WM

Bijak pilih fabrik sesuai tubuh

Oleh Hafiz Ithnin

PEMAKAIAN baju tradisional seperti baju kurung, kebaya dan kebarung sering menjadi perhatian kaum hawa untuk dipakai dalam pelbagai acara.

Perkara itu sudah pasti dapat mengangkat warisan pakaian turun temurun dan ia dilihat sebagai busana yang sentiasa berada dalam kelas tersendiri.

Tidak dapat dinafikan pakaian tradisional juga adalah satu bentuk busana yang selesa dan malar segar. Maka, tidak hairan meskipun seseorang wanita itu bekerja dalam sektor korporat, ia tetap menjadi pilihan.

Penganalisis Fesyen Profesor Dr Zuhaili Akmal Ismail berkata, pakaian tradisional juga mendapat sentuhan baharu daripada pereka fesyen tempatan bagi memberi sedikit kelainan kepada si pemakai.

Namun, elemen asasnya seperti menjaga tertib si pemakaian tidak boleh diketepikan dan dalam masa yang sama pemilihan kain seiring dengan perkembangan teknologi tekstil berupaya menjadikan si pemakai lebih selesa.

"Jika memperkatakan mengenai jenis tekstil yang terdapat di pasaran untuk membuat pakaian tradisional sememangnya terlalu banyak dan kita sebagai pembeli perlu bijak memastikan ia sesuai serta memberi keselesaan.

"Kain kapas (cotton) antara yang sering menjadi pilihan sejak dahulu lagi dalam membuat baju tradisional kerana sifatnya yang sejuk dan mudah menyerap peluh dengan mudah," katanya.

Katanya lagi, kain sifon juga antara yang menjadi perhatian pereka fesyen untuk membuat pakaian tradisional kerana cirinya tipis menawarkan rasa tidak panas dan selesa.

"Bagi mereka yang ingin cepat tanpa perlu memikirkan soal kesukaran untuk menggosok pakaian tradisional, mereka disarankan untuk menggunakan kain jenis crepe kerana ia lebih mudah untuk menghilangkan kedutan apabila diseterika.

"Kain jersey juga antara yang mendapat perhatian untuk dijadikan baju tradisional kerana sifatnya yang lebih terletak apabila dipakai dan tidak perlu 'lining'," katanya.

Tambahnya lagi, kain viscose juga antara yang menjadi pilihan si pembeli kain untuk dijadikan pakaian tradisional kerana ia lembut dan sejuk untuk dipakai terutama untuk cuaca panas seperti di Malaysia.

Zuhaili turut memberikan perkongsian gaya yang sesuai untuk si penggemar pakaian tradisional yang mungkin boleh dijadikan panduan:

Bentuk badan pear

Siluet dart baju di hadapan, corak sama baju dan kain. Elakkan baju kurung kedah kerana ia menonjolkan bahagian pinggul anda. Hiasan sulaman atau rekaan di bahagian 'neckline' baju kurung dapat mengalih perhatian dari bahagian pinggul. Material yang sesuai adalah jersey, kapas dan viscose.

Bentuk badan epal

Siluet baju kurung moden dengan dart baju di belakang, corak sama baju dan kain. Fabrik yang sesuai untuk dipakai oleh badan berbentuk epal ini ialah sutera, tenun, sifon dan kapas yang tebal.

Bentuk badan lurus

Siluet baju kurung moden dengan dart baju di hadapan, skirt potongan duyung dan A-line. Baju kurung pesak sangat sesuai dengan bentuk badan lurus. Rekaan dengan peplum atau 'pleats' di bahagian pinggang akan memberi ilusi yang menarik kepada si pemakai. Material yang sesuai adalah jersey, kapas, satin dan sutera.

Bentuk badan 'hourglass'

Siluet dart baju di hadapan, skirt potongan duyung, corak sama baju dan kain. Material yang sesuai adalah jersey dan kapas. Elakkan kain tebal untuk pilihan kain kerana anda akan kelihatan berisi.

Badan langsing dan tinggi

Warna cerah bercorak besar. Siluet dart baju dihadapan, skirt potongan duyung. Sesuai dengan baju kurung Pahang.

Badan langsing dan rendah

Warna cerah bercorak sederhana. Siluet dart baju di hadapan, skirt potongan duyung, corak sama baju dan kain.

Badan berisi dan tinggi

Warna gelap bercorak kecil. Siluet baju kurung dengan dart baju di hadapan, corak sama baju dan kain.

Badan berisi dan rendah

Warna gelap bercorak minimal dan kecil. Siluet baju kurung dengan dart baju di belakang, corak sama baju dan kain. Sesuai dengan baju kurung pesak untuk tampak langsing.

Disarankan jenis kain kapas dan crepe. Elakkan fabrik daripada bahan kain yang ringan, lembut dan licin seperti lycra dan jersey. Material sebegini melekap di badan dan mengikut bentuk badan.

Disiarkan pada: February 10, 2021 @ 6:10am
d