addin

Puasa pencetus takwa

Oleh Datuk Dr Zahazan Mohamed

Memandangkan seluruh umat Islam bakal menyambut Ramadan beberapa hari saja lagi, saya ingin mendapatkan penjelasan ustaz mengenai kesan golongan yang berpuasa tetapi mereka masih mengumpat dan berbohong. Adakah sah puasa mereka itu?

Amirul, Sepang

Puasa yang diterima Allah SWT adalah yang dapat membersihkan jiwa, menguatkan diri ke arah kebaikan, seterusnya membuahkan sifat takwa.

Sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Wajib bagi setiap orang Islam yang berpuasa menahan diri mereka daripada mengeluarkan kata-kata dan perbuatan yang dapat mengurangkan atau menghapuskan pahala puasa sehinggakan puasanya itu hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata.

Dalam satu hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim dinyatakan: “Puasa itu perisai, maka apabila salah seorang daripada kamu sedang berpuasa, janganlah berkata kotor dan berbuat bodoh dan apabila ada seseorang yang mencacinya atau mengajaknya bertengkar, maka hendakdaklah ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa.”

Dalam hadis lain riwayat an-Nasa’i, Ibn Majah dan al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Betapa banyak orang yang berpuasa tetapi ia tidak mendapatkan sesuatu daripada puasanya itu melainkan lapar. Dan betapa banyak orang yang melakukan solat malam tetapi ia tidak mendapatkan sesuatu daripada solat ma- lamnya itu kecuali tidak tidur.”

Sebuah lagi hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan yang buruk, maka Allah tidak memerlukan dia meninggalkan makan dan minumnya.”

Ibn Arabi berkata bahawa hadis itu mengandungi makna orang itu tidak diberi pahala atas puasanya.

Itu menunjukkan pahala puasanya hilang disebabkan ucapan dusta dan dosa lain yang dilakukannya.

Ibn Hazm berpendapat, hal itu akan membatalkan puasa sebagaimana makan dan minum.

Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradawi, kemaksiatan dapat meghilangkan ‘buah’ puasa dan merosakkan maksud disyariatkan berpuasa itu sendiri.

Sebab itulah golongan salaf dahulu menaruh perhatian untuk menjaga puasanya daripada perkataan serta perbuatan sia-sia dan sebagaimana mereka memeliharanya daripada makan dan minum.

Umar berkata: “Puasa itu bukan hanya menahan diri daripada minum dan makan tetapi juga daripada ucapan dusta, batil dan sia-sia.”

Jabir berkata: “Apabila anda berpuasa makan, hendaklah pendengaran, penglihatan dan lisan anda juga berpuasa daripada dusta dan dosa-dosa. Janganlah anda menyakiti pekerja anda, hendaklah anda bersikap merendah diri dan tenang pada hari anda berpuasa. Dan janganlah anda samakan hari berbuka anda dengan hari berpuasa anda.”

Abu Dzar pernah berkata kepada Thaliq bin Qais, “Apabila engkau berpuasa, maka jagalah dirimu semampu mungkin.”

Oleh kerana itu, jika sedang berpuasa Thaliq tidak keluar rumah kecuali untuk menunaikan solat.

Abu Hurairah dan sahabatnya apabila berpuasa mereka duduk di masjid dan mereka berkata: “Kami menyucikan puasa kami.”

Maimun bin Mahran berkata: “Puasa yang paling ringan ialah puasa daripada makan dan minum.”

Penulis ialah pendakwah

Disiarkan pada: May 11, 2018 @ 3:43pm
d