WM

'Labah-labah' tak melekat

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Bergayut di bangunan pada ketinggian lebih 200 meter dalam tempoh yang lama, bukanlah tugas mudah kerana menuntut keberanian dan kemahiran yang tinggi.

Bukan calang-calang individu mampu bekerja sebagai juruteknik akses tali yang disenaraikan antara pekerjaan berisiko tinggi.

Normalia Sidek dikatakan antara kurang dari 10 wanita 'labah-labah' di negara ini yang menjadikan kerja lasak didominasi lelaki sebagai karier sepenuh masa sejak lima tahun lalu.

Bukan sekadar mencuci tingkap bangunan, skop tugasnya juga lebih luas termasuk melakukan kerja-kerja Ujian Tanpa Musnah (NDT) dan sebagainya.

Normalia atau lebih mesra disapa Maya berkata, dia mengetahui berkenaan pekerjaan itu ketika aktif dengan aktiviti lasak iaitu mendaki tebing batu.

"Saya kemudian mencuba dengan mengambil kursus kemahiran untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan pekerjaan ini.

"Dari situ, baru saya tahu bahawa skop kerja ini sebenarnya luas dan mendapat permintaan yang tinggi serta menawarkan pendapatan lumayan sehingga timbul minat untuk lebih serius," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, dia kemudian mendapat tawaran untuk bekerja di sebuah syarikat sebagai pelatih juruteknik akses tali.

"Sepanjang bekerja sambil belajar di syarikat itu, saya dapat belajar banyak perkara yang lebih mendalam mengenai bidang ini.

"Saya masih teringat, apabila kali pertama ditugaskan membuat kerja di bangunan 30 tingkat, saya menangis kerana takut dan gayat. Biarpun sudah menjalani latihan, namun apabila berada di lokasi sebenar, keadaannya berbeza kerana saya masih kekurangan ilmu," katanya.

Katanya, selepas enam bulan, dia mengambil keputusan untuk bergerak secara sendiri (freelance) sehingga ke hari ini.

"Ramai beranggapan pekerjaan ini berisiko tinggi namun kejadian yang tidak diingini boleh dicegah lebih awal dengan ilmu dan kemahiran. Jadi tidak hairanlah, setiap tiga tahun sekali, lesen perlu diperbaharui untuk memastikan kami sentiasa kompeten," katanya.

"Apa yang penting, juruteknik akses tali perlu sentiasa cergas dan fokus ketika bertugas," katanya.

Ibu kepada seorang anak ini berkata, bekerja dalam bidang yang didominasi lelaki ini menuntut kesabaran cukup tinggi.

"Di awal pembabitan memang sukar kerana saya perlu membuktikan kemampuan diri supaya tidak menjadi bebanan kepada pasukan, tambahan pula tidak ramai wanita yang bekerja di bidang ini.

"Alhamdulillah lama- kelamaan, semua menjadi lebih mudah dan sebenarnya tidak timbul isu jantina asalkan kita sentiasa positif serta pandai membawa diri," katanya.

Berkongsi pengalaman yang tidak boleh dilupakan, apabila dia hampir disambar kilat ketika sedang melakukan kerja penyelenggaraan di sebuah bangunan di Bangsar, Kuala Lumpur.

"Mengikut prosedur operasi standard (SOP) apabila cuaca buruk semua kerja perlu dihentikan. Namun pada ketika itu cuaca cerah dan secara tiba-tiba berubah tanpa kami sedari.

"Entah bagaimana, saya nampak hujung kilat itu melalui cermin tingkap bangunan. Kami kemudian bergegas turun daripada bangunan itu dalam keadaan hujan lebat," katanya.

Baginya, pengalaman melakukan kerja penyelenggaraan di Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan bekerja di pelantar minyak Bunga Kertas, Terengganu antara yang tidak boleh dilupakan.

"Ini antara pencapaian yang membanggakan apabila diberi kepercayaan untuk bekerja di bangunan ikonik.

"Selain itu, saya dapat merealisasikan impian bekerja di pelantar minyak selama sebulan. Biarpun berdepan masalah mabuk laut pada tiga hari pertama, pengalaman bekerja di tengah laut, adalah sesuatu yang cukup berharga," katanya.

Tambahnya, pada awalnya dia tidak memaklumkan berkenaan pekerjaan itu kepada keluarga kerana bimbang mereka tidak boleh menerima kerjaya bahaya itu

"Saya memang berhasrat untuk memaklumkan kepada keluarga kerana mahukan restu dan keberkatan pekerjaan ini namun perlukan sedikit masa.

"Belum sempat beritahu, keluarga terlihat saya keluar di sebuah program di televisyen. Keluarga agak terkejut namun mereka menerimanya dengan hati terbuka kerana tahu saya seorang yang lasak," katanya yang bertemu jodoh dengan individu yang terbabit dalam bidang sama.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia ingin mengembangkan kariernya ke peringkat yang lebih tinggi.

"Saya juga berhasrat ingin menjadi jurulatih, kerana saya suka berkongsi ilmu dan pengalaman untuk melahirkan lebih ramai juruteknik akses tali terutama wanita," katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2022 @ 7:00am
d