WM

Bahaya gluten bagi penyakit seliak

Oleh Nurul Husna Mahmud

Isu gluten antara yang dibincangkan ketika ini kerana ia membabitkan pengambilan bahan itu sebagai diet seharian.

Sebilangan besar pakar menyatakan ia selamat untuk semua orang kecuali mereka yang mempunyai penyakit seliak.

Namun ada sebilangan pakar kesihatan percaya bahawa gluten berbahaya bagi kebanyakan orang.

Tinjauan pada 2013, lebih daripada 30 peratus orang Amerika secara aktif berusaha untuk mengelakkan makan gluten kerana ia boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan.

Apa itu gluten? Gluten adalah keluarga protein yang terdapat dalam bijirin, termasuk gandum, barli dan banyak lagi.

Paling kerap ditemui adalah produk berasaskan gandum dan dua protein utama dalam gluten ialah glutenin dan gliadin.

Namun dalam banyak implikasi negatif adalah disebabkan kandungan gliadin.

Apabila tepung bercampur dengan air, protein gluten membentuk jaringan melekit yang mempunyai konsistensi seperti gam.

Tekstur seperti gam ini menjadikan doh elastik dan memberi keupayaan roti untuk naik ketika 'dibakar.' Ia juga memberikan tekstur yang kenyal dan memuaskan. Daripada sifat itu ia mendapat nama.

Gluten banyak dalam produk makanan berasaskan gandum dan kebanyakan orang tidak mendapat komplikasi buruk daripada pengambilan gluten dalam makanan harian.

Tidak bagi individu yang mempunyai keadaan kesihatan tertentu seperti pesakit seliak yang tidak boleh bertoleransi dengan pengambilan gluten.

Penyakit seliak

Penyakit seliak adalah bentuk intoleransi gluten yang paling parah. Dalam populasi dunia dianggarkan sekitar satu peratus populasi dunia mengalami masalah itu.

Ia membabitkan gangguan autoimun di mana tubuh memperlakukan gluten sebagai penyerang asing.

Sistem imun tubuh menyerang gluten dan lapisan usus akhirnya mencederakan dinding usus.

Pada peringkat serius mereka boleh menghidapi komplikasi lain seperti kekurangan nutrien, anemia, masalah pencernaan yang teruk dan peningkatan risiko banyak penyakit.

Sebaik pesakit seliak mengambil produk makanan ada kandungan gluten, mereka akan mengalami gejala berkenaan;

- Ketidakselesaan pencernaan

- Kerosakan tisu di usus kecil

- Sakit kepala

- Sembelit

- Keletihan

- Ruam kulit

- Penurunan berat badan secara drastik

Walau bagaimanapun, sesetengah orang dengan penyakit seliak tidak mempunyai gejala pencernaan tetapi mungkin mempunyai gejala lain, seperti keletihan atau anemia.

Atas sebab ini, doktor sukar untuk mendiagnosis penyakit seliak dan dalam satu kajian, 80 peratus individu yang menghidap penyakit seliak tidak mengetahui mereka menghidapnya.

Resipi Kek Span (bebas kandungan gluten)

Bahan-bahan

- 5 biji telur

- 1/2 cawan gula kastor

- 1 1/4 cawan tepung jagung (bebas gluten)

- 1/2 sudu teh serbuk penaik (tanpa gluten)

- 2 sudu besar jem rasberi (tanpa gluten)

- Krim masakan (dipukul sehingga dapat tekstur kembang dan ringan)

- 2 sudu teh gula aising (topping)

Kaedah penyediaan

1. Panaskan ketuhar hingga 160 Celsius bergantung saiz loyang. Griskan dua loyang kek bulat 20cm (asas). Alas dengan kertas minyak.

2. Dengan menggunakan pengadun elektrik, pukul telur selama lapan hingga 10 minit atau sehingga pekat dan berkrim. Masukkan gula pukul sehingga gula larut.

3. Ayak tepung jagung dan serbuk penaik bersama. Masukkan ke campuran telur. Kacau perlahan-lahan sampai adunan sebati.

4. Bahagikan campuran kepada dua loyang yang telah disediakan.

5. Bakar selama 20 hingga 22 minit atau sehingga tekstur span kembali apabila ditekan.

6.Tunggu kek sejuk dan lakukan kerja menghias. Satu kek disapu jem dan krim. Bahagian lapisan atas ditabur gula kastor.

Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 6:15am
d