WM

Tudung saji sumber rezeki

Oleh Hanifah Nazira Mohamed Hanafiah

SETIAP kali dia memuat naik gambar hasil hiasan tudung saji ke dalam laman sosialnya, setiap kali itulah mata penulis terpegun melihatnya.

Lantas penulis menghubunginya untuk diadakan sesi temu bual. Ternyata dia berbesar hati menerima pelawaan penulis.

Bagi Mas Idayu Marzuki, 44, pembabitannya dalam bidang seni hiasan tudung saji bermula sebaik sahaja menghadiri sebuah program berkaitan yang dianjurkan Pusat Berdaya Wanita (PWB) Kajang pada 2018.

Ketika itu PWB Kajang dipengerusikan penyelianya Haslinda Mustaffa manakala tenaga pengajarnya pula Suzzana Samsudin.

Boleh dikatakan PWB Kajang sangat aktif mengadakan pelbagai aktiviti dan program bermanfaat kepada masyarakat setempat.

"Usai program saya terus mempraktikkan ilmu dan teknik yang dipelajari dengan cuba menghias reben pada tudung saji.

"Pada mulanya agak sukar untuk saya melakukannya. Saya hampir sahaja berputus asa apabila percubaan pertama seakan menemui kegagalan.

"Namun berkat kesungguhan dan semangat daya usaha yang tinggi akhirnya saya berjaya menyiapkannya walaupun berjam-jam masa diambil," katanya.

Mas Idayu berkata, setiap kali tetamu bertandang ke rumahnya, pasti bertanyakan keunikan seni hiasan tudung saji yang dipamerkan di ruang meja makan.

Biaya kos perubatan suami

Walaupun ada yang mahu membeli ketika itu namun dia belum ada lagi keberanian untuk menerima sebarang tempahan.

"Pertama kalinya saya menerima tempahan tudung saji daripada pelanggan adalah detik yang sukar dilupakan.

"Perasaan saya sedikit berdebar dan bimbang seandainya tidak dapat memenuhi kehendak pelanggan yang diinginkan," katanya yang bersyukur kerana kebanyakan pelanggan sungguh berpuas hati sebaik melihat hasilnya.

"Bagi saya paling utama kita kena pandai menjaga hati dan menjalinkan hubungan baik dengan pelanggan jika mahukan mereka kembali membuat tempahan.

"Saya berpegang teguh pada keikhlasan, kejujuran dan amanah dalam menyiapkan setiap tempahan. Niat saya ingin membantu suami untuk menambah pendapatan sampingan keluarga.

"Paling penting mencari keberkatan sumber rezeki. Kebarangkalian mereka turut membuat promosi produk kita kepada pihak lain tanpa kita sedari," katanya.

Mas Idayu berkata, kebiasaannya dia menerima tempahan dalam dua saiz iaitu besar dan kecil.

Jika tudung saji bersaiz kecil, ia mampu disiapkan anggaran masa empat jam setiap satu. Manakala tempahan tudung saji bersaiz besar pula boleh disiapkan dalam masa sehari.

"Saya amat mementingkan kualiti, nilai eksklusif dan kelainan corak yang di tonjolkan dalam setiap tempahan tudung saji," katanya.

Baginya suami, Tun Mamat Hashim dan keluarga, Suzzana dan Haslinda dari PWB Kajang adalah pendorong dan pengkritik utama.

Adakalanya dia juga tidak terkecuali mengalami kebuntuan idea untuk mencipta hiasan tudung saji. Insan berkenaanlah yang dijadikan sumber rujukan dan diajak berbincang.

Sambil menahan rasa sebak, Mas Idayu memaklumkan wang hasil tempahan tudung saji sebahagian digunakan untuk membiayai kos perubatan suaminya yang kini menghidap penyakit buah pinggang kronik.

Lebih membanggakan, suaminya turut berkebolehan menghias tudung saji.

Malah dia juga tidak melepaskan peluang menjadi tenaga pengajar hiasan tudung saji bersama Haslinda, sahabatnya dari PWB Kajang itu.

Ketika ditanya bagaimana beliau membahagikan masa antara tempahan tudung saji, mengajar dan rumah tangga. Ini jawapan yang diberikan.

"Paling utama ialah kebijaksanaan pengurusan masa. Mengajar kebiasaannya dibuat pada hujung minggu sahaja. Urusan rumah tangga dan menyulam tudung saji saya lakukan pada setiap hari.

"Sebelah pagi sambil menguruskan kerja rumah, kita boleh melakukan sulaman tudung saji. Begitu juga saat kita menonton televisyen bersama keluarga ataupun mencuci pakaian.

"Nasihat saya kepada mereka yang ingin menceburi bidang ini perlu ada minat, ilmu dan kesungguhan. Sedikit modal diperlukan dan boleh dilakukan dalam masa yang santai selain mampu menjana pendapatan keluarga dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, katanya sambil mengakhiri perbualan.

Disiarkan pada: January 12, 2021 @ 8:58pm
d