WM

Tanda muhibah

Oleh Hartini Mohd Nawi

MEMANDANGKAN kes Covid -19 semakin meningkat di negara ini, Watsons Malaysia meneruskan sumbangan produk dan bekalan untuk membantu hospital serta barisan hadapan penjagaan kesihatan.

Ia membabitkan Vircast Medic Mask dan produk jenama Watsons sendiri termasuk pencuci tangan, gel mandian dan cadar.

Bekalan itu disalurkan ke hospital di Sabah menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Menurut Pengarah Urusan Watsons Caryn Loh, walaupun terdapat ketidaktentuan ekonomi negara dan banyak perjuangan yang dihadapi, ia bukan halangan bagi pihaknya untuk membantu serta menyumbang kepada penyedia perkhidmatan kesihatan.

"Sumbangan ini adalah tanda muhibah kita dan terima kasih kepada kakitangan barisan hadapan yang terus memberikan komitmen terbaik dalam memerangi pandemik Covid-19.

"Saya juga berterima kasih kepada pekerja kedai kami dan ahli farmasi yang bertugas ketika Pergerakan Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat," katanya.

Sejajar usaha kerajaan untuk memerangi penularan Covid-19, Watsons sentiasa berada di barisan hadapan untuk sama-sama menyumbang dan memberikan sokongan kepada masyarakat.

Pada masa sama, Watsons Malaysia meneruskan inisiatif secara kolaboratif dengan Kechara Soup Kitchen iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil membantu golongan memerlukan.

Ini termasuk sumbangan terdiri daripada makanan dan minuman kepada 230 keluarga rumah Orang Asli di Bentong, Kuala Tahan, Pahang dan Seremban, Negeri Sembilan.

"Kami dengan senang hati memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan selain kekal positif dalam setiap aspek kehidupan.

"Mari kita sama-sama memainkan peranan untuk terus berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Ketika di tempat awam, pastikan anda menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mencuci tangan dengan kerap," katanya.

Inisiatif menyumbang keperluan penting ketika PKPB ini sejajar komitmen syarikat dalam usaha membantu dan mendorong rakyat Malaysia memerangi Covid-19.

Disiarkan pada: December 10, 2020 @ 6:20am
d