WM

Tema bersifat kesedaran

Oleh Hafiz Ithnin

MESKIPUN belum mempunyai label secara rasmi, pelapis pereka fesyen muda ini sebenarnya mempunyai potensi untuk bersama-sama memeriahkan industri fesyen tempatan.

Mana tidaknya, belum lagi pakaiannya dikomersialkan, tiga koleksi kapsul pakaiannya sudah mula mendapat perhatian beberapa pendandan untuk diacu pelanggan mereka dalam kalangan selebriti.

Bagi Amir Izhar, pereka itu amat memberi makna kepada dirinya kerana sentuhan peribadinya yang sebenarnya membawa maksud tersurat mendapat perhatian mereka yang berada di dalam industri fesyen tempatan.

Anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu berkata, dalam sesuatu rekaan yang hendak dihasilkan bukan tidak boleh kelihatan klise dan mampu menonjolkan tema tertentu terutama bersifat kesedaran.

"Dalam koleksi kapsul ini saya membawakan tema kritikan sosial di tempat saya membesar menerusi cetakkan corak dihasilkan.

"Pakaian pula dalam segmen jalanan yang dilihat ia sentiasa malar segar dalam kalangan si pemakai terutama golongan muda," katanya.

Menceritakan mengenai kritikal sosial itu, Amir berkata, dia membesar di kawasan bandar yang mempunyai pelbagai masyarakat.

"Pertama sekali menerusi pemerhatian saya, di kawasan bandar sebenarnya wujud keadaan tertekan sosial bagi menonjolkan diri terutama remaja dan kanak-kanak.

"Contohnya, saya sendiri dapat merasakan bahawa penguasaan bahasa asing menjadi penanda aras prestij sesuatu golongan itu jika berada dalam kalangan masyarakat bandar. Jika anda hanya mampu berbahasa ibunda, ia seakan-akan kelihatan janggal dan memberi tekanan kepada mereka yang tertinggal," katanya.

Justeru, menerusi koleksi kapsul itu, Amir bukan sahaja menonjolkan gaya jalanan yang berani dari segi rekaan pakaian tetapi menonjolkan rona yang cukup menonjol.

Jelasnya, kelainan yang dibawakan dalam koleksi kapsul itu bukan dalam segmen avant garde yang biasa dikaitkan dengan persembahan pakaian bertemakan ekspresi seni pereka fesyen.

"Ia sebenarnya sejajar dengan tema kesedaran yang ingin saya bawakan iaitu kritikan sosial khususnya menceritakan isu perbezaan dalam rekaan fesyen tetapi mampu disarungkan untuk peminatnya.

"Walaupun ia nampak berbeza dan mungkin ada yang merasakan ia sesuatu yang aneh tetapi saya yakin kelainan itu adalah sesuatu yang diburu oleh peminat fesyen jalanan," katanya.

Tambahnya, peminat fesyen jalanan tempatan pada hari ini juga lebih berani dalam menyarungkan busana yang mereka inginkan dalam kehidupan seharian.

"Mungkin suatu ketika dahulu, sesuatu pakaian yang nampak berbeza akan sesuai untuk disarungkan dalam acara tertentu tetapi golongan muda pada hari ini lebih berani dalam menonjolkan kelainan dalam fesyen mereka tersendiri selagi ia tidak melanggar budaya dan kepercayaan.

"Jadi, saya tidak melihat koleksi kapsul saya ini tidak boleh dikomersialkan kerana setakat ini sudah terdapat empat pendandan selebriti tempatan yang mula bertanya untuk meminjam," katanya yang pernah menimba pengalaman di sebuah firma fesyen tempatan ternama.

Ditanya mengenai tercetusnya idea menjadi pereka fesyen, dia berkata, segala-galanya bermula apabila ibunya, Noor Asiah Abu Bakar bertanyakan pandangan mengenai tas tangan yang menarik untuk dibeli ketika dia masih di sekolah rendah.

Katanya, bermula dari situ dia gemarkan dunia fesyen yang sentiasa menghidangkan koleksi-koleksi menarik di pasaran.

"Dalam kalangan keluarga saya, tiada seorang pun yang mempunyai latar belakang pendidikan formal di dalam fesyen.

"Namun, sebenarnya pereka fesyen juga adalah kerjaya profesional kerana kita mempelajari bukan sahaja untuk berkarya tetapi membina strategi perniagaan," katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2022 @ 7:01am
d