WM

Kayuhan memburu hikmah

Oleh Muhamaad Razis Ismail

"HANYA ucapan syukur yang dapat dilafazkan apabila impian ke Makkah tercapai," kata Noradilah Mohd Sapie, 34.

Lebih unik, dengan berbaju kurung anak keenam daripada lapan beradik ini mengejar cita-citanya ke Makkah dengan mengembara selama 15 bulan dengan basikal bersama suaminya, Ahmad Mohd Isa, 33.

Dengan hanya membawa wang tunai RM1,900 pelbagai pengalaman pahit dan manis ditempuh sepanjang melalui 14 negara bermula April 2016 hingga Julai 2017.

Noradilah berkata, idea untuk mengembara tercetus daripada suaminya yang pada mulanya merancang mengembara dengan basikal ke United Kingdom (UK).

"Bagaimanapun, saya mencadangkan kepada suami untuk ke Makkah dahulu kerana sudah menjadi impian untuk ke sana pada usia muda. Alhamdulillah suami bersetuju," katanya di rumahnya di Gombak, Selangor.

Menurutnya, sejak itu mereka membuat persiapan rapi selama lebih setahun daripada segi mental dan fizikal.

"Dalam tempoh itu, kami mengembara ke pelbagai tempat di sekitar negara ini. Pada masa sama, kami mengumpul dana untuk menggerakkan pengembaraan yang dinamakan sebagai Kembara Memburu Hikmah ini.

"Sebagai wanita, sudah pasti ia sesuatu mencabar, namun dengan dorongan suami dan keluarga saya kuatkan tekad dan azam untuk meneruskan cita-cita ke Makkah," katanya.

Tambahnya, dia dan suami berdepan pelbagai cabaran yang tidak disangka termasuk dia diserang penyakit akut gunung yang hampir meragut nyawanya ketika di Pakistan.

"Pada ketika itu boleh dikatakan nyawa seperti berada di hujung tanduk dan mujur dengan bantuan penduduk di sana, saya mendapat rawatan cepat di hospital.

"Lebih mengejutkan ketika ingin keluar hospital, saya dan suami tidak perlu buat sebarang bayaran dan mereka hanya minta doakan kesejahteraan negara mereka.

"Bukan itu sahaja, sepanjang berada di sana kami menerima banyak bantuan termasuk menyediakan tempat tinggal dan wang tunai," katanya.

Tambahnya, dengan berbasikal, bukan sahaja dapat menikmati keindahan alam, malah lebih mudah dipertemukan dengan ramai insan berhati mulia

"Perkara ini amat menyentuh jiwa saya. Walaupun ada yang berlainan agama, bahasa, kulit dan budaya, mereka tetap meraikan kehadiran kami.

"Mereka sanggup mempelawa kami menginap di rumah mereka dan menyediakan makanan seperti keluarga sendiri.

"Selain itu, beberapa warga Malaysia bekerja di luar negara yang mengetahui pengembaraan kami turut membantu," katanya.

Ditanya mengenai pemilihan baju kurung ketika mengembara, Noradilah berkata, ibunya yang mencadangkannya berpakaian sedemikian.

"Sebenarnya, dengan berbaju kurung, ia lebih senang diurus dan mudah untuk masuk ke mana-mana masjid.

"Sepanjang berkayuh, saya bawa baju kurung untuk berkayuh, dua baju-T dan baju tidur," katanya.

Jelasnya, sepanjang pengembaraan itu, dia dan suami banyak pelajari untuk memahami antara satu sama lain.

"Ketika berada di luar negara kami saling memerlukan dan menghargai antara satu sama lain kerana tiada orang lain yang kami kenal di sana.

"Pernah satu ketika suami kemalangan ketika berada Iran, hanya Tuhan tahu perasaan ketika itu, mujur dia tidak cedera serius," katanya.

Ditanya perasaan menjejakkan kaki ke Makkah, Noradilah hanya mampu melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga.

"Sepanjang perjalanan ke sini, kami berdepan masalah kelulusan visa dan hanya ketika berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE), permohonan diluluskan.

"Sebaik melihat Kaabah depan mata, saya seperti tidak percaya mampu ke sini dengan berbasikal. Semuanya berlaku dengan izin Allah," katanya.

Katanya, banyak perkara yang dipelajari sepanjang pengembaraan antaranya dapat lebih memahami Islam yang dipraktikkan di luar negara.

"Saya dapat lihat pelbagai perbezaan dan ia membuka minda untuk menerima kepelbagaian ini.

"Pada masa sama, saya menjadi insan lebih bersyukur tinggal di negara ini kerana dapat pratikkan agama dengan lebih sempurna," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia dan suami tidak menolak kemungkinan untuk mengembara ke UK.

Disiarkan pada: January 22, 2021 @ 7:00am
d