WM

Rahsia cantik wanita sedunia

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

BENAR, kecantikan itu adalah universal kerana apa yang cantik bagi kita belum tentu lagi dipandang indah orang lain.

Masing-masing memiliki tafsiran sendiri bagi definisi kecantikan namun apa yang pasti, ramai bersetuju bahawa untuk tampil cantik berseri memerlukan pelbagai rutin penjagaan.

Ia tidak seharusnya tertumpu kepada satu rutin penjagaan atau petua kecantikan semata-mata sebaliknya membabitkan pelbagai perkara dari dalam dan luar, atas hingga ke bawah badan.

Kebanyakan cara menjaga kecantikan moden hari ini ialah dengan menggunakan produk moden yang sukar diketahui kandungan bahan sebenar di sebaliknya.

Namun, ia dikatakan tidak setanding jika menggunakan bahan berasaskan alam semula jadi yang lebih berkesan dan tidak memudaratkan meskipun diamalkan dalam tempoh panjang.

Kali ini, WM berkongsi amalan kecantikan menggunakan bahan semula jadi yang diamalkan secara meluas di beberapa negara.

Indonesia

Jamu adalah resipi turun temurun dan rahsia kecantikan wanita Indonesia.

Ramai yang percaya jamu mampu menjaga daya tahan tubuh dan juga menghaluskan kulit wanita.

Namun bahan semula jadi yang terkandung dalam jamu mampu menaikkan seri wajah dan menjaga kulit.

Tidak hairanlah jika wanita di Indonesia mengamalkan rutin meminum jamu seawal umur belasan tahun untuk mengekalkan tradisi kecantikan yang diwarisi mereka.

Filipina

Rambut hitam pekat dan lebat wanita Filipina rupanya daripada penggunaan lidah buaya.

Pati jeli daripada lidah buaya dilumur pada rambut dan kulit kepala untuk menyerap nutrisi. Hasilnya, rambut kekal kuat, lebat dan pada masa sama menghilangkan masalah gatal atau kelemumur pada kulit kepala.

Jepun

Wanita di negara matahari terbit sinonim dengan pemakaian pupur wajah antaranya daripada tanah liat.

Pupur wajah turut dipakai pada kulit kepala juga.

Ia dikatakan dapat membantu menyerap kotoran dengan lembut.

Korea

Wanita Korea dikatakan mengamalkan mencuci muka menggunakan air basuhan beras.

Mereka mengambil air basuhan yang kedua beras untuk mencuci muka atau mandi bersama.

Difahamkan air basuhan beras boleh membantu menjadikan kulit lebih lembut.

Australia

Jika anda mengalami masalah rambut dan kulit kepala berkelemumur, boleh cuba petua dari Australia ini.

Titiskan beberapa titis minyak pokok teh ke dalam syampu dan cuci rambut seperti biasa.

Minyak pokok teh dikatakan dapat mengurangkan masalah kelemumur.

Itali

Ramai wanita Itali menggunakan campuran yogurt dan minyak zaitun dalam rutin penjagaan rambut.

Gabungan dua bahan itu dikatakan dapat menjadikan rambut lebih cantik, berkilat dan ringan.

Portugal

Wanita Portugal gemar memakai pupur wajah daripada kunyit bagi menyerlahkan lagi warna kulit perang mereka.

Selain itu, wanita di Portugal juga gemar berjemur di bawah cahaya matahari, iaitu cara pantas untuk mendapatkan vitamin D.

Bulgaria

Bulgaria sememangnya terkenal dengan lembah ros yang mengeluarkan lebih dari 85 peratus minyak ros dunia.

Jadi wanita di negara itu tidak melepaskan peluang menggunakan bunga ros yang diyakini dapat membantu menaikkan seri kulit.

Rusia

Cuaca sejuk di Rusia sememangnya boleh menyebabkan masalah kulit kering.

Untuk mengekalkan kelembapan kulit semula jadi, wanita di sana menggunakan madu untuk mengekalkan kelembapan kulit. Selain itu, madu yang dicampurkan dengan gula juga dijadikan sebagai skrub.

Sepanyol

Mata galak kepunyaan wanita Sepanyol sering menjadi pujaan ramai.

Antara petua untuk mata cantik seperti mereka ialah dengan menghilangkan lingkaran gelap bawah mata.

Caranya, letakkan hirisan kentang pada kawasan mata dan biarkan selama 10 minit. Anda boleh melihat sendiri perbezaannya.

Amerika Syarikat

Meskipun bergelar negara maju namun masyarakat di sana khususnya golongan wanita masih mengamalkan pengambilan air yang mencukupi untuk menjaga kesihatan dan kecantikan.

Wanita di sana juga gemar melakukan senaman dan ramai juga beralih kepada pengambilan makanan berasaskan sayur-sayuran untuk kesihatan serta kecantikan.

Greece

Rahsia kecantikan bagi wanita Greece adalah mengamalkan sayur-sayuran, buah-buahan serta bijirin sihat yang baik untuk kulit dan rambut.

Diet Mediterranean ini dipercayai menjadi kunci kepada kecantikan kebanyakan wanita Greece.

Mesir

Wanita di Mesir memiliki kulit yang licin seperti sutera kerana mereka dikatakan kerap melakukan mandian susu.

Umum tahu susu kaya dengan pelbagai nutrisi penting yang sangat bermanfaat bagi tubuh seperti kalsium, zat besi, kalium, vitamin A, D, B6, B12, protein dan sebagainya.

Disiarkan pada: December 18, 2020 @ 7:00am
d