WM

'Tukang beli' barang orang

Oleh Hafiz Ithnin

"JANGAN pernah melihat sesuatu yang berlaku itu negatif kerana semuanya diaturkan dengan baik oleh Tuhan. Sebagai manusia perlu berusaha dan terus pandang ke hadapan," jelas wanita berusia 33 tahun ini kepada penulis.

Sebenarnya dia adalah rakan penulis yang pernah bersama-sama melaksanakan tugasan. Bezanya, pemilik nama Nurul Syazana Rose Razman atau mesra disapa Syazana adalah jurufoto yang menggalas kamera setiap kali bertugas berbanding penulis seorang wartawan, si tukang tanya dan menulis laporan.

Kini Syazana bergelar 'personal shopper' pelbagai jenama barangan. Sengaja penulis bertanya perihal pendapatan dalam kerjaya baharunya, ringkas jawapannya.

"Jika rajin berusaha kadangkala pendapatan sekarang lima kali ganda daripada pendapatan dahulu," jawabnya kepada penulis dan sedikit pun tidak mendabik dada, malah ucapan syukur sentiasa meniti dibibirnya.

Syazana berkata, dia mula berjinak-jinak dalam bidang itu sejak 2017 kerana gemar membeli-belah. Malah dia juga seorang yang 'pantang' mendengar promosi atau diskaun di pusat beli-belah.

"Kalau ditanya mengenai hobi selain melancong, saya suka membeli-belah. Kadangkala boleh menghabiskan banyak masa di sana jika ada jualan murah dan tidak sangka dengan hanya memuat naik barangan yang dibeli di media sosial, rupa-rupanya ada yang bertanya mengenainya.

"Bermula daripada ahli keluarga dan rakan terdekat, ia menjadi bualan orang dan mereka mula mengirim untuk membeli barangan berkenaan terutama jenama barangan sekolah anak-anak. Jadi, saya terus memulakan perniagaan ini secara sampingan," katanya.

Syazana berkata, sebaik tidak lagi bergelar jurufoto, perniagaan sampingan itu terus menjadi kerjaya serius dan sentiasa meletakkan sasaran jualan setiap hari.

Katanya, menjadi 'personal shopper' bukan sesuatu yang mudah kerana dia sentiasa meletakkan diri pembeli dalam dirinya yang amat 'cerewet' soal harga berpatutan, kualiti dan jenama.

"Sudah menjadi lumrah apabila kita hendak membeli sesuatu barangan pastinya ingin berpuas hati dan sebagai 'tukang beli' barang orang lain, kita perlu tahan dengan rasa penat permintaan pelanggan dan berjalan ke sana sini untuk menawarkan barangan yang berbaloi diinginkan pelanggan.

"Jadi, saya perlu faham kehendak pembeli dengan meletakkan diri dalam diri pembeli. Penat memang penat, tetapi jika kita ingin membeli sesuatu barang, pasti mahukan yang terbaik begitu juga dengan pelanggan. Jadikan mereka sebagai kawan lebih baik," katanya.

Kata isteri kepada Ku Masharizul Ku Mahmood itu, sejak bekerja sendiri dia lebih sibuk berbanding kerjaya dahulu. Masa untuk menguruskan keluarga juga lebih mudah.

"Jika dahulu, sebagai jurufoto di bilik berita kita akan kerja tidak tentu masa. Suami juga bekerja syif. Jadi, kadangkala kami mahu berjumpa di rumah pun susah.

"Sekarang ini, bekerja sendiri walaupun kedengaran senang, tetapi kita sentiasa perlu letak sasaran dan perancangan untuk hari akan datang. Tidak rajin, tidak akan ada hasil. Namun, masa bersama keluarga lebih mudah kerana kita yang aturkan sendiri," katanya.

Syazana berkata, dia juga mendapat sokongan padu daripada suami dan ahli keluarga untuk meneruskan perniagaan itu dan kadangkala mereka yang menemani daripada proses membeli, membungkus sehingga membuat penghantaran kepada pelanggan.

"Kalau dahulu saya fokus kepada satu jenama barangan sekolah yang dilihat premium dalam kalangan ibu bapa dan pihak sekolah, tetapi kini saya kembangkan kepada jenama barangan lain.

"Sebenarnya walaupun jenama itu dilihat mahal, tetapi apabila adanya potongan harga, ia menjadi suatu yang mampu milik dan di sini tugas 'personal shopper' untuk memaklumkan mengenai perkara itu kepada pelanggan dengan segera," katanya.

Jelasnya lagi, sebagai 'personal shopper,'

dia tidak melihat pelanggan hanya dalam kalangan yang tinggal jauh daripada kedai berkenaan memandangkan sebilangan besar pelanggannya adalah mereka yang tinggal berhampiran lokasi tempat dia membeli barangan yang diinginkan.

"Sekarang ini, saya lihat pelanggan mahukan sesuatu yang memudahkan kehidupan mereka untuk membeli barang kerana jika ke pusat beli-belah perlu membayar kos minyak, tol dan parkir.

"Dengan adanya khidmat 'personal shopper,' pelanggan mudah dari segi menjimatkan masa dan kos membeli sesuatu barangan. Apatah lagi ketika ini, musim Covid-19 orang lebih peka kepada keselamatan dan berada di rumah menjadi pilihan," katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Syazana sempat menitipkan nasihat kepada penulis, jangan takut untuk memulakan sesuatu yang baharu dalam kehidupan kerana kadangkala usaha yang kecil boleh mendatangkan manfaat di kemudian hari.

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 7:00am
d