WM

Norzana si tukang kayu [METROTV]

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Tukang kayu sering dikaitkan dengan golongan lelaki kerana pekerjaan ini dilihat lasak, kasar dan memerlukan tenaga.

Bagaimanapun, sesuai dengan peredaran zaman, banyak kerjaya yang dahulunya dimonopoli lelaki mula dilihat pembabitan ramai wanita.

Dengan kata lain, jantina bukanlah halangan untuk seseorang itu menceburi sesuatu bidang.

Ini dibuktikan Norzana Yahya, 47, apabila menjadikan tukang kayu sepenuh masa sebagai kerjaya sejak dua tahun lalu di Kota Bharu, Kelantan.

Bermula sekadar hobi, kini hasil kerja tangannya dalam penghasilan pelbagai jenis perabot di bengkel yang dinamakan Raw Factory GoolyGooly mendapat sambutan menggalakkan.

Minat mendalam terhadap pertukangan dan dorongan suami, Mekar Naemat Sukor Mohamed, 51, membuatkan Norzana memilih untuk lebih serius dalam bidang yang didominasi lelaki.

Antara perabot yang dihasilkan wanita berasal dari Kajang, Selangor ini ialah almari, meja dan kabinet dapur.

Tanpa pekerja, semuanya dilakukan sendiri termasuk mengukur, memotong kayu dan melihat kecekapan wanita ini mengendalikan pelbagai mesin seperti mesin gergasi meja serta mesin gerudi seolah-olah beliau sudah lama terbabit dalam bidang ini.

Norzana berkata, sebelum ini beliau bertugas sebagai eksekutif pemasaran selama lima tahun di Kuantan, Pahang.

Beliau kemudian mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) selepas syarikat mahu mengecilkan operasi.

"Selepas itu, saya terus berpindah ke Kota Bharu untuk tinggal bersama suami yang bekerja di sini.

"Bermula dari itu saya lebih serius dalam bidang pertukangan ini dengan menghasilkan pelbagai jenis perabot," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, minat terhadap pertukangan kayu ini sudah lama apabila tertarik dengan penghasilan perabot di Internet.

"Suami saya juga banyak menghasilkan sendiri perabot dan memiliki banyak peralatan pertukangan.

"Jadi, saya belajar daripada suami dari†segi teknik pertukangan, penggunaan peralatan dan sebagainya sebelum belajar hasilkan perabot untuk kegunaan sendiri sehingga mendapat tempahan daripada pelanggan.

"Pada masa sama, saya tidak malu bertanya kepada rakan tukang kayu lain yang tidak lokek berkongsi ilmu," katanya.

Katanya, kepuasan terbabit dalam bidang ini, adalah apabila berjaya menyelamatkan kayu lama atau buruk untuk hasilkan sesuatu yang berguna.

Tambahnya, setiap pekerjaan mempunyai cabaran tersendiri dan sebagai wanita beliau mengakui ada kekurangan dari segi tenaga terutamanya membabitkan penghasilan perabot besar.

"Untuk itu, saya perlukan suami untuk membantu supaya proses penghasilan perabot berjalan lancar.

"Dari segi kelebihan, saya rasa wanita lebih teliti dan sabar terutama membabitkan proses akhir menyiapkan perabot," katanya.

Ditanya mengenai persepsi masyarakat, Norzana bersyukur kerana sentiasa diberi sokongan.

"Tidak kira lelaki atau wanita, jantina bukan halangan untuk terbabit dalam bidang ini.

"Malah ramai dalam kalangan rakan pertukangan lelaki yang banyak beri pandangan, nasihat dan berkongsi ilmu," katanya.

Beliau berkata dalam apa jua bidang sekali pun termasuk pertukangan, perkara paling penting adalah minat.

"Selain itu, kita perlu rajin belajar dan tidak malu bertanya serta perlu sentiasa berfikiran terbuka.

"Sekiranya berdepan masalah, banyak cara untuk selesaikannya," katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 2:26pm
d