WM

Garam satu sudu sehari

Oleh Dr Yoong Lee Yeen

Pandemik Covid-19 mencatatkan kes baru harian mencecah lima digit dan meragut lebih daripada 10,000 nyawa rakyat Malaysia.

Di antara kes kematian Covid-19 di Malaysia, kebanyakan pesakit didapati mempunyai sejarah penyakit darah tinggi (hipertensi).

Berdasarkan kajian, pesakit penyakit darah tinggi mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat gejala yang teruk, kemasukan ICU dan kematian akibat jangkitan Covid-19.

Menurut, profesor dari Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Profesor Dr Moy Foong Ming, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, tiga daripada 10 orang Malaysia menghidapi penyakit darah tinggi.

Kata beliau, lebih membimbangkan, hampir separuh tidak menyedari bahawa mereka menghidapi penyakit darah tinggi.

"Tanpa mendapatkan rawatan perubatan sewajarnya, penyakit darah tinggi mendedahkan mereka kepada risiko lebih tinggi untuk mendapat gejala yang teruk akibat jangkitan Covid-19.

"Ia juga meningkatkan risiko bagi serangan jantung, strok, kegagalan buah pinggang, kebutaan dan kematian kelahiran pramatang," katanya.

Dr Moy berkata, sebagai strategi untuk mencegah dan mengawal penyakit darah tinggi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pengurangan pengambilan garam.

Orang ramai dinasihatkan mengurangkan pengambilan garam kepada kurang daripada lima gram (kira-kira satu sudu teh) sahaja sehari.

Ini kerana, beberapa kajian menyokong bahawa pengurangan pengambilan garam bukan sahaja dapat menurunkan paras tekanan darah malah menurunkan risiko penyakit kardiovaskular dan strok.

"Dengan itu, kira-kira 2.5 juta kematian dianggarkan dapat dicegah setiap tahun sekiranya masyarakat sedunia dapat mencapai pengurangan pengambilan garam sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2025," katanya.

Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam dan Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit), Cawangan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Feisul Idzwan Mustapha pula berkata, berdasarkan laporan Kajian Pengambilan Garam Populasi Malaysia (MyCoSS) 2019, empat dari lima rakyat Malaysia mengambil garam lebih tinggi daripada pengambilan garam yang disyorkan oleh WHO dengan purata pengambilan garam sebanyak 7.9 g setiap hari.

Kata Dr Feisul, terdapat beberapa tip yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian untuk mengurangkan pengambilan garam.

"Ketika memasak, boleh gunakan lebih banyak rempah, jus limau, serai dan herba bagi mengurangkan penggunaan garam.

"Selain itu, kurangkan penggunaan garam, kicap atau sos dalam memasak sebaiknya gunakan bahan semula jadi dan bukannya makanan yang diproses," katanya.

Menurut Dr Feisul lagi, sekiranya diperlukan, tambahkan garam selepas api padam dan utamakan cara memasak berkuah atau bersup kerana rasa masin akan lebih ketara dalam makanan berkuah.

Kata Dr Feisul, makanan kering seperti ikan bilis, ikan kering, udang kering perlu direndam sebelum dimasak untuk mengurangkan kandungan garam.

Saranan beliau, sekiranya perlu membeli makanan dari luar, anda boleh memilih makanan yang rendah kandungan garam selain dimasak menggunakan bahan segar menggantikan makanan yang diproses.

"Pilih nasi putih atau beras perang dan bukannya beras berperisa serta jangan lupa maklumkan 'kurangkan garam' atau MSG ketika membuat tempahan makanan.

"Gantikan makanan ringan dengan buah-buahan segar dan seeloknya, baca label sebelum membeli serta pilih label 'Dikurangkan Natrium,''Rendah Natrium,''Sangat Rendah Natrium,' dan 'Bebas Natrium.'

"Anda juga boleh meminta asingkan kuah, sos atau salad daripada makanan ketika membuat pesanan," katanya.

Sementara itu, selain pengurangan garam, kawalan tekanan darah juga dapat ditingkatkan dengan lebih baik lagi menerusi pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Makanan yang mengandungi lemak tepu juga perlu dihindari dan masyarakat perlu bergerak aktif dalam hidup seharian.

Selain itu, tabiat merokok juga perlu dihentikan dan kurangkan pengambilan alkohol serta uruskan tekanan harian dengan sebaiknya.

Ini kerana mengubah gaya hidup mungkin mengambil masa dan bukan selalunya mudah.

Namun jika diusahakan secara berterusan untuk jangka masa yang panjang, ia akan dapat membentuk kebiasaan kepada cara hidup lebih sihat.

Jadi, bertindak sekarang dan pilihlah untuk hidup lebih sihat hari ini.

Makan dengan baik, hidup dengan baik demi mendapatkan kesihatan baik.

Disiarkan pada: September 1, 2021 @ 7:01am
d