WM

'Seni jalinan' tali paracord

Oleh Nurul Husna Mahmud

Sejarah mengenai tali paracord cukup lama apabila sudah digunakan tentera Amerika Syarikat sejak Perang Dunia Kedua sebagai tali payung terjun.

Kelebihan tali itu yang mempunyai ketahanan jitu apabila dikatakan mampu menampung kekuatan sehingga 275 kilogram.

Tidak hanya sebagai tali keselamatan ketika melakukan terjunan, malah ia turut digunakan tentera sebagai peralatan penting untuk ikhtiar hidup bagi mendirikan khemah, mengikat kasut dan menjerat haiwan.

Melihat penggunaan tali itu yang meluas, ia mendapat perhatian peminat sukan lasak dan dijadikan sebagai salah satu aksesori penting dalam ikhtiar hidup atau kegunaan di lapangan.

Menurut Pengasas Combat Survival Shop PW1 (B) Hazezul Sapar, 48, dari satu lembaran tali paracord boleh diurai menjadi tujuh tali lebih kecil.

Kelebihan itu apabila disesuaikan dengan ikatan tertentu boleh menghasilkan aksesori yang popular seperti gelang paracord.

"Tali paracord banyak digunakan sebagai tali keselamatan dan kini popular sebagai aksesori apabila dijalin dalam pelbagai warna dengan pelbagai jenis ikatan.

"Pentingnya pembuat gelang itu mahir dalam menguasai pelbagai jenis ikatan supaya dapat menghasilkan rekaan gelang lebih bervariasi.

"Kebetulan saya mempunyai pengalaman lebih dua dekad sebagai anggota keselamatan dan minat menguasai pelbagai jenis ikatan, jadi mudah untuk hasilkan gelang unik terbabit," katanya.

Hazezul berkata, dia boleh menghasilkan sehingga enam warna berlainan pada satu gelang paracord berdasarkan kemahiran ikatan yang dimiliki.

"Untuk hasilkan gelang paracord saiz tali dan warna juga penting kerana ia membantu menonjolkan sudut estetik aksesori terbabit.

"Ikatan yang digunakan antaranya cobra, solomon cage, fiasco, combat knot, baby santified convenant dan banyak lagi.

"Siapkan satu gelang biasanya 30 minit sehingga satu jam bergantung kepada kerumitan rekaan dan ikatan digunakan," katanya.

Tambah Hazezul, hasil daripada 'seni jalinan' tali paracord itu kini menjadi sumber pendapatan kerana diminati pelbagai peringkat usia dan golongan.

"Trend sekarang, ramai pemakai aksesori turut mengenakan gelang paracord dan seawal usia kanak-kanak juga tertarik.

"Saya turut olah rekaan gelang paracord untuk kegunaan perincian aksesori lain termasuk digabung dengan peralatan keselamatan seperti pemegang kompas, pemegang batu magnesium (penyala api) dan banyak lagi.

"Bukan sekadar untuk bergaya, gelang tali paracord boleh digunakan ketika berdepan kecemasan," katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2022 @ 6:01am
d