WM

Umpama vaksin tiga serangkai

Oleh Profesor Madya Dr Azwan Abdullah

BERDEPAN dengan keadaan getir ekonomi akibat pandemik Covid-19, kerajaan sekali lagi mengambil langkah efektif untuk memastikan kesejahteraan rakyat terbela, kelangsungan ekonomi terpelihara.

Sebagai Felo Penyelidik Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), saya melihat Pakej Perlindungan dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang baharu dilancarkan dengan alokasi peruntukan bernilai RM150 bilion umpama suntikan vaksin tiga serangkai bagi membentuk imuniti ekonomi dan kesihatan rakyat.

Menerusi pakej Pemulih, kerajaan menggerakkan inisiatif bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung rakyat dengan menawarkan insentif moratorium atau tangguhan bayaran.

Kelonggaran berupa tangguhan bayaran diberikan kepada pelanggan tertakluk tempoh yang dipersetujui berdasarkan terma dan syarat yang dinyatakan.

Oleh itu, beban kewangan yang ditanggung pelanggan dapat diringankan selain dapat membantu meningkatkan pendapatan boleh guna bagi membiayai keperluan lain yang lebih utama untuk diri sendiri dan keluarga.

Antaranya moratorium bayaran balik pinjaman pendidikan di bawah pembiayaan beberapa agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Tempoh moratorium diberikan untuk tempoh sehingga enam bulan di samping kemudahan penjadualan semula pinjaman berdasarkan kriteria ditetapkan.

Moratorium yang diberikan adalah peluang untuk merancang kewangan dengan lebih berfokus, bersedia menjana pendapatan bagi menyambung semula bayaran pinjaman selepas tamat tempoh moratorium yang diberikan.

Menerusi pakej Pemulih, kelestarian kewangan dalam kalangan rakyat turut diberi perhatian oleh kerajaan.

Moratorium kewangan diperluas kepada rakyat yang terjejas untuk membayar premium insurans dan sumbangan takaful dengan penangguhan bayaran premium secara pilihan sehingga akhir Disember tahun ini.

Manakala, rakyat yang terjejas untuk membayar balik pinjaman bank juga boleh menikmati moratorium tangguhan bayaran untuk tempoh enam bulan yang membabitkan semua golongan peminjam individu daripada B40, M40 serta T20 dan tidak ketinggalan usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas.

Secara umumnya, pemberian moratorium memberi kesan yang signifikan dalam memulihkan ekonomi keluarga khasnya dan negara amnya.

Moratorium melalui pakej Pemulih memberi pelbagai manfaat kepada rakyat. Antaranya daripada segi pertambahan pendapatan boleh guna.

Kantung jumlah pendapatan boleh guna untuk tempoh moratorium berlangsung boleh dimanfaatkan untuk melengkapkan keperluan lain seperti peralatan pembelajaran secara dalam talian bagi memudahkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Di samping itu, rakyat boleh membeli barangan keperluan makanan dan perubatan bagi menampung kekurangan sedia ada kepada ahli isi rumah.

Manfaat daripada moratorium dapat mengukuhkan keupayaan mudah tunai dalam kalangan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Manfaat ini perlu digunakan dengan sebaik mungkin oleh rakyat demi memastikan kelangsungan hidup berfungsi seperti biasa tanpa beban kewangan yang mendesak.

Manfaat moratorium juga dijangka dapat merangsang aktiviti ekonomi supaya berupaya mewujudkan keseimbangan pasaran dalam konteks permintaan dan penawaran barangan serta perkhidmatan kepada rakyat.

Hikmah di sebalik pemberian moratorium menjadikan rakyat lebih celik kewangan, memahami kepentingan kewangan dan seharusnya lebih berwaspada dalam berbelanja.

Sesungguhnya, pandemik Covid-19 memberi pelbagai pengajaran dan pedoman kepada kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Peningkatan pemberian vaksin secara progresif kepada rakyat diharap dapat membentuk imuniti berkelompok, sekali gus menjadi benteng yang kuat bagi memulihkan ekonomi negara sejajar dengan agenda dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kesimpulannya, inisiatif kerajaan menerusi Pakej Pemulih sinonim dengan keadaan negara yang perlu pulih daripada segi ekonomi, kewangan, kesihatan, emosi dan kesejahteraan rakyat khususnya dan memberi sinergi baharu kepada landskap ekonomi dalam mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Disiarkan pada: July 19, 2021 @ 6:41am
d