WM

Selesa pakai anak tudung

Oleh Muhamaad Razis Ismail

ANAK tudung antara aksesori yang penting khususnya bagi wanita yang berhijab.

Bagaimanapun, lambakan anak tudung yang terdiri daripada pelbagai jenama, fabrik, warna dan saiz di pasaran, sedikit sebanyak memeningkan kepala golongan hawa untuk membuat pilihan terbaik.

Pemilihan anak tudung bukan sahaja berfungsi menutup aurat, malah mampu memberi keselesaan selain menjadi 'penambah' gaya untuk kelihatan cantik.

Kesilapan memilih anak tudung boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada pemakainya.

Perunding imej bertauliah, Raihan Abdul Rahman berkata, pemilihan anak tudung perlu dibuat mengikut kesesuaian muka wanita.

"Anak tudung selain daripada berfungsi untuk membantu wanita memakai tudung dengan kemas dan rapi, ia juga boleh memberi ilusi wajah nampak lebih runcing dan kecil apabila pemilihan fabrik dan potongan yang tepat.

"Pada masa sama, ia boleh membantu wanita menutup aurat dengan sempurna dengan memastikan kekemasan dan mengelakkan rambut terkeluar daripada tudung," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kesilapan membeli anak tudung yang sesuai boleh mengakibatkan muka nampak lebih leper dan bulat.

"Beli 'awning' anak tudung lebih panjang sehingga menutup lebar pipi. Pilih warna anak tudung yang mempunyai tona lebih gelap untuk beri ilusi wajah lebih runcing.

"Dapatkan anak tudung yang menutup sebahagian dagu untuk bentuk wajah bulat dan rangka wajah besar," katanya.

Tambahnya, pemilihan jenis fabrik anak tudung juga memainkan peranan dalam memberi keselesaan kepada wanita bertudung.

"Jangan pilih anak tudung yang menggunakan kain jarang dan terang untuk melindungi bahagian leher.

"Selain itu, pastikan anak tudung tidak menggunakan material 'lycra' dan kain licin kerana ia akan menyebabkan tudung mudah bergerak.

"Gunakan anak tudung yang menggunakan kain kapas kerana ia mampu menyerap peluh dan tidak panas, sekali gus mampu memberi keselesaan kepada pemakainya.

"Kain yang tebal akan membuatkan si pemakai merasa berat di kepala dan akan menutup telinga menyebabkan pendengaran mungkin terjejas," katanya.

Pemilihan warna anak tudung juga perlu mengambil kira warna tudung yang dipakai kerana ia membantu wanita tampil menarik dan menawan.

"Anak tudung berwarna terang dan cerah tidak sesuai dipakai wanita yang memiliki wajah berbentuk bulat dan rangka wajah besar kerana akan beri kesan wajah nampak berisi.

"Untuk menampakkan ilusi wajah lebih kecil, gunakan anak tudung berwarna gelap seperti hitam, ungu gelap, hijau gelap, biru atau merah manggis," katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2020 @ 6:20am
d