WM

Sedondon eksklusif

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Fesyen sedondon seisi keluarga kini semakin menjadi pilihan ramai.

Rekaan sedondon sama ada dari warna, corak atau fabrik yang sama juga kelihatan unik dan menarik. Apatah lagi jika si kecil turut bergaya dengan fesyen yang sama.

Bagi meraikan Aidilfitri kali ini, Umbi Kids memperkenalkan pelbagai koleksi fesyen menarik untuk seisi keluarga.

Jenama yang diasaskan tiga sahabat, Ameera Loh, Zul Fathi dan Jay Liow itu sebelum ini hanya tertumpu kepada baju kanak-kanak, namun atas permintaan, mereka kali ini turut mengeluarkan pakaian sedondon untuk sekeluarga.

Bertemakan ruang di langit dan berinspirasikan 'Bumantara', Tenteram dan Girang, jenama itu memperkenalkan koleksi Matahari. Ia sarat dengan elemen awan, tempat bersejarah dan warna bumi.

Corak eksklusif untuk koleksi Matahari adalah 'stonehenge' dan cetakan Bumantara.

Koleksi Ruma Riang pula adalah berdasarkan orang yang dikasihi dari slogan 'Rumahku, syurgaku.'

Meskipun kita kini berada dalam fasa endemik, semangat dan tradisi menyambut hari raya perlu diteruskan.

Untuk koleksi Ruma Riang, warna lembut dan menenangkan menjadi pilihan.

Corak 'Checked Daisy' dan cetakan 'Daisy prints' turut menjadi tumpuan dalam Koleksi Ruma Riang.

Dalam pada itu, kenangan masyarakat yang tidak dapat pulang beraya bersama keluarga tersayang selama dua tahun sebelum ini diterjemahkan dalam koleksi Nostalgia.

Perasaan rindu menjadi ilham utama jenama itu untuk mengimbau kembali zaman kanak kanak.

Ini kerana, walau sejauh mana seseorang itu mengembara, pasti akan pulang tanah tempat tumpahnya darah.

Koleksi berkenaan menampilkan corak eksklusif iaitu cetakan ala Semenanjung, Kirana dan Hutan.

Bagi menyerlahkan kelainan, jenama terbabit menampilkan koleksi Coral yang bertemakan kehidupan dalam laut.

Keseluruhan koleksi menggunakan warna yang cerah seperti biru keluli, biru merpati dengan corak eksklusif.

Sementara itu, untuk keselesaan pemakai, keseluruhan himpunan terbaharu berkenaan mengunakan fabrik semula jadi seperti kapas dan linen.

Ini kerana material jenis itu lebih mudah untuk dikitar semula selain tidak panas, serap peluh dan semakin lama dipakai dan dibasuh, ia semakin selesa.

Bayangan santai juga menjadi 'signature' jenama itu dan ia diserikan lagi dengan pelbagai corak yang berwarna-warni untuk seisi keluarga.

Setiap rekaan corak juga mempunyai cerita yang berbeza, unik dan bermakna menjadikan ia eksklusif selain hanya boleh didapati di jenama itu sahaja.

Disiarkan pada: April 18, 2022 @ 7:00am
d