WM

Festival lebih unik

Oleh Nurul Husna Mahmud

OGOS setiap tahun menjadi 'ground' paling besar buat penggiat mahupun peminat fesyen menyaksikan secara dekat karya pereka tempatan.

Itu antara gambaran yang diberikan buat Kuala Lumpur Fesyen Week (KLFW). Ia antara festival berprestij dan mempunyai pengikut tersendiri selain menarik perhatian lebih ratusan pereka untuk menempa nama dalam pertunjukan itu sejak ia dianjurkan tujuh tahun lalu.

Uniknya tahun ini, buat julung kali KLFW bersiaran dalam format baharu menerusi platform atas talian bermula 11 hingga 13 November ini dalam memastikan kelangsungan industri fesyen tempatan meskipun dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengasasnya KLFW, Andrew Tan mengakui ia cabaran baru apabila format paparan menerusi platform digital memerlukan adaptasi baik segi 'norm' selain kemahiran melangkaui kebiasaan

kerana sebelum ini pertunjukan itu diadakan secara fizikal.

"Setiap tahun pereka menantikan festival fesyen ini yang dianjurkan setahun sekali. Apabila pandemik ini menular

ramai buat hantaran mesej peribadi kepada saya menzahirkan mereka berasa sedih tidak dapat melihat secara dekat.

"Lazimnya awal tahun lagi kami sudah buat persiapan kerana enam bulan itu detik penting untuk keluarkan 'apa yang terbaik' mereka hasilkan untuk peminat fesyen tempatan mahupun pihak luar yang sukakan produk Malaysia.

"Walaupun ramai mengharapkan ia diadakan secara fizikal, pada saya terbaik adalah menggunakan format digital yang mana sedang berlaku juga di Eropah mahupun negara-negara luar sana,"katanya.

KLFW tahun ini dengan format baharu memilih rakaman tertutup bagi klip video selain†penggambaran rekaan busana di sekitar lokasi ikonik ibu negara.

"Tahun ini konsep lebih terbuka yang mana lebih ramai boleh menikmati pertunjukan yang selama ini tempat duduknya terhad. Semua pengunjung KLFW 2020 juga bergelar 'vip' kerana platform digital membolehkan semua golongan menikmati siaran itu di depan skrin.

"Meskipun rakan dan peminat fesyen tegar KLFW dari luar seperti China, Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei tidak dapat hadir, mereka masih boleh sertai dan paling penting inilah masanya orang tempatan sendiri memberi sokongan kerana konsep iaitu pereka tempatan dengan lokasi sekitar Kuala Lumpur sesuatu dekat dengan kita,"katanya.

Pengisian memerlukan kreativiti dalam menarik penonton di platform digital, terdapat 'teaser' selain menampilkan lima episod yang membawa pengisian berbeza, antaranya 'fashion uncensored' yang dikupas panel penggiat fesyen tanah air, 'style matter', 'Fashion 101' dan lain-lain.

Kata Andrew paling bermakna penonton boleh saksikan 'babak' belakang tabir bersama rakan penaja strategik seperti†dengan mengikut perjalanan kerja baik dari pereka, jurumekap, pendandan rambut, teknologi penjagaan muka dan penjagaan rekaan.

Kareografer KLFW, Hartini Mat Jasin atau lebih popular dengan supermodel Tinie menyifatkan setiap format pertunjukan baik digital dan fizikal mempunyai cabaran masing-masing.

"Tempoh persiapan untuk kedua-duanya sama sahaja iaitu enam bulan kerana perlu pastikan semua jadual baik pereka, model dan kru penggambaran berjalan seperti biasa.

"Kalau pertunjukan fizikal persiapan lama tetapi tempoh ia berlangsung sangat pantas kerana secara langsung. Tidak boleh ada kesilapan berbanding secara digital proses penggambaran dalam studio lebih panjang dan boleh betulkan kesilapan.

"Saya cuba praktikkan pengalaman 20 tahun lalu bersama jenama terkemuka dalam 'input' atau hasil kerja untuk dikongsi bersama rakan industri dan juga penonton festival ini,"katanya.

Beliau menyifatkan ini peluang keemasan buat peminat mahupun mereka yang tidak berpeluang menyaksikan KLFW melihat sendiri hasil pereka tempatan diperagakan model di dunia maya.

Wakil penaja Wardah Nurliyana Mohd Yasin menyifatkan sokongan pihaknya kepada KLFW lebih kepada hubungan strategik yang mana sebelum ini jenama sama pernah mewarnai pentas antarabangsa termasuklah di Dubai.

"Apabila mendapat tawaran menjadi rakan penaja, kami berasakan itu satu usaha membantu menjayakan pertunjukan membarisi bakat tempatan.

"Kami juga dapat memberi khidmat nasihat mengenai 'look' terbaru dan pengunjung sendiri boleh menerima manfaat dan belajar demo solekan dipakai oleh model KLFW," katanya.

Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 7:00am
d