WM

Rahmat beralih kerjaya

Oleh Nurul Husna Mahmud

DALAM berdepan penularan pandemik Covid-19 ini ramai hinggakan ada yang hilang pendapatan dan bertukar kerjaya.

Noor Sarah Mohamed Reza, 30, yang baharu sahaja bergelar artis sepenuh masa sejak setahun lalu, menyifatkan peralihan terhadap kerjaya seni itu mempunyai seribu rahmat.

Berbanding pembabitannya dalam bidang korporat dan pemasaran yang diceburi hampir 10 tahun lalu.

Dia mengakui sedikit terkesan dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu apabila pendapatan terjejas kerana jualan karyanya secara terbuka di pusat membeli-belah atau acara tertentu tidak dapat dijalankan.

Keadaan itu memaksa dia mencari alternatif memasarkan hasil karyanya menerusi atas talian.

"Saya sepenuhnya bergantung dengan jualan karya seni dan apabila PKP dan kemudian bersambung dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Tetapi saya gunakan kaedah jualan atas talian dan mendapat sambutan menggalakkan kerana naskhah dijual masih mendapat permintaan dalam kalangan peminat tempatan.

"Terbaharu, bukan saja menjual karya lukisan asli, malah saya cuba pelbagaikan produk iaitu menukarkan kepada motif beg dan paling mendapat sambutan ialah sarung telefon.

"Memang ini banyak membantu menjana pendapatan selepas tidak dapat jual di pameran atau acara sekitar Kuala Lumpur.

"Saya tukar strategi kepada jualan yang mana setiap hasil karya disalin dan dicetak dalam saiz A5. Harga lebih murah dan lebih ramai akan membeli," katanya.

Menjelaskan kerjaya sebagai pelukis tiada pendapatan bulanan, namun dia berasa berpuas hati apabila setiap karyanya dibeli selain mempunyai lebih banyak masa bersama anak tunggalnya, Rayyan Irfan Chai Mohd Safwiandi Nasir, 8.

"Fokus saya ialah terus jana pendapatan dan hasilkan peluang untuk membolehkan orang ramai terus membeli dan akses kepada setiap produk seni saya.

"Saya lihat kekuatan iaitu setiap karya dihasilkan menampilkan karakter wanita mengenakan pakaian tradisi dari pelbagai bangsa dan etnik tempatan.

"Ini kelainan dan secara tidak langsung menarik perhatian pelbagai golongan baik kanak-kanak mahupun dewasa dan pencinta seni budaya untuk memiliki karya saya," katanya.

Menceritakan titik perubahan kepada kecenderungan untuk menghasilkan setiap karya, kata Noor Sarah, dia mula tertarik apabila menyaksikan persalinan digayakan peserta Ratu Cantik Borneo.

"Saya sudah melukis sejak empat tahun tetapi minat itu makin mendalam terhadap persalinan tradisi apabila saya menghadiri satu acara Ratu Cantik Borneo di Sarawak kira-kira 11 tahun lalu.

"Malah saya ralit tengok perhiasan mereka yang menarik dan pelbagai mengikut etnik masing-masing. Saya mula lakar dan sejak itu tertarik untuk melukis busana tempatan.

"Kemudian saya tidak mahu ia setakat hobi dinikmati sendiri lalu mula berkongsi dengan orang ramai kerana ia adalah kepelbagaian warisan dan identiti Malaysia," katanya.

Sejauh mana keberanian untuk memasarkan karyanya, kata Noor Sarah, dia sentiasa berusaha memperbaiki skil dan mendapatkan pandangan gurunya, Khalid Mohd Sapari yang mempunyai pengalaman dalam kerjaya artis seni sepenuh masa.

"Saya beruntung kerana mendapat sokongan penuh daripada keluarga. Malah minat saya ini turut seiring dengan anak apabila mengikuti kelas lukisan bersama-sama.

"Saya gembira apabila anak saya ini baharu berusia lapan tahun tapi sudah mula langkah awal menjana pendapatan dengan menjual karya dan membina 'jenama' terlebih dahulu.

"Pada masa sama saya lihat ia satu bonus apabila saya turun padang dan menjual karya bersama anak, orang lihat itu satu 'kombo' menarik," katanya.

Ramai pengunjung pada mulanya tertarik dengan 'keberanian' dan 'cerita' setiap karya anaknya, turut sama meneliti dan membeli karyanya.

"Dari sudut positif bukan sahaja menikmati hidup berkualiti dengan pendapatan dan masa bersama anak, malah lukisan saya hasilkan sebagai galakan generasi muda mengenai pentingnya memelihara warisan lama terutama busana tradisi," katanya.

Sementara itu, Rayyan Irfan Chai berkata, ibunya adalah inspirasi dalam usahanya berkarya.

"Saya gembira apabila orang melihat dan membeli karya. Karya pertama saya ialah mengenai naga dan haiwan kegemaran.

"Selalunya karya berdasarkan imaginasi dan minat saya. Saya sukakan lukisan naga dan kapal terbang meskipun memiliki cita-cita untuk bergelar doktor suatu hari nanti.

"Dalam berdepan situasi Covid-19 ini, saya ada hasilkan karya berkaitan dan ini berdasarkan apa yang saya lihat.

"Cumanya apabila tidak dapat keluar dan jumpa orang 'depan-depan' untuk bercerita mengenai karya rasa macam ada yang kurang selain rasa sedih," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 7:00am
d