addin

Perangkap fitnah alam maya

Oleh Fadly Samsudin

Pada 16 Julai 2016, peristiwa serta berita rampasan kuasa tentera Turki tersebar dengan meluas menerusi aplikasi WhatsApp.

Gesaan Tayyip Erdogan kepada seluruh rakyat Turki untuk turun ke jalanan berkumpul di Dataran Merah dan lapangan terbang bagi menentang rampasan kuasa tentera ketika itu tersebar dengan begitu cepat melalui aplikasi berkenaan.

Bagaimanapun, peristiwa rampasan kuasa tentera itu hanya dapat bertahan selama lima jam saja sebelum ia diambil alih semula pihak berkuasa.

Di negara ini, dengan capaian Internet yang meluas menjadikan media sosial cukup besar penggunaan dan pengaruhnya dalam kalangan rakyat.

Menurut laporan The Digital News Report 2017, rakyat Malaysia mencatatkan penggunaan aplikasi WhatsApp terbanyak di dunia iaitu 51 peratus bagi mendapatkan maklumat dan berkongsi cerita.

Media sosial lain yang popular di Malaysia ialah Facebook iaitu sebanyak 58 peratus pengguna, YouTube (26 peratus) dan masing-masing 13 peratus bagi WeChat dan Instagram.

Laporan itu turut menyatakan, rakyat Malaysia gemar mendapatkan berita melalui media sosial iaitu sebanyak 86 peratus, bahan cetak (45 peratus), televisyen (54 peratus) dan radio (15 peratus).

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, Dr Mohd Shukri Hanapi berkata, berdasarkan data yang diberikan itu, pengguna perlu berhati-hati dengan setiap maklumat dan berita yang diperoleh daripada media sosial.

Menurutnya, sekiranya pengguna itu seorang yang berakhlak dan beretika, dia akan memanfaatkan media sosial untuk perkara kebaikan.

“Disebabkan media sosial sukar dikawal, ada sesetengah pihak menggunakannya untuk menyebarkan berita palsu, fitnah dan gosip, lebih-lebih lagi dalam suasana berkempen untuk Pilihanraya Umum Ke-14.

“Banyak fitnah dan maklumat salah disebarkan hingga menjatuhkan maruah seseorang, apatah lagi jika ada ahli kumpulan itu membuat salinan untuk pengguna lain atau menyalin paparan sehingga ia menjadi tular,” katanya.

Beliau yang juga merangkap Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW) menyatakan, pelbagai fitnah dibuat dan disebarkan bagi tujuan menjatuhkan pihak lawan.

“Tidak cukup setakat itu, ada juga kata-kata cacian, saling jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain serta mendedahkan keaiban dan kelemahan orang.

“Apabila hal itu terjadi, usaha yang dapat membawa kebaikan dan perubahan kepada masyarakat seperti menonjolkan manifesto yang diperjuangkan terus terabai,” katanya.

Mohd Shukri berkata, setiap individu perlu sedar membina negara bukan sehari namun untuk membinasakannya tidak perlu mengambil masa lama.

“Jika keadaan itu dibiarkan, struktur masyarakat pasti akan hancur akibat fitnah yang berleluasa di media sosial.

“Tidak dinafikan, ada sebahagian ahli politik berkempen menggunakan pendekatan mendedahkan kelemahan dan keburukan orang lain tanpa cuba menonjolkan kekuatan dan kelebihan yang dia miliki.

“Kerana terlalu inginkan kemenangan, mereka bertindak mencanang dan menyebarkan kelemahan serta keburukan orang lain tanpa menghiraukan perkara yang disebarkan itu benar atau tidak.

“Pemimpin yang menang dengan cara itu bukan menang kerana kekuatan dan kelebihannya, tetapi disebabkan orang ramai termakan segala kelemahan dan keburukan orang lain yang dicanangnya,” katanya.

Menurutnya, pemimpin sebegitu juga kebiasaannya tidak akan kekal lama, bahkan sentiasa terdedah kepada kejatuhan dan penghinaan.

“Segala kekuasaan dan kemuliaan itu adalah hak mutlak Allah SWT. Dia berhak memberi kuasa pemerintahan dan kemuliaan kepada sesiapa saja yang dikehendaki dan menarik balik semua itu daripada sesiapa saja yang dikehendaki,” katanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan (Allah) yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah saja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Ali Imran, ayat 26)

Beliau berkata, ia berbeza dengan pendekatan yang digunakan Rasulullah SAW ketika melancarkan kempen Islam kepada penduduk Yaman.

“Rasulullah SAW tidak mendedahkan atau menyebarkan kesesatan dan keburukan agama yang dianuti penduduk Yaman ketika itu.

“Sebaliknya, Baginda memulakan kempen dengan menonjolkan kekuatan dan kualiti peribadi pemimpin yang ditugaskan untuk berkempen iaitu Mu‘az bin Jabal.

“Baginda cuba membina kepercayaan dalam diri pihak yang dikempen (penduduk Yaman) terhadap Mu‘az bin Jabal.

“Untuk menerangkan mengenai diri Mu‘az bin Jabal yang diutuskan itu, Rasulullah SAW menulis sepucuk surat kepada penduduk Yaman.

“Dalam surat itu, Baginda menyatakan, ‘Sesungguhnya aku utuskan kepada kamu orang yang terbaik daripada keluargaku.’

“Surat Baginda itu sudah tentu dapat memberikan pengaruh besar dan membina kepercayaan yang tinggi dalam diri penduduk Yaman terhadap Mu’az bin Jabal,” katanya.

Hakikatnya dalam Islam, fitnah adalah keji dan amat dilarang Allah SWT.

Penulis wartawanHarian Metro

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 10:40pm
d