WM

Waktu sesuai beli emas

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

DI saat ketidakpastian keadaan ekonomi ketika ini, ramai yang memilih untuk membeli emas.

Selain dijadikan sebagai barangan perhiasan, emas juga sesuai untuk pelaburan jangka panjang.

Apa yang istimewa mengenai emas? Menurut pakar ekonomi,

pulangan emas lebih stabil dan tidak bersifat spekulatif sebagaimana pasaran saham.

Antara Januari sehingga April 2020, harga emas meningkat 18 peratus dan pada Ogos lalu harganya melebihi USD 2,000 seauns atau kira-kira lebih RM300 satu gram.

Bagi pelaburan jangka panjang, emas turut menunjukkan trend positif sejak 20 tahun lalu.

Keadaan ekonomi semasa juga memperlihatkan potensi emas sebagai satu pelaburan yang menjanjikan pulangan berbaloi.

Selain itu, ancaman pandemik Covid-19 yang menjejaskan ekonomi seluruh dunia sedikit sebanyak turut mendorong orang ramai memilih emas sebagai aset selamat.

Dengan semua faktor berkenaan, tidak hairanlah ketika harga emas melonjak tinggi tahun lalu ( melebihi RM300 segram) sekalipun, kedai emas di seluruh negara tetap diserbu orang ramai.

Namun, apabila berita penemuan vaksin Covid-19 yang memberi kelegaan kepada semua orang di dunia termasuk di Malaysia diumumkan, harga emas mengalami penurunan mendadak sejak akhir tahun lalu.

Keadaan itu sememangnya ditunggu-tunggu oleh orang ramai untuk mendapatkan barangan kemas idaman mereka ketika harga emas berada di paras antara yang terendah ketika ini.

Ia diakui Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Sri Meer Habib yang berkata, sekarang adalah antara waktu terbaik untuk membeli emas kerana harganya mengalami penurunan berbanding tahun lalu.

Kata Meer, harga emas ketika ini adalah antara USD1, 500 hingga USD1, 780 seauns. Katanya,untuk emas 916 (pada pertengahan Februari) misalnya turun mencecah RM270 segram berbanding lebih RM300 tahun lalu.

"Kita boleh melihat orang ramai kini semakin menggemari barangan kemas bukan sahaja dijadikan sebagai perhiasan malah untuk pelaburan.

"Ini kerana untuk tempoh jangka panjang, nilai emas akan meningkat dan ia juga kalis inflasi selain tidak mempunyai risiko kerugian apabila pasaran ekonomi terjejas," katanya.

Mengulas lanjut, Meer berkata, sejak lebih 20 tahun yang lalu HABIB sebagai satu jenama barangan kemas tempatan bekerjasama dengan pelbagai jenama antarabangsa yang pakar dan berkemahiran dalam pembuatan barangan kemas.

"Terdapat pelbagai rekaan dan koleksi barangan kemas serta batuan permata pelbagai warna untuk dimiliki.

"Koleksi Oro Italia 916 misalnya, mempunyai pelbagai rekaan yang sesuai dengan semua lapisan usia.

"Selain itu, kami juga menerima barangan kemas permata selain emas dan berlian untuk tukar beli barangan kemas lama kepada baru dengan harga yang kompetitif, " katanya.

Bagi memberi lebih pilihan, Meer berkata, pihaknya turut memperkenalkan koleksi wafer emas 999 edisi terhad bermotifkan enam haiwan ikonik Zoo Negara dengan berkonsepkan membeli sambil menderma.

Katanya, kolabrasi eksklusif bersama Zoo Negara itu mendapat sambutan baik pelanggan dan setakat ini ia sudah terjual kira-kira 7,000 unit sejak pelancarannya, Disember lalu.

"Dahulu, duit raya atau angpau hanya diberikan dalam bentuk wang tunai tetapi kini ramai yang memilih untuk menghadiahkan dalam bentuk syiling atau wafer emas.

"Ia adalah hadiah yang lebih bernilai dan secara tidak langsung dapat mendidik generasi muda mengenai emas, nilainya serta pelaburan.

"Apapun, diakui kesedaran masyarakat untuk melabur dalam pembelian emas semakin meningkat dan itu perkembangan yang positif memandangkan nilainya akan tetap tinggi serta tidak merugikan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan orang ramai berpusu-pusu ke kedai emas untuk mengambil peluang membeli barang kemas sebagai simpanan pelaburan.

Tnjauan Harian Metro di beberapa kedai emas di sekitar Ampang, Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur juga mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli barangan kemas ketika harga murah.

Salah seorang pembeli yang ditemui berkata, kejatuhan harga emas, menyebabkan orang ramai mengambil kesempatan untuk menukar barang kemas lama dan ada juga yang mahu menempah yang baharu sebagai simpanan pelaburan serta aksesori untuk dipakai.

"Harga emas memang jauh lebih murah ketika ini dan ia adalah waktu terbaik untuk membelinya kerana tidak tahu bila harganya akan serendah sekarang.

"Orang tua sering berpesan, beli emas jika ada duit lebih kerana ia semakin bernilai tinggi dan boleh digadai sekiranya terdesak memerlukan wang.

"Ia menyebabkan ramai yang menyerbu kedai emas namun baik peniaga mahupun pembeli masing-masing tetap mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2021 @ 7:00am