WM

Seliak jejas kesuburan?

Oleh Hafiz Ithnin

SERING kita dengar isu pasangan suami isteri yang sihat tetapi sukar mendapatkan zuriat.

Kata-kata, 'cuba lagi' atau 'belum ada rezeki,' antara yang biasa didengar apabila sang suami atau isteri menceritakan kisah mereka yang belum mendapat zuriat kepada individu terdekat

meskipun pemeriksaan kesuburan menunjukkan tiada masalah.

Pengasas dan Perunding Kesuburan, Dr Tee Swi Peng berkata, ketidaksuburan dialami 15 peratus daripada pasangan berkahwin dan isu kesuburan ini merangkumi lelaki, wanita, kedua-duanya dan juga mempunyai sebab yang tidak diketahui iaitu 'unexplained infertility.'

Katanya, jika isu kesuburan itu dapat dikesan awal menerusi saringan kesuburan dan pemeriksaan dengan doktor pakar, ia mungkin boleh dirawat di peringkat awal agar tidak perlu menunggu lama dalam usaha untuk mendapatkan zuriat.

"Sekiranya anda dan pasangan tidak mempunyai isu kesuburan tetapi belum dikurniakan zuriat, apakah masih berpeluang untuk hamil pada suatu hari nanti? Berapa lamakah jangka waktu yang perlu ditunggu?

"Menurut kajian, 'unexplained infertility'ini adalah pasangan yang tidak berjaya hamil selama 12 bulan selepas beberapa kali mencuba.

"Ketidaksuburan boleh menjadi 'unexplained infertility' sekiranya kitaran haid wanita berkenaan normal, tiub fallopian tidak tersumbat, tiada fibroid atau endometriosis, hubungan kelamin pasangan juga adalah konsisten sekurang-kurangnya dua kali seminggu terutama pada waktu subur tetapi masih menemui jalan buntu kerana belum hamil," katanya.

Pakar itu berkata, diagnosis ketidaksuburan yang tidak dapat dijelaskan dikeluarkan apabila ujian saringan kesuburan asas tidak menunjukkan sebab yang ketara.

"Agak sukar untuk mengetahui penyakit yang tidak dapat dikesan melalui ujian saringan kesuburan seperti penyakit auto-immune iaitu menyebabkan badan menghasilkan antibodi sendiri yang menyerang sel-sel badan atau
organ badan.

"Auto-immune ini sangat berkait rapat dengan genetik atau keturunan. Bagi mengesan secara genetik, tidak ada ujian khusus yang boleh dilakukan," katanya.

Jelasnya, perbincangan dengan doktor perlu sekiranya ada antara ahli keluarga yang mempunyai sejarah auto-immune seperti tiroid, seliak atau SLE.

"Untuk tujuan perbincangan, penyakit seliak akan dibincangkan kerana kurang mendapat pendedahan kerana simptommya adalah gejala yang biasa seperti sakit perut, cirit-birit atau sembelit dan sakit kepala," katanya.

Menjelaskan mengenai penyakit seliak katanya, ia adalah lebih kepada isu pencernaan gluten, protein dalam makanan seperti roti, keropok dan pasta yang menjejaskan penyerapan protein dan menjejaskan usus. Ini boleh menyebabkan cirit-birit, keletihan, penurunan berat badan, kembung dan anemia.

"Dalam satu kajian yang dijalankan pada tahun 2016 menunjukkan bahawa penyakit seliak mungkin didiagnosis kira-kira enam kali lebih kerap pada wanita dengan isu kesuburan tidak dapat dijelaskan berbanding dengan wanita yang lain.

"Kajian yang lain pula menunjukkan 20 peratus wanita seliak ini mengalami amenorrhea atau tidak mengalami haid sewaktu usia reproduktif iaitu antara 15 hingga 49 tahun," katanya.

Selalunya, intervensi dengan perubahan gaya hidup dapat meningkatkan peluang untuk wanita hamil secara normal. Ini termasuk perubahan pada diet yang menyokong kesuburan, termasuk kaedah penyediaan dan jenis pemakanan.

"Peningkatan aktiviti dan senaman juga menyokong usaha meningkatkan kesuburan wanita dan lelaki. Bahkan perubahan dari segi pemakaian yang ketat kepada yang lebih longgar terutama suami boleh meningkatkan kuantiti sperma," katanya.

MENJAWAB PERSOALAN

Adakah isu 'unexplained infertility' lebih kepada wanita atau lelaki?

Ia boleh berlaku sama ada kepada pasangan lelaki mahupun wanita.

a) Untuk lelaki, ujian air mani adalah saringan utama dalam menentukan kuantiti, pergerakan dan bentuk sperma. Ada kebarangkalian bahawa kualiti sperma tidak dapat dikesan ketika analisa itu dilakukan

b) Ada kemungkinan terdapat isu kualiti telur iaitu ovulasi atau telur pra-matang yang tidak dapat disenyawakan dengan sempurna

c) Isu lapisan fallopian tiub tidak dapat dikesan melalui ujian HSG iaitu laluan telur, sperma atau proses penempelan telur terganggu menyebabkan kehamilan tidak berlaku.

Disiarkan pada: February 25, 2021 @ 7:00am
d