WM

Urutan si kecil

Oleh Nurul Husna Mahmud

SEPERTI golongan dewasa, bayi juga mudah terkesan dengan sentuhan yang merangkumi beberapa gerakan urutan ringkas dan mudah.

Ada berpendapat sentuhan seperti urutan boleh menjadi terapi kepada bayi yang mudah meragam. Urutan ringan di belakang badan bayi umpamanya membantu menjadikan si kecil itu tenang dan mudah diurus.

Namun disebabkan bayi memiliki tubuh yang 'rapuh,' ibu bapa sering mengelak untuk mengurut bayi mereka. Sedangkan manfaat cukup besar jika sentuhan itu dilakukan ibu bapa sendiri bagi mengeratkan hubungan mereka.

Pakar Integrasi Perubatan dan Pediatrik Amerika Syarikat, Andrea Rudominer menjelaskan, kebaikan mengurut bayi dalam satu artikel mengenai kaedah urutan yang sesuai untuk si kecil antaranya boleh tingkatkan kadar imun selain membantu perkembangan otot dan emosi mereka.

Tip penting yang turut dikongsi adalah memastikan penggunaan minyak yang selamat dan selesa untuk bayi menerusi pilihan minyak boleh dimakan.

"Penggunaan minyak urut adalah asas penting sebelum memulakan urutan bayi kerana bayi sering memasukkan jari dalam mulut. Tiada yang lebih sesuai melainkan menggunakan minyak yang boleh dimakan dan elak penggunaan minyak kandungan mineral tinggi selain boleh mendatangkan kesan alergi kepada mereka.

"Minyak kacang dan minyak aroma terapi antara yang tidak sesuai ketika mengurut bayi. Minyak kacang daripada sumber makanan yang boleh mendatangkan alergi. Sementara minyak aroma terapi pula ada kandungan kimia yang membantu meningkatkan aromanya," katanya.

Dalam urutan bayi juga, aspek penting lain perlu diambil kira jika ibu bapa berniat melakukan sendiri ialah daya atau tekanan dikenakan pada tubuh perlu lembut berbanding sentuhan pada orang dewasa.

"Pada bayi, gunakan kekuatan di hujung jari dan tekan lembut berbanding dewasa.

"Bayi perlukan sentuhan 'manja' dan gosokan lembut dengan gerakan seolah-olah membuat pusingan pada permukaan kulit mereka," katanya.

Urutan itu boleh dilakukan pada bahagian tubuh bayi seperti belakang badan, perut, tangan, kaki, tapak kaki, leher dan kepala.

Selain urutan dalam gerakan pusingan, ibu bapa atau penjaga juga boleh menggunakan teknik satu arah urutan seperti dari arah jantung ke luar tubuh bayi. Ini boleh memberi efek menenangkan pada bayi berkenaan.

Teknik urutan kedudukan tangan berbentuk 'C' dan memegang longgar tubuh bayi boleh memberi kesan sangat selesa. Tidak cukup dengan itu teknik 'menggolek' (roller) juga boleh digunakan ketika mengurut bayi.

Disiarkan pada: December 9, 2020 @ 6:30am
d