WM

Saring diri jika berisiko

Oleh Muhamaad Razis Ismail

KAJIAN di Malaysia menunjukkan individu berumur 50 hingga 60 tahun paling berisiko untuk mengalami serangan sakit jantung.

Pakar Perunding Kardiologi di Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr Muhammad Imran Abdul Hafidz berkata, kadar kematian akibat penyakit jantung semakin meningkat, daripada 13.9 peratus pada tahun 2017 kepada 15.6 peratus pada tahun seterusnya.

Katanya, angka ini dijangka terus meningkat dengan meningkatnya penyakit seperti kencing manis dan obesiti.

"Oleh itu, individu berisiko tinggi wajar disaring untuk penyakit jantung sebelum berlakunya kejadian seperti serangan jantung atau penyakit berkaitan seperti strok.

"Saringan kesihatan perlu dilakukan individu yang mempunyai faktor risiko untuk menghidap penyakit jantung.

"Antara faktor risiko yang dimaksudkan termasuk kencing manis, tahap kolesterol tinggi, ahli keluarga yang ada masalah jantung serta mereka yang menghidap tekanan darah tinggi," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, sehingga kini masih ada dalam kalangan individu yang tidak pernah datang ke hospital untuk apa-apa masalah sehingga mendapat serangan sakit jantung.

"Bagaimanapun, ketika pemeriksaan lanjut dijalankan, didapati pesakit itu mempunyai kadar kencing manis dan kolesterol yang sangat tinggi," katanya.

Jelasnya, saringan akan membabitkan perjumpaan dengan doktor yang akan menemu bual dan memeriksa individu itu.

"Ujian ringkas seperti ujian darah yang menguji tahap kolesterol, gula, buah pinggang dan hati boleh dilakukan.

"Sekiranya individu itu didapati berisiko tinggi, iaitu menghidap penyakit kronik yang lain, doktor boleh memilih untuk membuat 'stress test' iaitu suatu ujian yang memerlukan individu berlari di atas sawat injak (treadmill) atau menggunakan basikal senaman dengan diletakkan wayar electrocardiogram atau ECG di badan.

"Bacaan ECG itu boleh menunjukkan sekiranya terdapat masalah dengan pengaliran darah di jantung," katanya.

Mengulas lanjut, terdapat dua lagi cara yang lebih moden untuk memeriksa jantung, iaitu melalui imbasan magnetic resonance imaging (MRI) dan menggunakan imbasan computed tomography (CT).

"Imbasan CT ini hanya mengambil beberapa saat dan boleh memberikan gambaran yang teliti mengenai keadaan saluran darah di jantung," katanya.

Beliau menyarankan individu yang belum menjalani saringan kesihatan untuk membuat pemeriksaan berkala.

"Di negara barat seperti Amerika Syarikat, pemeriksaan wajar dilakukan pada usia 20 tahun, di mana sekiranya tiada masalah boleh mengulangi pemeriksaan empat hingga enam tahun kemudian.

"Untuk mereka yang berisiko tinggi, contohnya yang mempunyai kencing manis, pemeriksaan wajar dilakukan dengan lebih kerap," katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 6:25am
d