addin

Niat suami ceraikan isteri

Oleh Suriany Awaludin - Kemusykilan Syariah

Saya dan suami bertengkar kerana dia tidak berpuas hati dengan ibu saya yang menghantar banyak mesej serta video berkaitan politik di dalam kumpulan grup WhatsApp keluarga.

Dalam mesej itu, ibu menempelak suami supaya jangan lagi mengundi parti yang disokongnya. Saya akui memang tidak patut ibu berbuat demikian, namun mungkin disebabkan terlalu marah, kemarahan itu dilepaskan kepada saya.

Ketika marah itu, suami mengeluarkan kata-kata seperti berikut: “Kau keluar dari rumah ini sekarang dan balik ke rumah mak kau yang tak pandai hormat orang tu! Aku boleh hidup tanpa kau la... mulai hari ini, aku tidak mahu tengok muka kau lagi dan kau jangan jejak rumah ini lagi.”

Saya hanya mendiamkan diri dan tidak berani bersuara. Selepas itu, suami keluar dari rumah dan pulang menjelang Maghrib.

Sebaik tiba di rumah, dia terus memeluk saya dan meminta maaf kerana terlanjur bercakap sebegitu.

Adakah kata-kata suami, “Aku boleh hidup tanpa kau” itu boleh dikategorikan sebagai lafaz talak ki- nayah?

Bagaimanapun, suami ada mengatakan dia langsung tidak berniat untuk membenci atau menceraikan saya, cuma kesal dengan tindakan ibu saya yang tidak menghormati dirinya.

Eisha, Sentul

Jatuh atau tidak talak itu berdasarkan kepada rukun serta syarat setiap rukun talak itu dipenuhi atau sebaliknya.

Jika dipenuhi, maka jatuhlah talak dan jika sebaliknya, tidak gugur talak. Dalam Mazhab Syafie, rukun talak ada lima iaitu pentalak (suami), sighah, qasad, mahal (isteri), ada kekuasaan (wilayatul alaih).

Talak pada asalnya adalah lafaz yang digunakan masyarakat Arab zaman jahiliah. Apabila datangnya Islam, syarak memperakukannya. Masyarakat Arab zaman jahiliah menggunakan lafaz itu untuk membubarkan perkahwinan.

Mereka tidak mengehadkannya pada tiga kali talak. Dalam Kitab Tafsir Ibn Adil diriwayatkan oleh Urwah al-Zubair berkata: “Manusia pada permulaan Islam menceraikan isteri mereka tanpa mengehadkan dan membataskan bilangan talak.

Seseorang lelaki itu apabila menceraikan isterinya dan apabila hampir habis idah isterinya, dia merujuknya kemudian menceraikannya dan kemudian rujuk dan begitulah berterusan dengan maksud untuk memudaratkan isterinya.”

Lalu turun ayat Surah al-Baqarah, ayat 229 bermaksud: “Talak (yang boleh dirujuk) adalah dua kali. Maka kemudian dari itu hendaklah kamu pegang mereka dengan cara baik atau lepaskannya dengan cara yang baik.”

Berbalik kepada persoalan di atas, dalam situasi itu, rukun berkaitan mahal (isteri) adalah jelas dan tidak menimbulkan sebarang keraguan.

Rukun pertama berkaitan dengan mutallaq iaitu suami. Disyaratkan ke atas suami mestilah seorang mukallaf seperti ditulis dalam Kitab al-Iqna’ jilid 2, halaman 287 yang menyatakan: “Dan disyaratkan pada orang yang menjatuhkan talak itu walaupun dengan lafaz taklik mestilah seorang yang mukallaf, maka tidak sah talak orang yang bukan mukallaf.

Ia berpandukan kepada hadis ‘Diangkat qalam (tidak dikira bersalah) seseorang itu kerana tiga perkara iaitu orang gila sehingga ia sedar, orang tidur sehingga ia bangun dan kanak-kanak sehingga ia baligh.”

Talak sah jika dilafazkan oleh orang mabuk seperti dinyatakan dalam Kitab Raudhah.

Rukun seterusnya adalah berkaitan wilayah iaitu kekuasaan. Seorang suami berkuasa penuh menjatuhkan talak ke atas isterinya.

Kekuasaan juga bermaksud tidak dipengaruhi atau dipaksa oleh mana-mana pihak dengan apa-apa ugutan atau ancaman.

Kemudian, rukun berikutnya adalah berkaitan sighah iaitu lafaz talak dibuat oleh suami dan juga niat untuk melakukan talak. Dalam Kitab Hashiah I’anat al-Talibin, juz 4, halaman 13 menyebutkan, maksud lafaz sorih seperti berikut: “Talak jatuh dengan lafaz sorih iaitu sesuatu lafaz yang pada zahirnya tidak membawa maksud lain selain talak seperti lafaz ‘mushtaq’ talak sekalipun ia diucapkan oleh orang bukan Arab yang mengetahui lafaz itu berkaitan dengan meleraikan ikatan perkahwinan atau ia mengetahui lafaz berkenaan adalah mengenai memisahkan dia daripada isterinya sekalipun tidak mengetahui maksud sebenar lafaz seperti yang difatwakan oleh sheikh kami.

Begitu juga lafaz ‘mushtaq’ firaaq (cerai) dan saraah (lepas) kerana ia disebut berulang-ulang dalam al-Quran seperti suami berkata, “Aku talakkan engkau.”

Adapun kata-kata terbitan (masdar) seperti suami berkata: “Engkau talak” atau “Engkau cerai” dan “Engkau lepas” adalah lafaz kinayah.

Walaupun suami mengeluarkan perkataan seperti di atas, lafaz itu masih memerlukan kepada niat suami. Dalam konteks lafaz suami itu, tiada mana-mana ayat menyebutkan mengenai cerai atau talak.

Namun, pemahaman bagi masyarakat kita lazimnya ia diterima sebagai keadaan membawa maksud bercerai dan lafaz itu boleh dikategorikan membawa maksud bercerai atau lafaz kinayah.

Menurut kata suami, dia tidak berniat cerai pada masa lafaz dibuat kerana hanya melepaskan kemarahan terhadap tindakan ibu mentuanya.

Maka, lafaz itu tidak membawa kesan ke atas talak atau menyebabkan gugurnya talak.

Penulis ialah peguam syarie

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 12:20pm
d