addin

Larangan baca, sentuh al-Quran

Oleh Datuk Dr Zahazan Mohamed

Adakah kanak-kanak belum baligh diharamkan menyentuh mashaf al-Quran tanpa berwuduk?

Saya mendengar ada ulama berpendapat boleh memegang al-Quran dalam keadaan tidak berwuduk. Bagaimana pula hukum seorang wanita dalam haid memegang al-Quran?

Adakah dia boleh membaca al-Quran tanpa menyentuhnya?/B>

Mariam, Gombak

Terdapat khilaf dalam permasalahan itu di mana sebahagian ulama berpendapat, tidak haram kanak-kanak yang belum mencapai usia baligh menyentuh mashaf al-Quran kerana dia belum mukallaf.

Sebahagian ulama pula berpendapat, tidak boleh menyentuh mashaf al-Quran dalam keadaan tidak berwuduk termasuk kanak-kanak. Ibu bapa bertanggungjawab membiasakan anak-anak berwuduk sebagaimana berwuduk untuk menunaikan solat kerana wajib bersuci untuk menyentuh al-Quran.

Imam empat mazhab bersepakat, tidak boleh menyentuh al-Quran melainkan dalam keadaan berwuduk.

Ibn Hazm pula berpendapat, boleh menyentuh al-Quran dalam keadaan tidak berwuduk. Beliau tidak ingin manusia terputus hubungannya dengan al-Quran.

Sekiranya mampu berwuduk dan memegang al-Quran, seterusnya keluar daripada khilaf untuknya ganjaran yang lumayan.

Jika meninggalkan bacaan al-Quran untuk beberapa hari hanya kerana tidak mampu menjaga wuduk, maka membaca al-Quran lebih utama.

Peganglah dan baca al-Quran walaupun dalam keadaan tidak berwuduk. Jangan disebabkan persoalan khilaf, kamu meninggalkan al-Quran.

Kesimpulannya, imam empat mazhab berpendapat, mesti berwuduk manakala Imam Ibn Hazm berpendapat tidak wajib berwuduk. Paling baik jika mampu melaksanakannya dan jika tidak mampu, membaca al-Quran lebih utama dengan bertaklid dengan mazhab Zahiriah yang mengharuskan membaca al-Quran dan menyentuh mushaf tanpa berwuduk.

Rasulullah SAW membaca al-Quran dalam semua keadaan melainkan dalam keadaan berjunub.

Perkara itu disebut Saidina Ali RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW membaca al-Quran dalam semua keadaan melainkan dalam keadaan berjunub.” (Riwayat al-Tirmizi)

Wanita yang sedang haid dan nifas termasuk dalam kategori berjunub. Imam empat mazhab berpendapat, tidak boleh membaca al-Quran dalam keadaan berjunub.

Justeru, wanita yang sedang haid tidak dibolehkan membaca al-Quran dengan niat beribadat, tetapi boleh melakukan ibadat selain membaca al-Quran seperti berzikir.

Jika berada dalam satu majlis, dia perlu menyibukkan diri dengan zikir dan berdoa kerana Nabi SAW berzikir kepada Allah SWT pada setiap keadaan.

Orang yang berada dalam keadaan haid bukan dalam keadaan bernajis, tetapi tidak memenuhi syarat sah.

Sebagaimana berwuduk syarat untuk bertawaf, disyaratkan juga dalam keadaan bersuci untuk membaca al-Quran.

Wanita dalam keadaan itu bukan dalam kedaaan lemah, tetapi sedang menunaikan ketaatan kepada Allah SWT dan mendapat pahala.

Imam Malik pula berpendapat: “Ada perbezaan antara orang berjunub dengan orang yang haid untuk situasi itu.

Kedua-duanya tidak berbeza dari segi larangan menunaikan solat yang mana kedua-duanya tidak bersolat, tetapi orang berjunub boleh mandi dan bersuci untuk membersihkan diri daripada berjunub tetapi orang yang haid tidak boleh melakukannya.

Apabila sudah suci, barulah boleh menyucikan dirinya. Jika seseorang yang haid takut terlupa ayat al-Quran yang sedang dihafalnya, dia boleh membacanya dengan syarat bukan memegang mashaf al-Quran.

Itu bukan dikira dalam keadaan ibadat tetapi untuk tujuan belajar.

Kesimpulannya, wanita yang sedang haid boleh menyentuh dan membaca al-Quran dalam satu keadaan iaitu takut lupa apa yang dihafalnya.

Demikianlah mengikut pendapat Imam Malik. Jika boleh meninggalkan khilaf berkenaan adalah lebih utama dan lebih baik.

Pelajaran yang dimaksudkan bukan pelajaran baru, tetapi guru memintanya mengulang kaji supaya tidak lupa apa-apa yang dipelajarinya.

Bagaimanapun, menghafal ayat baru al-Quran tidak dibolehkan.

Penulis ialah pendakwah

Disiarkan pada: May 4, 2018 @ 10:42am
d