WM

Sajian kerutuk itik

Oleh Nurul Husna Mahmud

KERUTUK antara sajian berempah yang menjadi lauk pelengkap kepada nasi putih atau nasi minyak.

Malah hidangan ini cukup popular di Negeri Cik Siti Wan Kembang yang mana ia berasaskan pelbagai pilihan protein sama ada daging lembu, kambing atau ayam. Bagi peminat sajian itik, hidangan ini wajib dicuba.

Anak jati Pasir Mas, Kelantan Nur Alfilail Abdul Ma

nan berkata, penyediaan sajian kerutuk itik antara juadah kegemaran keluarga terutama bapanya.

Situasi itu membuatkan beliau belajar menguasai cara masakan sajian terbabit daripada ibunya.

"Ramai yang tidak sukakan itik kerana bau yang kurang menyenangkan. Bau 'hamis' itu boleh hilang dengan kaedah rendaman air gandum dan perahan limau.

"Kemudian rempah ratus dan aroma serai diketuk ketika ditumis membuatkan hidangan kerutuk itik cukup enak dinikmati sama ada ketika berbuka atau sebagai juadah raya," katanya yang juga pencipta kandungan masakan di Facebook.

Kata Nur Alfilail yang cukup dikenali dengan panggilan Cikgu Afy, dalam kalangan pengikutnya menyifatkan daging itik memiliki kelompok peminat tersendiri.

"Sajian ini cukup digemari saya dan ayah kerana daging itik lebih 'kental' berbanding ayam selain sesuai untuk sajian berkuah dan rempah.

"Menu ini juga enak sebagai pengganti sajian rendang untuk dinikmati bersama pulut kuning, lemang dan ketupat.

"Sajian ini juga sesuai dengan nasi berperisa seperti nasi minyak, nasi dagang, nasi kerabu dan lain-lain. Untuk perayaan boleh tampilkan kelainan apabila menyediakan hidangan berkenaan untuk seisi keluarga," katanya.

Cikgu Afy tampil berkongsi penyediaa

n sajian kerutuk itik untuk dikongsi bersama pembaca Harian Metro.

Bahan untuk dikisar

10 biji bawang merah (saiz kecil anggaran besar syiling 20 sen)

1 ulas bawang putih

1 inci halia

1/2 inci lengkuas

1/2 sudu jintan manis

1/2 sudu kecil ketumbar

1 sudu besar cili kisar

Bahan tumis/ kuah

1 pek kecil rempah empat sekawan (pek kecil- campuran rempah kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih)

1 serai dicarik-carik

9 sudu besar rempah kerutuk

1 keping gula Melaka

Garam

Bahan penambah perasa

Itik (1 ekor)

Asam jawa (secukup rasa)

2 cawan air + 3 cawan air

500 gram santan

5 tangkai cili hijau

Gula

Serbuk perasa

Penyediaan:

1. Panaskan minyak dan tumis rempah empat sekawan bersama serai yang dicarik.

2. Apabila sudah naik bau aroma, masukkan bahan dikisar. Tumis sehingga kekuningan.

3. Masukkan rempah kerutuk dan kecilkan api ketika menumis rempah kerutuk.

4. Apabila bahan tumis sudah keluar minyak dan menjadi kental, masukkan air dan secubit dua asam jawa. Masukkan juga gula melaka, selain garam, gula dan serbuk perasa.

5. Masukkan daging itik dan tambah lagi tiga cawan air. Reneh daging itik selama dua jam sehingga empuk. Barulah masuk santan.

6. Apabila sudah mendidih masukkan cili hijau dan tambah garam secukup rasa. Letakkan juga satu sudu besar kerisik. Apabila kuah mula pekat tutup api dan

siap dihidangkan.

Disiarkan pada: April 13, 2023 @ 6:10am
d