WM

Rawatan Malaysia terhebat!

Oleh Hafiz Ithnin

KUALITI perubatan bertaraf dunia, mampu milik dan cepat diakses terus menjadi buah mulut pelawat dunia untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi perubatan mereka.

Buktinya, Malaysia diangkat sebagai destinasi pelancongan perubatan dan penjagaan kesihatan terbaik dunia pada September lalu pada majlis Anugerah Pelancongan Perubatan 2020 anjuran International Medical Travel Journal (IMTJ).

Anugerah itu bukan kali pertama, tetapi sudah empat kali Malaysia meraih kejayaan itu, sekali gus menunjukkan negara ini lebih ke hadapan dalam bidang berkenaan! Hebat bukan?

Di sebalik kejayaan itu, selain daripada pemain industri sendiri, agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) adalah tulang belakang penting bagi memastikan Malaysia sentiasa berada pada mercu kejayaan dalam bidang itu di peringkat dunia.

Berpeluang menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli yang memaklumkan kesan dari keutuhan Malaysia dalam bidang pelancongan kesihatan dunia bukan sekadar ingin mendapat pengiktirafan global, tetapi lebih penting ia turut mampu memberi kesan kepada ekonomi negara dan limpahan eknomi kepada rakyat setempat.

Katanya, industri pelancongan kesihatan Malaysia turut mencatatkan 17 peratus Kadar Pertumbuhan Kompaun Tahunan (CAGR) antara 2015 hingga tahun lalu dan membawa kesan kepada ekonomi sebanyak RM7 bilion pada tahun lalu.

Manakala, dalam tempoh 2010 hingga 2018, industri itu sudah mencipta 15,000 peluang pekerjaan.

"Walaupun pada tahun ini unjuran sumbangannya kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menurun kepada RM2 bilion berbanding RM7 bilion pada tahun lalu akibat kesan Covid-19 yang memaksa Malaysia lebih berhati-hati dalam prosedur kemasukan pelawat asing, namun ia bukan bererti kita perlu berdiam diri.

"MHTC sudah melaksanakan beberapa inisiatif antaranya pelaksanaan 'travel bubble' (gelembung perjalanan) kepada pesakit dari negara zon selamat untuk mendapatkan rawatan di negara ini," katanya.

Bagaimanapun, pelawat asing yang dibenarkan untuk mendapatkan rawatan di Malaysia perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat antaranya dikuarantin selama 14 hari di hospital dan sudah menjalankan ujian reaksi rantai polimerase (PCR) sebelum tiba ke Malaysia.

Tambahnya, pelbagai aktiviti pemasaran dan promosi masih dijalankan dalam negara untuk menggalakkan pelancongan kesihatan khusus untuk golongan ekspatriat yang masih menetap dalam negara.

"Contohnya seperti platform digital yang turut dimaksimakan menerusi kerjasama rapat dengan ahli hospital swasta MHTC untuk melaksanakan perkhidmatan 'telehealth' yang membolehkan perhubungan terus dengan pesakit bagi memberikan kesinambungan rawatan. Kemudahan seumpama ini dapat dimanfaatkan pelancong kesihatan asing dan pesakit domestik.

"Malaysia juga mempunyai banyak pusat kesejahteraan dan kesihatan seperti Golden Horses Health Sanctuary di Selangor yang bertaraf global dan sering kali menjadi tumpuan pelancong kesihatan. Pusat kesejahteraan dan kesihatan ini juga dibuka untuk kegunaan pelancong domestik, sekali gus menjadi penyumbang kepada ekonomi negara," katanya.

Antara yang menarik perhatian pelawat asing untuk mendapatkan rawatan di Malaysia iaitu rawatan kardiologi, kesuburan, pemeriksaan kesihatan, onkologi, neurologi, ortopedik, urologi, pergigian dan gastroenterologi.

Malah, jika anda sering mendengar rawatan pembedahan plastik terkenal di negara jiran seperti Korea dan Thailand, sebenarnya Malaysia juga antara destinasi pelawat kesihatan untuk mendapatkan rawatan itu!

Lebih menarik, Sherene turut berkongsi, Malaysia tidak hanya menjadi tarikan pelancong dari sekitar rantau Asean, malah turut menarik perhatian pelawat asing dari negara di luar rantau itu seperti Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom bersandarkan kemampuan negara kita memberikan rawatan yang bukan sahaja berkualiti senada dunia, malah lebih pantas.

"Apabila kita mampu menarik lebih ramai pelancong kesihatan dalam negara, ia turut memberi kesan kepada rakyat Malaysia kerana kita dapat memberi peluang kepada pesakit tempatan mendapatkan rawatan di hospital swasta dengan kadar lebih berpatutan.

"Ia kerana industri pelancongan kesihatan mewujudkan ekonomi skala untuk menjadikan perkhidmatan kesihatan swasta lebih mampu milik," katanya.

Disebabkan itu, MHTC memegang mandat untuk memberi fokus kepada kemasukan pelancong perubatan asing kerana ia memberi kesan domino positif yang bukan sahaja kepada ekonomi secara makro, malah rakyat turut dapat merasai kesannya.

Selain itu, MHTC sentiasa memperkasa kerjasama awam-swasta dalam kalangan pemain industri termasuk ejen pelancongan tempatan.

Jelas Sherene, MHTC bekerja rapat dengan ejen pelancongan yang sudah membantu dalam meningkatkan sektor pelancongan kesihatan di Malaysia.

"Antara agensi yang terbabit termasuk Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) dan Majlis Pelancongan Malaysia (MTC).

"Kami akan sentiasa berganding bahu dan terus berusaha untuk mendorong sektor kesihatan Malaysia ke peringkat global supaya Malaysia dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara saingan yang lain," katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2020 @ 6:18am
d