dan bukan untuk orang lain. Tetapi, pada masa sama aktiviti itu secara tidak langsung mampu menyumbang kepada komuniti yang positif dan menjalankan gaya hidup sihat," katanya.

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 7:00am
d