WM

Beri isteri masa rehat

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Menguruskan rumah tangga bukanlah sesuatu yang mudah bagi wanita apatah lagi pada masa sama turut memiliki kerjaya sendiri.

Ia menuntut banyak masa, tenaga mahu pun komitmen untuk menyeimbangkan tanggungjawab di rumah dan juga pejabat.

Jika di pejabat, jadual kerjanya hanya sehingga jam 5 petang sahaja namun tanggungjawab di rumah tidak mengenal masa.

Jadi, bayangkan bagaimana 'berat' tugas wanita lebih-lebih lagi yang bergelar suri rumah.

Keletihan menguruskan rumah tangga memang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata namun ia boleh dikenal pasti sekiranya seseorang individu itu berasa tepu, cepat letih, beremosi dan mudah naik angin.

Bagi si suami, sekiranya tanda-tanda itu kerap berlaku kepada si isteri, ia adalah petanda bahawa wanita kesayangan anda memerlukan masa untuk dirinya sendiri, 'me time.'

Ia adalah waktu untuk isteri anda mendapat masanya sendiri untuk bebas melakukan apa sahaja aktiviti yang dia gemari termasuklah berehat, bersosial dengan teman baik, melakukan aktiviti berkaitan hobi dan membeli-belah.

Masa untuk diri sendiri penting bagi wanita bagi membolehkan mereka menikmati ruang privasi dengan tenang.

Ini kerana, jika mempunyai anak kecil misalnya, tidur malam si ibu sentiasa terganggu selain sukar menikmati hidangan dengan tenang tanpa gangguan.

Selain itu, wanita yang bekerja mahu pun suri rumah sepenuh masa juga 'multitasking,' menyebabkan mereka sering keletihan.

Mereka tidak pernah duduk diam kerana banyak perkara yang perlu diuruskan dalam fikiran demi melancarkan rutin harian.

Wanita yang menguruskan rumah tangga juga perlu mempunyai emosi yang tenang kerana mereka adalah 'jantung' keluarga.

Sekiranya emosi mereka baik, nescaya rumah tangga dapat diuruskan dengan lebih gembira dan ceria.

Justeru, adalah penting untuk wanita menguruskan diri terlebih dahulu sebelum menguruskan keluarga.

Dalam pada itu, jangan menidakkan keperluan masa bersosial untuk isteri anda.

Ini kerana terperuk di rumah setiap hari bersama anak-anak sahaja ada kalanya boleh memberi tekanan kepada si ibu.

Jadi, berilah masa kepada isteri tersayang untuk keluar bersosial bersama teman-teman rapatnya bagi membolehkan dia menghilangkan tekanan yang ditanggungnya.

Kajian turut mendapati, pasangan yang tiada masa untuk diri sendiri cenderung untuk bermasalah.

Ini kerana 'me time' membolehkan wanita untuk mendalami diri sendiri seterusnya menjadikan dia lebih menghargai suami dan keluarganya.

Kebanyakan wanita yang menguruskan rumah tangga hari ini sudah lupa untuk 'menguruskan ' keperluan diri sendiri kerana terlampau sibuk menjaga rumah tangga.

Akibatnya, ramai yang berasa kurang dihargai seterusnya menimbulkan gangguan dan ketidakstabilan emosi.

Jadi, bagi anda wanita, sayangi diri sendiri terlebih dahulu sebelum menyayangi orang lain.

Disiarkan pada: October 26, 2023 @ 6:30am
d