WM

Hikmah utamakan keluarga

Oleh Muhamaad Razis Ismail

DI mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Ungkapan ini sesuai untuk menggambarkan situasi dihadapi seorang pengusaha yang menghasilkan sendiri produk kraf tangan sejak lapan tahun lalu.

Sebelum ini, Noor Syerifazidazetty Mustapha, 35, bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah universiti swasta dan membuat keputusan berhenti pada Mei 2012 selepas melahirkan anak sulungnya.

Alasannya berbuat demikian adalah untuk memberi fokus kepada keluarga.

Ternyata keputusan itu membawa hikmah apabila graduan Ijazah Sarjana Muda Matematik (Penyelidikan Operasi) dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini bukan sahaja dapat meluangkan masa dengan keluarga malah berjaya meneroka kemahiran baharu dalam menghasilkan pelbagai produk kraf tangan.

Biarpun lari dari bidang yang dipelajarinya, sebagai seorang yang tidak boleh 'duduk diam' Noor Syerifazidazetty mengambil inisiatif mempelajari kemahiran menghasilkan pelbagai jenis beg wanita di YouTube.

Kini, selepas lapan tahun, pelbagai produk yang dihasilkan berjaya dijual di seluruh negara menerusi platform dalam talian Facebook dan Instagram.

Uniknya pelanggan bebas untuk memilih saiz dan corak produk edisi terhad dihasilkan yang hanya beberapa sahaja di pasaran.

Noor Syerifazidazetty berkata, dia bermula dari tahun 2011 dengan menghasilkan kraft tangan berasaskan kain felt.

"Pada mulanya, saya hasilkan produk sekadar untuk mengisi masa lapang. Pada Mei 2012 selepas melahirkan anak sulung saya membuat keputusan untuk berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga sekali gus memberi fokus untuk kepada kraf tangan.

"Dari hari ke hari sambutan amat menggalakkan dan ada yang mula mencadangkan kraf berasaskan kain kapas kerana lebih tahan dan lasak berbanding felt.

"Pada 2019 saya cuba membuat beg tote yang dipelajari dari YouTube. Kini pelbagai beg yang sudah dihasilkan bukan hanya daripada kain kapas malah saya juga menggunakan kain poly kanvas, kapas kanvas dan kulit tiruan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, bekerja sendiri sebenarnya memerlukan disiplin yang tinggi.

"Tiada siapa yang menyuruh anda buat itu ini melainkan diri sendiri. Jadi saya lebih bebas mengikut masa yang ditentukan sendiri asalkan dapat mencapai sasaran yang ditetapkan setiap hari.

"Jika kita rajin usaha hasilnya lumayan dan begitu juga sebaliknya," katanya.

Malah dia mengakui berdepan pelbagai cabaran kerana awalnya hanya memiliki asas menjahit sahaja.

"Saya mengambil masa untuk memahami jenis-jenis kain yang sesuai kerana ada yang tebal tak perlu dilapik 'batting' dan yang kurang tebal perlu dilapik 'batting.' Malah 'batting' juga mempunyai beberapa ketebalan.

"Kesesuaian jarum juga memainkan peranan kerana kadang-kadang jahitan tidak cantik apabila (jarum) tidak sesuai.

"Oleh kerana tidak pernah mengikuti apa-apa kelas, jadi tidak banyak teknik yang saya tahu dan perlu mencuba beberapa kali sehingga puas hati," katanya.

Mengulas lanjut, setiap tempahan yang dihasilkan bergantung kepada jenis beg yang dipilih pelanggan.

"Ada yang mengambil masa yang singkat seperti beg tote dan ada yang mengambil masa sehari suntuk. Lagi banyak poket dan aksesori, ia memakan masa untuk menyiapkannya.

"Memandangkan saya juga perlu menguruskan hal anak-anak ke sekolah dan rumah tangga jadi ia kadang-kadang makan masa sehari dua untuk siap," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, ibu kepada tiga anak ini berhasrat untuk memiliki kedai di bawah jenama sendiri dan dikenali ramai.

"Saya mahu membawa produk kraf tangan Malaysia mencapai satu tahap yang membanggakan setanding jenama luar negara," katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 6:20am
d