addin

Usah sampai sengketa

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Rabu ini, seluruh rakyat Malaysia akan membuang undi bagi menentukan tampuk pemerintahan Malaysia untuk lima tahun akan datang.

Suasana pilihan raya adalah suasana pertandingan, masing-masing cuba menawan hati pengundi dengan cara tersendiri.

Pelbagai cara dan pendekatan digunakan untuk menyerlahkan kemampuan individu dan parti bertanding untuk mentadbir negara tercinta ini.

Selagi cara itu tidak membabitkan perkara haram, maka ia diharuskan. Sebagai pengundi Muslim, kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengikut suasana dan keadaan sekeliling.

Sekiranya berlaku situasi bertentangan ketetapan Islam, maka kita wajib memperbetulkan situasi berkenaan.

Sekiranya tidak mampu membetulkannya, wajib kita menyelamatkan diri daripada terjerumus dalam kemurkaan Allah SWT.

Perkara utama yang perlu dielakkan dalam suasana pilihan raya adalah fitnah. Melemparkan tuduhan tidak berasas kepada pihak tertentu tidak dibenarkan dalam Islam.

Allah SWT memberi amaran kepada hamba-Nya supaya tidak sesekali menyebarkan tuduhan tidak benar kepada sesama manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah an-Nur, ayat 19)

Suasana pilihan raya di Malaysia, pertandingan berlaku membabitkan sesama Muslim daripada parti berbeza. Penyokong setiap parti perlu sedar, walaupun mereka berbeza pendapat dan pegangan, mereka tetap bersaudara.

Ikatan persaudaraan didasari akidah Islamiah tidak boleh digadaikan semata-mata kerana ingin memenangi pilihan raya.

Jangan ada dalam kalangan kita bergaduh dan bermasam muka hanya kerana tidak sependapat. Umat Islam disatukan di atas ikatan iman terhadap Allah SWT yang Maha Esa.

Setiap umat Islam berpegang kepada pegangan dan tujuan sama iaitu mengharapkan keredaan Allah SWT. Perpecahan pastinya menampakkan kelemahan Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantah (berselisihan), kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati), sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 46)

Pastikan setiap maklumat yang diterima benar-benar sahih sebelum mempercayainya. Islam menganjurkan setiap perkara diteliti, lebih-lebih lagi apabila maklumat itu diperoleh daripada sumber yang tidak diketahui.

Amat dibimbangkan maklumat itu datang daripada golongan fasik yang mempunyai niat jahat tertentu. Penggunaan Internet sebagai medium menyebarkan berita perlu dilakukan dengan cara berhikmah.

Terdapat pengguna yang memanfaatkan medium maya itu secara tidak beretika dengan menghamburkan kata-kata kesat, lucah dan mendedahkan berita atau gambar yang membuka keaiban individu tertentu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu mencari-cari keaiban orang lain, bererti kamu akan merosakkan mereka atau setidak-tidaknya hampir (pasti) merosakkan mereka itu.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Bertakwalah kepada Allah SWT dalam setiap percakapan dan perbuatan. Kita mempunyai timbangan wahyu dan akal, tinggalkanlah sesuatu perkara yang tidak membawa faedah kepada kita atau perkara yang memudaratkan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Antara ciri keindahan Islam seseorang ialah dia meninggalkan apa yang tidak perlu baginya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Ingatlah, setiap percakapan dan perbuatan kita akan dinilai oleh Allah SWT. Tiada satu pun kejahatan akan terlepas daripada balasan meskipun ia sebesar zarah.

Pilihan raya adalah medan untuk menentukan kepemimpinan negara. Justeru, proses itu tidak boleh dicemari dengan perkara tidak baik dan merugikan umat Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaf, ayat 18)

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Disiarkan pada: May 7, 2018 @ 3:29pm
d