WM

Guardian anjur Fun Run

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kajian mendedahkan kebanyakan rakyat Malaysia bersenam untuk kekal cergas dan sihat.

Pelbagai aktiviti sukan dilakukan namun antara yang paling popular adalah larian kerana ia boleh dilakukan secara sendirian atau berkumpulan.

Bagi menggalakkan kehidupan yang lebih sihat menerusi aktiviti larian, Guardian akan mengadakan acara Fun Run menarik yang bakal diadakan 17 September ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, Selangor.

Ketua Pemasaran, Kesihatan dan Kecantikan, Malaysia dan Brunei, Asia Tenggara, Angela Teo berkata, masyarakat menyedari kepentingan senaman sejak pandemik Covid 19 melanda.

Kata Angela, selain gaya hidup seimbang, pemakanan bernutrisi dan makanan tambahan, ramai yang mengakui bahawa senaman yang baik menyumbang kepada tidur malam lebih lena.

"Jadi, semua aktiviti berorientasikan kesihatan adalah selari dengan visi dan janji Guardian untuk membantu pelanggan menjalani kehidupan yang sihat dan sejahtera.

"Acara larian itu bakal dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan untuk seisi keluarga termasuk kanak-kanak.

"Ia menjanjikan suasana keriangan karnival dan akan memuatkan Permainan Karnival, persembahan pentas, produk percuma untuk dicuba, trak makanan dan cabutan bertuah dengan hadiah berjumlah RM10,000 untuk dimenangi (hanya layak disertai peserta larian fizikal)," katanya pada majlis pelancaran media di ibu negara, baru-baru ini.

Menurut Angela lagi, sebahagian daripada hasil yuran pendaftaran akan disumbangkan kepada Persatuan Kebajikan Suriana iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdedikasi dalam membantu kanak-kanak B40 ke arah penyediaan Pusat Permainan dan Pembelajaran di Balakong.

Sementara itu, terdapat tiga kategori larian disediakan iaitu Larian Keluarga tiga kilometer (km), Larian Neon 5km dan Larian Maya 5km bagi membolehkan orang ramai yang berada di luar Lembah Klang untuk turut serta.

Pendaftaran sudah dibuka dan diskaun awal diberikan kepada mereka yang mendaftar sehingga 24 Julai 2022.

Dari 25 Julai hingga 15 Ogos depan pula, tiket akan dijual pada harga RM60 bagi dewasa untuk kategori Larian Neon 5km.

Disiarkan pada: July 11, 2022 @ 6:10am
d