WM

Tukar emas untuk tunai

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

PERSEPSI masyarakat terhadap perkhidmatan pajak gadai perlu diubah memandangkan fungsinya adalah hampir sama dengan bank iaitu menawarkan bantuan kewangan segera kepada golongan yang memerlukan.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Sadik Habib berkata, masyarakat biasanya membeli barangan kemas untuk perhiasan diri dan sebagai pelaburan jangka panjang serta digunakan ketika waktu memerlukan

Ini kerana, seperti yang sedia maklum, emas kalis inflasi dan ia pelaburan yang berbaloi untuk pelbagai peringkat umur.

Kata Meer, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, ramai yang terkesan dan memerlukan wang tunai untuk membeli keperluan harian.

"Ramai yang kesempitan duit dan terdesak namun kebanyakan mereka memiliki barang kemas untuk digadai.

"Dalam hal ini, fungsi perkhidmatan pajak gadai hampir sama dengan pihak bank iaitu memberi 'duit sementara' kerana apabila keadaan kewangan pelanggan pulih, barangan yang digadai boleh ditebus semula," katanya pada majlis pelancaran Ar Rahnu Express berkonsep baharu di pusat beli-belah Mydin Mall, Subang Jaya.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Kumpulan Habib, Datin Seri Zarida Noordin, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin dan Pengarahnya, Datin Wira Dr Siti Hawa Mohd.

Ar-Rahnu Express adalah sebuah anak syarikat di bawah kumpulan Habib yang beroperasi lebih 10 tahun dan mempunyai lapan cawangan di seluruh Malaysia.

Di cawangannya di Mydin Mall, Ar-Rahnu Express menampilkan konsep baharu dengan rekaan hiasan dalaman yang lebih moden.

Ia menawarkan pengalaman yang berbeza berbanding dengan konsep sedia ada bagi pajak gadai patuh syariah. Mengulas lanjut, Meer berkata, cawangan itu menyediakan pelbagai fasiliti tambahan seperti bilik VIP untuk pelanggan yang memerlukan privasi, tempat duduk dilengkapi palam pengecas telefon bimbit serta ruang menunggu yang turut disediakan mesin kopi dan teh layan diri.

Katanya, data pelanggan Ar-Rahnu Express menunjukkan berlakunya pertambahan pelanggan dari usahawan yang memerlukan modal pusingan dengan segera dan mudah.

"Antara kelebihan berurusan di Ar-Rahnu Express bagi usahawan ialah pelanggan hanya perlu membawa barang kemas dan kad pengenalan untuk mendapat perkhidmatan pembiayaan dengan segera.

"Masyarakat hari ini semakin celik dengan kelebihan barang kemas dan berlian sebagai pelaburan alternatif di samping instrumen pelaburan yang lain.

"Justeru, konsep baharu itu diperkenalkan bagi menjadikan perkhidmatan pajak gadai Islam lebih mesra pelanggan, seiring dengan perubahan persepsi masyarakat terhadap perkhidmatan itu," katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan Ar Rahnu Express termasuk pembiayaan mikro di samping memberi perkhidmatan percuma seperti penilaian, cucian dan pengiraan zakat barang kemas.

"Kata Meer, sebagai ahli kumpulan Habib, pajak gadai itu memiliki kepakaran tinggi dalam penilaian emas, berlian, batu permata dan mutiara.

"Ia membolehkan Ar-Rahnu Express untuk menerima pelbagai jenis emas termasuk jongkong emas, dinar, emas rosak, emas putih dan berlian bersijil.

"Selain itu, berbanding pajak gadai biasa, kami juga beroperasi setiap hari termasuk cuti umum, " katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2021 @ 6:30am
d