WM

Berhubung melalui air mata

Oleh Muhamaad Razis Ismail

RAMAI pasangan suami isteri terutama yang baru mempunyai cahaya mata berdepan cabaran menangani anak yang sering menangis.

Lebih membingungkan, apabila anak yang belum pandai bercakap, menangis tanpa diketahui sebab tidak kira masa.

Ibu bapa pastinya risau dan tertekan apabila pelbagai usaha yang dilakukan untuk menenangkan anak berdepan jalan buntu.

Jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh menjadi pencetus utama kepada masalah keletihan melampau, kekurangan tidur, depresi, kegagalan penyusuan bayi, ketegangan hubungan perkahwinan dan penderaan bayi.

Perunding tangisan bayi, Uswatun Hasanah Mohd Habib menjelaskan, tangisan adalah bentuk komunikasi terawal manusia.

Katanya, ia adalah sejenis reflek yang kekal sehingga bayi berusia sekitar tiga bulan.

"Oleh itu, bayi berusia hingga tiga bulan tidak belajar untuk menangis dan tidak berfikir untuk menangis.

"Namun, menjelang usia empat bulan, tangisan yang pada awalnya dalam bentuk reflek, perlahan-lahan berkembang menjadi kelakuan terpilih sebagai usaha bayi 'masuk' ke dalam dunia untuk bersosial dan berinteraksi dengan lebih efektif," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, tangisan adalah medium komunikasi supaya ibu bapa selalu sedar anak sedang cuba sampaikan sesuatu kehendak atau keperluan.

"Maka, penting ibu bapa belajar seni berkomunikasi dengan anak kecil dan memahami tangisan sebagai salah satu cara komunikasi anak," katanya.

Beliau berkata, punca utama bayi sering menangis ialah kerana peralihan alam rahim ke dunia secara drastik.

"Biarpun sudah cukup kenyang dan selesa, bayi sukar ditenangkan serta tidur tidak lena kerana beranggapan ibu bapa masih asing kepada mereka," katanya.

Bagi anak yang lebih berusia, kekurangan rehat atau tidur boleh mengakibatkan mereka sering menangis.

"Anak berusia empat bulan hingga dua tahun harus tidur sekurang-kurangnya 14 jam sehari. Maka dapat difahami bahawa kualiti tidur yang rendah mudah buat anak meragam," katanya.

Selain itu, akibat perkembangan mental yang drastik, otak anak ibarat sedang dinaik taraf dengan perkara baru sepanjang usianya dua tahun.

"Pengetahuan dan kesedaran baru yang otak anak dapatkan buat anak kadangkala bingung, panik serta cemas.

"Ini ditambah dengan hakikat bahawa anak memiliki keterbatasan skil motoratau keupayaan fizikal, tatabahasa serta keupayaan kognitif untuk memahami logik dan rasional sesuatu perkara atau kejadian," katanya.

Mengulas lanjut, bagi bayi, tangisan sebagai sebahagian dari proses untuk memahami pelbagai konsep.

"Oleh itu, ibu bapa perlu cuba kenal pasti punca di sebalik tangisan sebelum menentukan bagaimana dan berapa cepat dia harus memberi tindak balas," katanya.

Jelasnya, selagi ada tindak balas empati daripada ibu bapa, tidak kisah dalam apa jua bentuk (tindak balas), tangisan adalah selamat, baik dan sihat.

"Tangisan yang tidak baik, tidak sihat dan membahayakan anak normal hanya apabila ia berpanjangan serta tidak diberi tindak balas.

"Gunakanlah semua bentuk rangsangan deria yang dirasakan perlu untuk menenangkan anak termasuk lihat (pandang mata dan wajah anak, perhatikan anak), sentuh (usap, susukan, peluk, riba, urut, angkat) dan bunyi (bercakap, menyanyi untuk anak, memujuk dengan suara)," katanya.

Uswatun Hasanah berkata, ibu bapa perlu pelajari teknik pantas untuk menenangkan dan tidurkan bayi baru dilahirkan hingga tiga bulan menangis seperti dia berada di dalam rahim.

"Bagi bayi yang lebih berusia, ibu bapa hanya perlu tahu bahawa dua punca utama anak kuat meragam adalah isu tidur yang bermasalah serta isu tidak faham dan tidak difahami," katanya.

Beliau berkata, bidang pengurusan dan pengendalian tangisan bayi masih amat rendah jika dibandingkan dengan bidang keibubapaan lain.

"Kumpulan sokongan atau kumpulan pengajar bertauliah bidang ini belum wujud di Malaysia. Ini menyaksikan bukan sahaja ibu bapa yang bergelut mengendalikan bayi tetapi juga pengasuh.

"Oleh itu, dapatkan ilmu dan bantuan untuk tangani isu tangisan bayi," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 7:00am
d