WM

Pesta Berlian Habib

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Bagi memperingati dan meraikan keindahan berlian, Pesta Berlian Habib kembali lagi di bilik pamerannya di seluruh negara sehingga 31 Mac depan.

Acara tahunan yang diraikan sejak sedekad lalu menjadikan ia antara sambutan yang dinantikan pelanggan dan penggemar berlian pada setiap tahun.

Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sri Meer Habib berkata, acara itu adalah platform untuk pihaknya berkongsi kepakaran dan pengetahuan mengenai keistimewaan berlian kepada orang ramai.

Kata beliau, sudah menjadi sebahagian daripada tradisi syarikat itu untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat supaya lebih memahami nilai intrinsik yang terdapat pada batu berharga berkenaan.

Katanya, melihat pelanggan yang semakin peka mengenai nilai sesuatu barangan kemas berlian membuatkan pihaknya lebih teruja untuk berkongsi lebih banyak informasi dan pengetahuan.

"Pelbagai aktiviti menarik akan dijalankan sepanjang penganjuran Pesta Berlian Habib dan kami yakin dapat membantu orang ramai dalam mendapatkan rekaan serta nilai berlian terbaik.

"Kami juga berharap seluruh rakyat Malaysia akan mengingati dan menghargai berlian sebagai batu kelahiran pada April.

"Selain itu, apabila acara ini kembali, harapan kami supaya Habib menjadi destinasi utama pelanggan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat berkenaan berlian," katanya.

Dalam pada itu, acara berkenaan menampilkan pelbagai koleksi barangan kemas yang memukau dan pasti merambangkan mata, dalam pilihan rona warna emas putih, emas kuning serta emas ros.

Antaranya koleksi Adore, Fire On Ice, Gelora, Polaris, Koleksi H, DWA, Empress dan koleksi terbaharu daripada jenama antarabangsa iaitu Korloff dari Perancis.

Apa yang membezakan jenama itu dan pesaingnya, ia menampilkan rekaan penuh teliti dan mempunyai hasil kerja halus oleh pereka barangan kemas berpengalaman.

Ia sekali gus menjanjikan keselesaan pemakaian dan pastinya dapat memenuhi cita rasa serta permintaan pelanggan.

Apa yang istimewa pada penganjuran kali ini, jenama itu membawakan lebih banyak koleksi berlian bersijil daripada GIA, HRD dan AGS, ia tampil dalam pelbagai bentuk, warna, kejelasan serta saiz.

Antara yang mencuri perhatian adalah koleksi Hearts On Fire dan 'Potongan Berlian Paling Sempurna Di Dunia' yang semakin digemari dalam kalangan bakal raja sehari kerana kilauannya lebih memukau.

Selain itu, koleksi rantai tangan berlian, 'Tennis bracelet' juga menjadi kegemaran ramai kerana ia berkonsepkan minimalis.

Rantai tangan itu boleh didapati pada harga yang berpatutan dan boleh diubah suai manakala berliannya adalah bersijil sepenuhnya.

Sementara itu, jenama itu turut mempamerkan koleksi barangan kemas antik bertatahkan batu intan.

Koleksi eksklusif penuh kilauan itu turut diperagakan barisan model tempatan ketika pelancaran acara itu di pusat beli-belah Pavilion Bukit Jalil, baru-baru ini.

Pengunjung yang berkunjung ke bilik pameran di pusat beli-belah berkenaan juga boleh mengikuti bengkel yang dikendalikan pakar gemologi berpengalaman.

Disiarkan pada: March 16, 2022 @ 6:02am
d