WM

Platform perkasa wanita

Oleh Fairul Asmaini Mohd

Penularan Covid-19 menjejaskan sektor ekonomi negara dan banyak pihak turut terkena tempiasnya.

Ramai yang hilang punca pendapatan akibat diberhentikan kerja dan banyak peniaga terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu untuk meneruskan perniagaan.

Keadaan itu sedikit sebanyak menyebabkan cabaran ekonomi dan sosial hari ini semakin sengit khususnya kepada wanita.

Justeru, dalam usaha membantu dan memperkasakan golongan wanita yang terkesan, Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) melancarkan program platform perniagaan bersepadu, Burgernita.

Perniagaan menjual burger itu diwujudkan bagi memberi peluang kepada wanita untuk menjalankan perniagaan dengan berkonsepkan perkongsian sama rata antara geran daripada KWIM dan peserta sendiri atau pinjaman daripada institusi kewangan yang dipilih.

Apa yang menariknya, syarikat pengeluar kicap dan sos masakan buatan Malaysia, Mahsuri Food Sdn Bhd (Mahsuri), turut tampil sebagai penaja utama dan membantu menyuntik dana kepada program berkenaan.

Ketua Komersilnya, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, adalah lebih bermanfaat untuk memberi sesuatu yang boleh digunakan dalam jangka masa panjang daripada bersifat sementara.

Kata Mohd Jazri, fokus utama pihaknya dalam kerjasama itu adalah ingin memperkasakan wanita dengan membantu mereka menjana pendapatan melalui petniagaan.

Katanya, wanita dari kumpulan B40 akan diberi pengetahuan dan pengalaman mengendalikan perniagaan manakala pihak Mahsuri turut menyumbangkan produk untuk digunakan dalam penyediaan menu burger yang akan dijual kelak.

"Rangkaian kicap dan sos kami diperbuat khas untuk memudahkan wanita menyediakan juadah.

"Namun, sos dan kicap Mahsuri bukan hanya sesuai untuk kegunaan harian (di rumah) malah ia juga dapat melazatkan lagi masakan peniaga makanan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Burgernita di ibu negara, baru-baru ini.

Majlis pelancarandisempurnakan PengerusiKWIM, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed dan majlis turut dihadiri penaja lain iaitu, Ketua IKHLAS,Ikhlas Kamarudin; ArisProp Holdings Sdn Bhd (penaja daging burger); 9 Kedondong(rakan acara) serta ikonprogram merangkapjurucakap, selebriti Zarina Zainuddin.

Dalam pada itu, Normaziah berkata, dengan konsep 'Daripada Wanita untuk Wanita,' peserta program akan dibimbing mentor daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sendiri yang akan turun padang di setiap kawasan di bawah seliaan mereka.

Katanya, perniagaan burger menjadi pilihan selepas mereka mengkaji dan meneliti keadaan ekonomi serta pasaran semasa.

"Ia adalah model perniagaan yang lestari yang dapat membantu menjana pendapatan untuk wanita yang memerlukan khususnya golongan B40 dan kumpulan terpinggir.

"Apa yang menariknya, Burgernita turut mempunyai produk istimewanya sendiri iaitu Burger Sarang Burung dengan resipi dan sos yang dicipta khas.

"Dengan rasa yang enak, burger itu bakal menjadi tarikan kepada orang ramai," katanya.

Menurut, Normaziah lagi, projek itu dilaksanakan mulai bulan ini secara berperingkat dengan jangkaan keseluruhan peserta adalah seramai 700 wanita dari seluruh Malaysia.

Kata Normaziah, fasa pertama terdiri daripada 15 wanita pelbagai latar belakang dari enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu dan Kedah.

"Semua peserta akan menjalani pelbagai latihan dan bimbingan secara teori serta praktikal daripada pakar berkaitan termasuk aspek pengurusan perniagaan, cara memasak, melakukan pemasaran mahupun iklan di media sosial.

"Lebih istimewa, semua peserta juga turut menerima satu set gerai burger yang lengkap dengan peralatan memasak, pendaftaran perniagaan, suntikan typhoid, peruntukan modal pasaran atas talian untuk enam bulan pertama dan juga modal pusingan," katanya.

Bagi yang berminat, anda perlu mendaftar sebagai ahli KWIM terlebih dahulu (pendaftaran adalah percuma) sebelum membuat permohonan menyertai program Burgernita dan kelayakan bergantung kepada beberapa kriteria.

"Semua permohonan akan ditapis dengan teliti bagi memastikan hanya yang benar-benar komited untuk berniaga dan mengubah nasib keluarga sahaja diterima.

"Mereka akan dipantau dari semasa ke semasa kerana kami mahu peserta yang dapat memberikan komitmen sepenuhnya dan bukan hanya hangat-hangat tahi ayam," katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2021 @ 7:00am
d