WM

SPD bukan soal remeh

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

KEHAMILAN yang disertai dengan rasa sakit pada tulang pelvis membabitkan sendi symphysis pubis (terletak di hadapan tulang kemaluan) sudah menjadi keluhan biasa bagi ibu hamil.

Ini kerana sebelum bersalin, ligamen seharusnya meregang dan menjadikan tubuh seseorang wanita itu lebih relaks.

Ia juga dikatakan salah satu tindak balas tubuh bagi persiapan proses kelahiran bayi.

Menurut Pakar Obestetrik dan Ginekologi, Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HTCM), Profesor Dr Nur Azurah Abdul Ghani, SPD atau girdle pelvis pain (PGP) seringkali berlaku ketika kehamilan dan dianggarkan satu dalam 36 hingga 300 wanita hamil akan mengalaminya.

Namun kata beliau, kajian di Australia menunjukkan hanya 25 peratus wanita hamil menerima rawatan untuk SPD.

"Ini kerana SPD seringkali dianggap remeh dan kurang mendapat perhatian doktor yang menjaga kehamilan wanita berkenaan.

"Tidak dapat dinafikan, SPD boleh memberi impak yang negatif kepada kualiti kehidupan wanita dan keluarganya," katanya kepada Harian Metro.

Jelas Dr Nur Azurah lagi, jarak antara dua tulang pelvis di bahagian hadapan adalah 4 hingga 5 milimeter (mm) bagi wanita yang tidak hamil.

Bagaimanapun kata beliau, ketika kehamilan, jarak itu akan merenggang sedikit sebanyak 2 hingga 3mm tanpa menyebabkan sebarang ketidakselesaan pada wanita berkenaan.

"Ketika menjelang trimester ketiga, purata jarak bagi kebanyakan wanita hamil adalah 7.7mm.

"Rengangan itu perlu sebagai persiapan untuk kelahiran bayi dan wanita hamil dikatakan mengalami symphysis pubis diathesis jika jarak berkenaan melebihi 10mm," katanya.

Dalam pada itu, bagi mengurangkan ketidakselesaan dan kesakitan , Dr Nur Azurah berkata,

ubat seperti paracetamol dapat membantu memberi sedikit kelegaan kepada wanita hamil.

Begitupun tegas beliau, penggunaan ubat tahan sakit jenis opiod haruslah dipantau dengan teliti supaya tiada kesan sampingan kepada bayi.

"Selain itu, rawatan fisioterapi boleh membantu mengurangkan kesakitan yang dialami wanita hamil dengan membuat latihan atau teknik yang dapat menguatkan kestabilan sendi-sendi berkenaan.

"Penggunaan korset yang bersesuaian juga dibolehkan untuk jangka masa yang pendek tetapi ia tidak sesuai bagi wanita yang sarat mengandung," katanya.

Dr Nur Azurah berkata, wanita yang mengalami gejala itu turut disarankan untuk lebih banyak berehat.

Mereka juga digalakan untuk tidak melakukan kerja berat seperti mengangkat benda berat, berdiri atau duduk terlalu lama, mencangkung atau berdiri di atas satu kaki.

Katanya, wnaita hamil disarankan menjaga posisi badan dengan tidak membongkok dan memusingkan badan mereka.

"Sekiranya perlu bangun dari katil, dinasihatkan untuk menggulingkan badan ke sisi sebelum bangun.

"Penggunaan paracetamol dan pek ais juga dapat mengurangkan kesakitan yang dialami," katanya.

Menurut beliau lagi, masalah SPD juga lazimnya tidak menghalang seseorang wanita itu untuk bersalin secara normal.

Kata Dr Nur Azurah, ia mungkin hanya akan menyebabkan ketidakselesaan dari segi posisi ketika menunggu kelahiran bayi.

Begitupun kata beliau, sebelum proses kelahiran, kadar pergerakan tulang belakang dan sendi peha akan diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan wanita berkenaan mampu menggerakkan sendi-sendi itu

"Ketika proses kelahiran, mereka disaran untuk memilih posisi yang selesa dan tidak disarankan untuk membuka kedua kaki bagi tempoh yang lama ketika meneran.

"Sekiranya penggunaan lithotomy diperlukan, ia harus dilakukan dalam masa yang singkat bagi mengurangkan kesakitan SPD," katanya.

Menurut Dr Nur Azurah lagi, hampir 93 peratus wanita merasa kelegaan daripada segi gejala dalam tempoh tiga bulan selepas kelahiran bayi mereka.

Katanya, sebanyak 68 peratus wanita juga berisiko mengalami SPD yang berulang untuk kehamilan seterusnya.

"Ramai yang menyatakan gejala yang mereka alami adalah lebih teruk berbanding kehamilan sebelumnya.

"Berat badan yang meningkat boleh meningkatkan kecenderungan untuk seseorang wanita itu mengalami SPD," katanya.

Sementara itu, Dr Nur Azurah berkata, setiap wanita hamil perlu mengambil berat aspek penjagaan kesihatan diri mereka.

Katanya, wanita hamil juga perlu sentiasa menjaga posisi badan supaya tidak memberi tekanan pada tulang belakang dan pelvik.

"Sekiranya hendak memakai kain atau seluar, dinasihatkan supaya duduk di tepi katil bagi memakainya dan tidak berdiri menggunakan satu kaki.

"Apapun, sekiranya mengalami SPD, wanita hamil perlu berbincang dengan doktor untuk mendapat rawatan susulan," katanya

Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 7:00am
d