WM

Sokong pasar jenama tempatan

Oleh Hafiz Ithnin

GUARDIAN Malaysia terus membantu rakyat di negara ini dalam mendepani pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada bukan sahaja gaya hidup malah ekonomi.

Justeru, jenama rangkaian peruncitan farmaseutikal itu turut membantu pemain industri tempatan dalam sektor kosmetik dan kecantikan untuk memasarkan produk mereka di dalam cawangannya.

Pengarah Komersil, Guardian Malaysia dan Brunei, Anna Hull berkata, Guardian menyokong jenama-jenama buatan Malaysia dalam sektor itu yang ketika ini sudah pun berada di dalam cawangannya.

Beliau menjelaskan, pihaknya mengalu-alukan lebih banyak syarikat dan pengusaha, khususnya mereka yang

mengeluarkan produk kesihatan, kecantikan dan penjagaan peribadi untuk bekerjasama dengan Guardian ketika memperkenalkan produk mereka ke pasaran.

"Kami memiliki garis panduan dan kawalan kualiti yang ketat yang harus dipatuhi dan bersedia untuk bekerjasama dengan mereka dalam membantu menampilkan produk mereka di dalam cawangan.

"Selain itu, syarikat mendapati jenama kesihatan dan kecantikan tempatan yang berada di cawangan kami adalah bertaraf dunia," katanya.

Tambahnya, Guardian mendapati terdapat syarikat tempatan yang menjadi peneraju kategori dari segi keberkesanan produk dan pembangunan kajian.

"Jadi syarikat-syarikat kesihatan dan kecantikan tempatan memiliki keperluan untuk bersaing di pasaran dunia dalam era pemasaran dan pembelian dalam talian.

"Saya berharap dengan sokongan kami, kami juga membantu mereka meningkatkan kesedaran dan keperluan terhadap produk-produk berkualiti," katanya.

Anna berkata, kepada pemain industri yang berminat untuk menjual produk mereka di rangkaian peruncitan Guardian hanya perlu menghubungi pihaknya.

"Perkara ini penting untuk memastikan mereka memiliki cadangan jualan unik (USP) yang mantap dan memahami sasaran pelanggan mereka.

"Selain itu produk mereka mesti memenuhi sebarang syarat yang ditetapkan oleh kerajaan dan juga ia memberi nilai yang hebat untuk wang pelanggan kami," katanya.

Tambahnya, dalam situasi pandemik Covid-19, pihaknya mendapati peningkatan permintaan dalam kecantikan yang boleh dilakukan sendiri (DIY).

"Masker muka di rumah, rawatan rambut di rumah, perwarna rambut dan turut berlaku peningkatan dalam penjagaan jerawat akibat pemakaian topeng muka dan penjagaan kulit asid hyaluronik.

"Wanita lebih prihatin dengan apa yang mereka gunakan pada kulit mereka, oleh itu penjagaan kulit semula jadi juga semakin menjadi perhatian," katanya.

Katanya, trend 'all about eyes' juga semakin meningkat memandangkan syarat pemakaian topeng muka, tumpuan lebih diberikan ke bahagian mata.

"Di Guardian kami bekerja keras untuk membawakan trend terkini kepada pelanggan dan pada harga yang berpatutan," katanya.

Selain itu, Anna berkata, sebahagian besar pengguna mula membeli secara dalam talian dan pihaknya melihat trend ini akan berterusan ke masa akan datang atau sehingga Malaysia berjaya memberi vaksin sebahagian besar populasinya.

"Selepas pandemik, kami menjangka trend ini akan berterusan, kerana pengguna baharu telah semakin selesa dengan kaedah membeli-belah di dalam talian.

"Dengan lebih ramai orang menerima vaksin, ia akan menjadi lebih selamat untuk keluar rumah seperti keadaan sebelum pandemik," katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2021 @ 6:35am
d