WM

Mutawif si hawa

Oleh Samadi Ahmad

BERGELAR sebagai mutawifah pada usia muda bukan penghalang buat tiga wanita ini untuk membantu golongan hawa melaksanakan umrah dengan sempurna.

Mereka adalah antara 50 daripada 140 peserta yang mengikuti Program Kemahiran Mutawwif Umrah dan Ziarah, Kolej Pembangunan Profesional Mutawwif Antarabangsa (PMDIC) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak dan bakal menamatkan kursus pada Mac tahun depan.

Ulya Tamri, 21, dari Kuching, Sarawak berkata, bidang yang diceburi ini adalah kerjaya baharu yang sangat luas bagi wanita kerana sebelum ini dimonopoli lelaki dan antarabangsa.

Menurutnya, sebelum ini beliau sendiri tidak mengetahui berkenaan kerjaya mutawifah yang boleh membantu kaum hawa melaksanakan umrah terutama dalam menjaga batas dan aurat mereka.

"Bukan semua peserta yang mengerjakan ibadah ini lengkap dari segi fizikal kerana terdiri daripada pelbagai golongan termasuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang memerlukan bantuan. Jadi, tugas kami adalah membantu mempermudahkan pergerakan mereka," katanya.

Beliau yang mahir dalam bahasa Arab ketika belajar di sebuah pondok di Jawa Timur, Indonesia itu juga mengakui, antara cabaran yang dihadapi adalah berdepan pelbagai ragam jemaah dengan penuh sabar.

Bagi Nur Khasih Dayini Mohd Arman, 17, dari Shah Alam, Selangor berkata, beliau teruja menyertai kerjaya ini kerana berpeluang menjejakkan kaki di Makkah yang menjadi impiannya sejak di bangku sekolah.

Menurutnya, kerjaya ini membantu melahirkan lebih ramai mutawifah tanpa bergantung kepada tenaga luar di samping boleh menjalankan perniagaan sendiri termasuk berkhidmat dengan agensi pelancongan di seluruh negara.

Katanya, kerjaya ini memberi peluang untuk membantu orang lain dan bukan hanya memperoleh pendapatan semata-mata, malah berpaksikan ibadah.

"Ketika ini wanita tidak boleh mengharapkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu mempelbagaikan nilai tambah termasuk menjadi mutawifah secara profesional," katanya.

Sementara itu, Syifa Khusnizaim, 22, dari Mergong, Alor Setar, Kedah berpendapat, mutawifah antara kerjaya yang 'dipandang' Allah walaupun berdepan pelbagai cabaran terutama kerenah jemaah, tetapi perlu be

rtanggungjawab melayan tetamu Allah di Tanah Suci.

Katanya, kerjaya ini dilihat fleksibel sama ada dari segi aturan waktu atau tempat kerja dan faktor kebebasan dalam menguruskan pekerjaan antara punca beliau tertarik dengan kerjaya itu.

Beliau yang juga bekas pelajar Maahad Tahfiz Al Quran Al Imam An Nawawi, Kedah dalam bidang al-Quran berkata, pertambahan jumlah jemaah mengerjakan umrah pada setiap tahun membuka lebih banyak peluang kepada mutawifah menjana ekonomi lebih tinggi.

"Mutawifah profesional keluaran Malaysia setaraf dengan dunia di samping dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga luar negara yang diadakan sebelum ini," katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2022 @ 7:00am
d